5 Pemain Yang Sepatutnya Menggegar Dunia

Baru-baru ini pemain baharu Manchester City, Gabriel Jesus dengan tenang mengatakan dia lebih dikenali di Brazil berbanding Coutinho dan Firmino. Agak tinggi keyakinannya. Mungkin Jesus masih lagi dalam fasa teruja setelah berpindah ke England dengan nilai yang besar.

Barangkali Jesus terlupa bahawa bola sepak dunia sering dimeriahkan dengan bakat-bakat muda yang dikatakan ‘the next big thing’, pemain yang bakal menggegar dunia seperti Maradona, Pele, Ronaldo Fenomenon, Zidane dan Cryuff.

Ramai yang berjaya mencapai tahap yang dibanggakan seperti Leo Messi, Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Arjen Robben, Fadhli Shas dan Franck Ribery. 

Jesus menyertai kelab Manchester yang salah

Tetapi, ramai juga yang terkulai layu dan tidak dapat memenuhi harapan dan ekspektasi para peminat. Ada yang gagal disebabkan masalah kecederaan, lebih teruk lagi kerana masalah disiplin!

Jadi kami kongsikan lima nama pemain-pemain yang sepatutnya hari ini menggegar dunia.

Alexandre Pato

Bakat Pato menjadi sebutan di Liga Brazil apabila beliau menjadi penjaring terbanyak dalam liga bawah-20 tahun bersama Internacional. Pemain muda sensasi dari Brazil segera menjadi bualan dunia.

Pada tahun berikutnya Pato telah diserap ke pasukan utama Internacional dan kekal tajam, malah memecahkan rekod Pele sebagai pemain paling muda yang menjaringkan gol dalam kejohanan anjuran FIFA, ketika menentang Al-Ahly dalam kejohanan FIFA Club World Cup.

Kehebatan dan keculasannya membuka mata kelab eropah dan akhirnya AC Milan berjaya mengikat Pato pada Ogos 2008. Walau bagaimanapun Pato hanya mula melakukan debut bersama AC Milan pada Januari 2008, kerana tertaktuluk undang-undang EU bagi tenaga kerja di bawah 18 tahun.

Wajahnya yang tampan sesuai untuk digandingkan dengan Neelofa dalam Surihati Abang Bola

Pada 2009, Pato menjadi pemain Brazil pertama mendapat anugerah Pemain Muda Terbaik Serie A. Ketika namanya semakin meningkat bersama AC Milan, kecederaan mula membelenggu Pato, dan dia banyak menghabiskan masa di meja rawatan berbanding di padang.

Malah pada musim 2010-2011, Pato hanya mampu bermain sebanyak 20 permainan sekali lagi kerana kecederaan.

Pada Januari 2013, Pato dijual kepada kelab Brazil, Corinthians dan perkara sama berlaku di mana dia sekali lagi bergelut dengan prestasi dan kecederaan. Musim 2014 menyaksikan Pato berpindah pasukan lagi apabila Sao Paolo membelinya dari Corinthians.

Pada musim panas 2015, Pato dikaitkan dengan Tottenham Hotspur untuk digandingkan dengan Harry Kane. Di sebalik rekodnya yang cepat cedera, berpindah ke Liga Perdana Inggeris mungkin bukanlah satu langkah yang bijak tetapi Pato akhirnya ke Chelsea.

Kini Pato menabur bakti kembali bersama Sao Paulo selepas berkelanan bersama Villareal di La Liga serta kelab Liga Super China, Tianjin Tianhai.

Robinho

Pada tahun 1999 ketika berusia 15 tahun, Pele telah memilih Robinho sebagai pewaris takhtanya, iaitu pemain terhebat Brazil sepanjang zaman dan pada tahun tersebut jugaa menyaksikan Robinho telah membantu Santos mengecap kejuaraan pertama liga Brazil.

Kelincahan dan ketampanannya menarik minat kelab-kelab gergasi eropah, namun Robinho telah memilih untuk menggantikan Luis Figo di Real Madrid. Di Santiago Barnebeu, Robinho berjaya menjadi watak utama dalam kejuaraan La Liga pada musim 2007-08, dan berjaya berada di dalam senarai 10 pemain terbaik dunia malah di calonkan untuk Ballon d’Or.

Namun akibat perbalahan dengan presiden kelab, Ramon Calderon, Robinho akhirnya dijual kepada Manchester City. Dalam musim pertama dengan The Citizens, Robinho menjaringkan 14 gol, penjaring ketiga terbanyak pada musim tersebut.

Suatu masa dahulu

Pada musim kedua, Robinho mula mengalami masalah kecederaan sehinggakan dia hanya mampu bermain 12 perlawanan dari Ogos ke Disember 2009, dengan hanya menjaringkan 1 gol. Pada Januari 2010, Robinho dipinjamkan ke kelab lamanya, Santos sehingga tamat musim.

Musim berikutnya Robinho berpindah ke AC Milan namun gagal kembali ke zaman kemuncaknya apabila sering dibelenggu masalah kecederaan. Sekiranya Robinho tiada masalah kecederaan, mungkin beliau bergandingan bersama Neymar di Piala Dunia 2014.

Pada tahun ini Robinho berusia 32 tahun dan bermain untuk kelab Atletico Mineiro di Brazil dan dia bakal mendapat caps ke 100 untuk Brazil, sekaligus menyertai kelab lagenda seperti Pele, Cafu dan Ronaldo Fenomenon.

Ricardo Quaresma

Satu nama yang cukup gah pada awal tahun 2000. Memulakan karier bersama Sporting Lisbon, Quaresma tampil cemerlang di Liga Portugal dan memikat Frank RIjkaard yang ketika itu menjadi jurulatih Barcelona.

Quaresma menyertai Barcelona pada musim panas 2003 dan membuat 21 penampilan dengan hanya 1 gol. Menjelang minggu-minggu akhir musim tersebut Quaresma cedera kaki kanannya dan terlepas baki perlawanan musim tersebut, lebih teruk lagi apabila pemain ini berkelahi dengan Rijkaard dek egonya yang tinggi, dan sering menganggap dirinya lebih penting dari pemain lain.

Pada musim berikutnya, Quaresma dijual ke Porto sebagai sebahagian dari perjanjian membawa Deco  ke Barcelona. Pada musim pertamanya, Quaresma sering dicemuh kerana sikap pentingkan diri sendirinya tidak mahu menghantar bola kepada rakan, malah lebih suka untuk menggelecek sendirian. Kalau dia hebat seperti Safiq Rahim tidak mengapa, tetapi jauh sekali kualitinya.

Sekeras-keras kerak nasi, kalau direndam air sebulan lembut juga akhirnya. Begitulah diibaratkan Quaresma, lama-kelamaan Quaresma mula berubah dan menjadi kesukaan peminat. Inter Milan membeli pemain lincah ini pada musim berikutnya.

Inter di bawah Jose Mourinho, tidak berpuas hati dengan prestasi Quaresma dan menyebabkannya gagal mendapat kesebelasan utama. Lalu Quaresma dipinjamkan ke Chelsea tetapi nasib pemain ini masih tidak berubah.

Selepas Chelsea, Quaresma telah menyertai banyak kelab malah pernah bermain di liga negara arab. Andai egonya dapat dibuang ke laut dalam, mungkin Neymar tidak diperlukan di Barcelona.

Quaresma berjaya insaf tetapi di di usia 32 tahun dan berjaya mendapat kembali panggilan daripada Portugal di EURO 2016 dan berjaya membantu Portugal menjulang Trofi Eropah buat pertama kali.

Piala Dunia 2018, Quaresma sekali lagi mendapat panggilan Portugal. Karier kebangsaannya boleh dikatakan kembali ke landasan sebenar tetapi diperingkat kelab dengan potensi yang ada tidak dapat diselamatkan lagi kerana faktor usia.

Daripada prospek masa depan, Quaresma kini hanya menjadi pemain biasa-biasa bersama kelab yang sederhana.

Ravel Morrison

Pemain ini dilahirkan di Manchester dan menimba ilmu bola sepak di akademi bola sepak Manchester United. Pada usia Morrison 16 tahun, Sir Alex Ferguson pernah mengatakan bahawa Morrison adalah pemain terbaik yang pernah dia lihat untuk peringkat usia tersebut.

Bersama rakan karibnya, Paul Pogba, Morrison membawa pasukan remaja United memenangi Piala FA Remaja 2011 dan pasukan mereka digelar the next Class of 92. Disebabkan kehebatan aksinya di atas padang, Morrison mula berasa besar kepala sehinggakan ada satu ketika dia hanya datang dua kali seminggu ke padang latihan.

Kariernya bersama United tidak lama dan pada musim berikutnya dia menyertai West Ham United, namun tabiat lamanya masih tidak berubah. Sebagai pendedahan untuk mengubah karakter Morrsion, pengurus West Ham menghantarnya secara pinjaman kepada Queens Park Ranger dan Cardiff City.

Bro, ada batu lebih tak?

Masalah utama Morrison ialah bermain mengikut mood. Pada hari baiknya, Morrison boleh menjaringkan gol cantik dan melakukan assist dengan banyak. Tetapi pada hari anginnya tak baik, rakan sepasukan pun boleh diterajangnya.

Kini Morrison sedang berlatih di Wigan Athletic, di bawah kendalian Warren Joyce – jurulatihnya ketika di Manchester United dahulu, tanpa kontrak professional.

Dia sekadar berlatih untuk meningkatkan kecergasannya sahaja. Ada baiknya jika Morrison berhenti bermain bola dan fokus kepada perniagaan tudung online.

Joey Barton

Nama yang tidak asing bagi peminat bola sepak EPL. Pada perlawanan terakhir EPL musim 2011-2012, Barton mendapat kad merah ketika menentang Manchester City akibat menyerang tiga pemain lawan.

Akibatnya, dia digantung 12 perlawanan dan terpaksa menjalani penggantungan tersebut meskipun bermain di Ligue 1 pada musim berikutnya. Barton juga pernah digantung empat bulan dari bermain setelah menyerang rakan-sepasukan, Ousmane Dabo ketika bermain dengan Manchester City.

Dalam satu perlawanan menentang Blackburn Rovers, Barton telah menumbuk pemain tengah lawan, Morten Gamst Pedersen dan sekali lagi menyebabkannya digantung perlawanan.

Tengok muka ala-ala Pencetus Ummah. Baik je.

Ketika usia muda, Barton pernah dikatakan bakal menjadi pemain tengah utama England dan akan menjadi pengganti Paul Gascoigne. Namun akibat masalah disiplin di dalam dan luar padang, harapan hanya tinggal harapan, dan disandarkan pada kenangan.

Barton pernah diambil pasukan Glasgow Rangers tetapi kontraknya ditamatkan kerana bergaduh dengan rakan sepasukan. Oleh kerana sikap barannya, boleh dikatakan tiada pasukan yang mahu mengambilnya bermain dan ada eloknya dia fokus kepada karier twitter nya.

Nampak rancak muat naik status. Nasib baik bukan kaki swafoto.

Baca :Senarai Pemain Yang Dikatakan Bakal Menjadi “The Next Messi”, Dimana Mereka Sekarang?

BACA:  Lima Calon Kegemaran Untuk Memenangi Anugerah Ballon D'or