6 Maut, Lebih 50 Penyokong Dikejarkan ke Hospital Selepas Insiden Pijak Memijak Sebelum Perlawanan Comoros Menentang Cameroon

Satu insiden yang tidak diinginkan telah berlaku menjelang sepak mula perlawanan pusingan 16 terbaik antara tuan rumah, Cameroon menentang pendatang baharu Afcon, Comoros, di Stadium Paul Biya, Olembe.

Kejadian yang menyaksikan para penyokong bersesak-sesak berebut masuk ke dalam stadium dan telah berlaku insiden pijak memijak sehingga membawa kepada kematian enam orang penyokong termasuk kanak-kanak, dengan lebih 50 orang terpaksa dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan selepas mengalami kecederaan.

Stadium yang mempunyai kapasiti sebanyak 60,000 tempat duduk tersebut baru siap dibina khusus bagi penganjuran pertandingan bola sepak yang paling berprestij di benua Afrika tersebut.

Saksi yang berada di tempat kejadian mendakwa, insiden yang tidak diinginkan itu telah berlaku di pintu masuk stadium dengan lebih 40 orang telah mengalami kecederaan termasuk kanak-kanak yang telah penyek dalam kekecohan tersebut.

Federasi Bola Sepak Afrika, CAF, telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan insiden ini.

“CAF ambil maklum dengan insiden yang telah berlaku di Stadium Olembe sewaktu berlangsungnya perlawanan Piala Negara-Negara Afrika TotalEnergies antara tuan rumah Cameroon dan Comoros malam ni, 24 Januari 2022.

“CAF kini sedang menjalankan siasatan tentang situasi ini dan cuba untuk mendapatkan maklumat yang mendalam tentang apa yang telah berlaku. Kami kini berkomunikasi secara kerap dengan kerajaan Cameroon dan juga penganjur kejohanan tempatan.

“Pada malam ini, presiden CAF Dr Patrice Motsepe telah menghantar setiausaha agung, Veron Mosengo-Omba untuk melawat mangsa yang berada di hospital di Yaounde.”

Walaupun telah berlaku kekecohan tersebut di luar stadium, perlawanan tetap dimulakan tepat pada masanya dengan pasukan yang berada di ranking ke 132 dunia, Comoros, terpaksa bermain dengan 10 pemain seawal minit ketujuh.

Najdim Abdou telah dilayangkan kad merah selepas didapati memijak buku lali Moumi Ngamaleu dari belakang.

Cameroon kemudiannya mula mendahului lawan ketika perlawanan masuk ke minit 30 hasil gol daripada Karl Toko Ekambi, sebelum Vincent Aboubakar menggandakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Youssouf M’Changmama telah merapatkan kedudukan pada minit ke-81 namun Cameroon berjaya mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Sebelum perlawanan, kem pasukan Comoros telah dilanda penyebaran virus Covid-19 di mana tiga penjaga gol mereka terpaksa dikuarantin selepas didapati positif virus jahat tersebut. Bek kiri, Chaker Alhadur, terpaksa mengambil tugas sebagai penjaga gol Comoros sepanjang perlawanan dan dia telah beraksi dengan agak cemerlang.

Berketinggian 5 kaki 7, Alhadhur merupakan pemain bek kiri untuk Ajaccio di Perancis dan dia boleh dikatakan sebagai pemain pertahanan yang lincah dan juga berbahaya.

Sepanjang perlawanan ini, dia dilihat lebih kerap beraksi umpama penjaga gol Jerman, Manuel Neuer, sebagai sweeper keeper dengan Alhadhur berjaya melakukan beberapa aksi penyelamatan untuk menafikan percubaan dari jentera serangan Cameroon.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah dia berjaya melakukan aksi penyelamatan dua kali berturut-turut ala-ala David de Gea pada aksi babak kedua permainan, untuk menyelamatkan gawang golnya dari terus dibolosi.

Aksi tangkasnya telah mengundang pujian daripada para penyokong bola sepak di atas talian dan mereka memberikan komen seperti di bawah.

“Penjaga gol Comoros (yang juga merupakan pemain pertahanan) adalah lebih proaktif sebagai penjaga gol moden berbanding De Gea” tulis seorang penyokong.

Penyokong yang lain pula berkata; “Penjaga gol bidan terjun ni sangat menakjubkan.” Seorang lagi komentar berkata perkara yang sama – “Penjaga gol Comoros ni patut dapat anugerah pemain terbaik perlawanan! Eh jap, dia bukan penjaga gol sebenar pun!”

“Penjaga gol Comoros ini betul-betul menggembirakan aku. Walaupun dia penjaga gol bidan terjun, dan kurang seorang pemain, diorang masih mampu bergasa dengan Cameroon. Aku memang harap sangat diorang dapat jaringkan gol!”

Dengan kemenangan tersebut, Cameroon layak ke pusingan suku akhir dan akan menentang Gambia pada hari Ahad, 30 Januari nanti. Pada peringkat 16 pasukan, Gambia telah menewaskan Guinea hasil gol tunggal perlawanan daripada Musa Barrow pada minit ke-71.

Menuju ke penghujung perlawanan, dua kad merah telah dilayangkan. Pada minit ke-87, pemain Gambia Yusupha Njie terlebih dahulu dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua, dan pada minit ke 90+3, Ibrahima Conte pula menerima nasib yang sama selepas mengasari pemain Gambia.

Sumber : Mirror

BACA:  Senarai Kesebelasan Terbaik AFCON 2021 Tanpa Salah Dan Mendy