Man Utd Rancang Pancing Kembali De Gea Ganti Onana Januari Ini

Laporan oleh The Sun mengatakan Manchester United merancang untuk melakukan pusingan u dan membawa kembali David de Gea ke Old Trafford pada jendela perpindahan Januari akan datang dengan kontrak jangka masa pendek.

United dilaporkan terpaksa berbuat demikian selepas Andre Onana – yang dibawa masuk menggantikan De Gea pada jendela perpindahan musim panas lalu – akan terikat dengan tugasan antarabangsa bersama negaranya, Cameroon di pertandingan Piala Afrika (AFCON) pada awal 2024.

Pada mulanya United tidak menjangka akan kehilangan Onana, sehinggalah penjaga gol itu kembali daripada persaraan antarabangsa untuk kembali beraksi bersama pasukan negaranya.

AFCON akan berlangsung bermula 13 Januari sehingga 11 Februari. Ini bermakna Onana yang dibawa masukdari Inter Milan dengan nilai £43.8 juta berkemungkinan terpaksa melupakan lapan perlawanan membabitkan United.

Situasi tersebut menyebabkan United sanggup memujuk De Gea kembali ke Old Trafford – setelah melepaskan penjaga gol itu pada musim panas lalu.

Penjaga gol kelahiran Sepanyol berusia 32 tahun itu menyarung jersi Manchester United selama 12 tahun sehinggalah kontraknya tamat pada musim panas lalu.

De Gea tidak menyertai mana-mana kelab sejak meninggalkan Manchester.

Sebelum ini United dilaporkan menawarkan kontrak dengan pendapatan £200,000, jauh lebih rendah berbanding jumlah £375,000 yang diterimanya selama ini untuk terus kekal di Old Trafford.

Tawaran kontrak tersebut bagaimanapun dibatalkan oleh United walaupun De gea sudah bersetuju untuk menerima pengurangan gaji.

Lebih mengejutkan, United dikatakan turut mengarahkan De Gea tidak menyertai mana-mana kelab sehinggalah perpindahan Onana sebagai pengganti berjaya disahkan.

BACA:  Kehadiran De Gea Buat Penyokong Setan Merah Teruja Selepas Kecewa Dengan Onana