Bekas Penyerang Barcelona Disiasat Polis Terlibat Secara Langsung Atur Perlawanan

Pihak polis Cameroon kini membuka siasatan terhadap dakwaan penglibatan Samuel Eto’o dalam skandal mengatur perlawanan di negara itu.

Bekas penyerang Barcelona itu kini adalah Presiden Persatuan Bolasepak Cameroon sejak Disember 2021, dan kini dituduh terlibat mengatur keputusan perlawanan liga divisyen dua.

Bukti penglibatan Eto’o terdedah setelah rakaman panggilan telefon kepada individu dijenali sebagai Valentine Nkwain yang merupakan presiden kelab bola sepak Victoria United didedahkan kepada umum.

Menurut laooran Camfoot, Eto’o berjanju kepada Nkwain akan membantu promosi Victoria United ke liga utama dengan mengatur beberapa keputusan perlawanan.

Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh Eto’o dan Nkwain yang mendakwa ia bukan suara mereka di dalam perbualan telefon yang dirakam tersebut.

Pihak polis melalui sepucuk surat kepada media Britain The Guardian mengesahkan siasatan dilakukan terhadap Eto’o kerana penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.

Pihak berkuasa dipercayai telah memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Siasatan turut akan meliputi dakwaan amalan rasuah lain di dalam badan induk bola sepak negara itu sepanjang era Eto’o bergelar presiden, yang dipercayai melibatkan sehingga 40 individu lain.

Rakaman telefon di antara Eto’o dan Nkwain mendedahkan bekas pemain itu berkata ‘ada sesuatu yang boleh kita lakukan’ terhadap perlawanan melibatkan Victoria selepas pasukan itu tewas dalam satu perlawanan pada Disember lalu.

Eto’o kemudiannya memberitahu Nkwain: “Tetapi anda harus sangat merahsiakan perkara ini saudaraku. Jangan risau, kami akan memberikan pasukan anda tiga mata dan akan menggantung pengadil.

“Victoria harus layak ke divisyen utama. Ini adalah objektif utama kita. Ini adalah persatuan bolasepak kita. Victoria akan naik divisyen.”

Dan selepas beberapa perlawanan, kebetulan atau tidak, Victoria United berjaya melayakkan diri ke divisyen utama Liga Cameroon pada April lalu,

Pada Jun lalu Eto’o pernah berkongsi dengan Gazzetta dello Sport bagaimana dia berjanji dengan seorang kenalan yang banyak melabur di dalam bola sepak untuk menjadikan kelab miliknya sebagai salah sebuah kelab terbaik di Cameroon.

“Saya memberi jaminan kepadanya bahawa saya akan melakukan apa sahaja untuk mengelakkan kesilapan pengadil ketika perlawanan,” kata Eto’o.

Dakwaan terbaru membabitkan Eto’o ini tiba selepas beberapa pegawai daripada Persatuan Bolasepak Cameroon sendiri melakukan pertemuan dengan FIFA untuk membantah beberapa insiden melibatkan presiden mereka itu.

Ia termasuklah insiden kekecohan melibatkan Eto’o dengan seorang wartawan Algeria di Piala Dunia  yang berlangsung di Qatar pada tahun lalu.

Kumpulan individu itu diketuai oleh Pierre Semengue yang merupakan presiden Liga Bolasepak Profesional Cameroon turut menulis surat kepada presiden FIFA, Gianni Infantino dan presiden Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF, Patrice Motsepe mempersoalkan kredibiliti Eto’o yang terus dibenarkan mengetuai Persatuan Bolasepak Cameroon walaupun berhadapan pelbagai tuduhan salah laku.

BACA:  Pemain Termuda Beraksi Di AFCON 2024 Antara Pemain Digantung Kerana Palsukan Usia Sebenar