Aaron Chia dan Wooi Yik Sedia ‘Langgar’ Sampai Final Selepas Tewaskan Beregu Nombor Satu Dunia

Pemain beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mendatangkan rasa gembira dan teruja di seluruh negara pada hari ini apabila mereka menewaskan pilihan utama yang juga beregu nombor satu dunia, Marcus Gideon Fernaldi – Kevin Sanjaya Sukamuljo pada peringkat suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini, Aaron dan Wooi Yik telah mengesahkan tempat mereka di suku akhir selepas menewaskan beregu Kanada, Ho Shue Jason – Yakura Nyl, 21-15, 21-13 dalam aksi terakhir mereka dalam kumpulan D, sekaligus meletakkan mereka di tangga kedua di belakang regu veteran dari Indonesia, Hendra Setiawan dan Mohammad Ahsan.

Dengan beregu utama dunia menunggu di suku akhir, Aaron dan Wooi Yik tampil tenang bermain tanpa tekanan dengan menampilkan corak permainan pantas.

Dalam set pertama, pasangan beregu kesembilan dunia ini melakukan serangan yang begitu bertenaga dan gagal disaingi oleh beregu Indonesia tersebut, sekaligus memberikan kemenangan kepada mereka 21-14.

Set kedua menyaksikan beregu Malaysia mensasarkan Sukarmuljo sebagai lubuk dengan banyak mata berjaya dikutip daripada kesilapan pemain berusia 25 tahun tersebut.

Pada suatu masa, Gideon dan Sukarmoljo hampir cuba bangkit namun sekali lagi Aaron dan Wooi Yik memperkemaskan permainan dan berjaya menewaskan lawan 21-17, sekaligus menempah slot ke separuh akhir.

Bercakap kepada wartawan Astro Arena selepas perlawanan tersebut, Aaron mengatakan mereka akan ‘langgar’ siapa sahaja lawan nanti dan cuba untuk memenangi pingat emas pertama buat Malaysia.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kami datang ke Sukan Olimpik buat kali pertama sebaliknya bagi wakil Indonesia, mereka adalah pilihan untuk meraih pingat emas di Tokyo,” kata Aaron.

“Kami berjaya mengekalkan permainan kami sepanjang perlawanan ini dan mengelak daripada mengikut rentak lawan.

“Kami sudah bersedia untuk bertemu mana-mana lawan dalam separuh akhir. Kami telah melakar kejutan, ia telah meningkatkan semangat serta meyakinkan permainan yang kami terap berhasil.”

Bagi Wooi Yik, “Saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih daripada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepada kami bagi perlawanan ini.”

Aaron juga telah memuat naiks atu status di laman Facebooknya, mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong mereka.

“Kami dapat rasa sokongan anda, jadi kami berjaya pada hari ini!

“Terima kasih kepada semua terutamanya kepada mereka yang telah memberikan komen dan menghantar mesej kepada saya sejak malam tadi.

“Ini hanyalah permulaan, dan masih ada lagi beberapa pertarungan sukar yang akan datang.

“Kami tidak akan kendur hanya kerana kejayaan pada hari ini, demi Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya dan Wooi Yik akan mempersiapkan diri untuk beraksi di perlawanan berikutnya sehingga berjaya mencapai sasaran akhir!

“Terus berlawan!”

Untuk rekod, ini adalah kemenangan pertama Aaron dan Wooi Yik ke atas beregu Indonesia terebut selepas lapan kali mencuba sebelum ini, sejak pertembungan pertama mereka pada Terbuka Malaysia 2018.

Beregu negara ini juga merupakan finalis Terbuka Seluruh England pada 2019 dan telah merangkul pingat emas Sukan SEA pada tahun yang sama.

Sumber : Stadium Astro

BACA:  Ini Sebab Mengapa Atlet Olahraga Ramai Pecah Rekod Dunia Di Temasya Olimpik Tokyo 2020