Ini Sebab Mengapa Atlet Olahraga Ramai Pecah Rekod Dunia Di Temasya Olimpik Tokyo 2020

Olimpik merupakan temasya sukan terbesar di dunia yang dianjurkan setiap empat tahun sekali, dan ia tentunya akan mencuri tumpuan peminat seluruh dunia.

Mengapa peminat begitu teruja untuk menanti kehadiran Sukan Olimpik? Ia kerana banyaknya hal-hal dan detik-detik menarik yang dapat disaksikan sepanjang temasya itu berlangsung.

Tidak jauh beza dengan Olimpik yang dilangsungkan di Tokyo pada tahun ini, dengan begitu banyak rekod dunia dan rekod peribadi yang berjaya dipecahkan oleh para atlet.

Pereka trek untuk acara Olimpik pada tahun ini telah mendedahkan yang trek itu sendiri merupakan salah satu sebab mengapa para atlet tidak henti-henti mencipta rekod baru.

Menurutnya, trek itu membantu atlet untuk berkemampuan berlari satu ke dua peratus lebih pantas dari larian mereka yang sepatutnya.

Mengikut apa yang didedahkan, bahan getah yang tertanam dalam trek telah mencipta ruang udara dan menghasilkan kesan trampolin yang akan membenarkan para atlet untuk berlari lebih pantas dari yang sepatutnya.

Antara rekod yang paling menakjubkan pada temasya Olimpik kali ini adalah ketika melihat pelari Norway, Karsten Warholm memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dalam acara 400m lari berpagar.

Warholm berjaya mencatat rekod larian yang sungguh luar biasa menakjubkan dengan rekod baru yang beliau miliki, 0.7 saat lebih baik berbanding rekod sebelum ini.

Apa yang menariknya lagi, pemenang pingat perak dalam acara tersebut turut memecah rekod dunia sebelum ini yang dicatatkan oleh Warholm, dan majoriti pelari dalam acara ini memecahkan rekod negara masing-masing.

Antara rekod terbaik dari perlumbaan terhebat dalam sejarah Olimpik setakat ini

Selain itu, rekod Olimpik turut berjaya dicipta oleh pelari Puerto Rico, Jasmine Camacho-Quinn dalam acara 100m lari berpagar dan Elaine Thompson-Herah dalam acara pecut 100m.

Akan tetapi, terdapat juga pertanyaan mengenai teknologi yang diterapkan dalam trek, dengan ketidakpastian mengenai etika reka bentuknya.

Salah seorang individu yang bertanggungjawab di sebalik pembinaan reka bentuk trek, Andrea Vallauri telah menyatakan bahawa:

“Apa yang kamu lihat sebenarnya adalah evolusi. Jelas sekali setiap edisi Olimpik kami akan cuba untuk menambah baik formulasi dari segi bahan, dan tiada bezanya dengan Olimpik di Tokyo ini.”

Jelas Andrea Vallauri kepada Daily Mail.

“Kami sudah cuba untuk menambah baik dengan menambah sebatian tambahan. Trek sebenarnya sangat nipis (14mm). Tapi kami sudah menambah butiran getah ini. Cara terbaik untuk menjelaskannya: di lapisan paling bawah trek adalah reka bentuk hexagon yang akan menghasilkan poket udara kecil.”

“Ia bukan hanya menyerap tekanan, tapi ia juga memberi sedikit tenaga tambahan kepada atlet, pada masa sama, mereka akan rasa kesan dari trampolin. Kami sudah memperbaiki kombinasi ini dan inilah sebabnya mengapa kami nampak trek sangat membantu persembahan atlet.”

“Di Rio (pada tahun 2016) trek itu kita panggil WS. Yang baru ini pula kita panggil WSTY, memang dicipta untuk Tokyo. Ia merupakan evolusi terbaru trek.”

“Ia jelas sekali masih mengikut peraturan yang ditetapkan, tapi ia juga memang sesuatu yang kami diminta untuk lakukan. Dua komponen.”

“Untuk melindungi keselamatan atlet, untuk mengelakkan trauma, tapi ia juga akan membantu memberi mereka tenaga tambahan, begitulah maksud saya.”

“Ketika ujian makmal, kami boleh nampak penambah baikkan ini. Memang sukar untuk jelaskan secara terperinci tapi apa yang pasti, trek memang membantu atlet setidak-tidaknya satu ke dua peratus kelebihan.”

“Semuanya pasang siap, jadi setiap lorong sama saja, dan untuk trek larian untuk acara lompat jauh dan lompat kijang juga sama. Proses pembuatannya sama saja seperti tayar Formula One.”

Sumber: GMS

BACA:  Detik Sungguh Beremosi Ketika Atlet Qatar Dan Itali Setuju Kongsi Emas Acara Lompat Tinggi