Aaron Wan-Bissaka Berdepan Hukuman Penjara 6 Bulan

Pemain bek kanan Manchester United, Aaron Wan-Bissaka telah didakwa di mahkamah di atas pertuduhan memandu dalam keadaan tanpa kelayakan, dan juga tidak memiliki insurans kenderaan.

Dia dilaporkan memandu kereta Lamborghini Urus miliknya yang bernilai kira-kira £170,000 (RM1.8 juta harga di Malaysia) pada 23 Jun 2021 di laluan A34 di Stockport, Greater Manchester.

Lamborghini Urus – kereta yang dipandu Wan-Bissaka. Gambar : Motor Authority

Memandu tanpa kelayakan bermaksud sama ada tanpa lesen yang sah ataupun memandu dalam keadaan dilarang oleh mahkamah di sana. Biasanya kalau larangan memandu daripada mahkamah dikeluarkan untuk individu yang pernah merekodkan kesalahan lalu lintas yang serius.

Pendakawaan ke atas Bissaka ini telah diperdengarkan di Mahkamah Majistret di Stokcport pada hari Khamis, walaupun pemain ini tidak hadir di mahkamah ataupun melakukan sebarang rayuan.

Sidang kehakiman akan diadakan semula pada 1 September nanti. Jika sabit kesalahan, Bissaka berdepan hukuman maksimum penjara selama enam bulan tetapi hakim juga boleh mendenda pesalah dengan arahan mengadakan khidmat komuniti selama tempoh yang ditetapkan.

Bissaka sebelum ini pernah didenda kerana memandu melebihi had laku ketika memandu kereta Mercedes pesen askar ini.

Lamborghini Urus milik Bissaka ini yang didatangkan dengan enjin V8 twin-turbocharged mampu mencapai kelajuan maksima 305 km/j. Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapakah kelajuan yang dipandu Bissaka ketika dia terkantoi memandu kereta SUV tersebut.

Bissaka yang lahir di Croydon, sebuah pekan di selatan London memulakan karier bola sepaknya bersama Crystal Palace di mana dia tampil dalam 46 perlawanan dan telah menarik perhatian ramai dengan bermain di posisi bek kanan.

Pada musim 2017-18 yang juga musim pertamanya bersama skuad senior, dia telah memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan, sebelum ditabalkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Pilihan Pemain pada musim berikutnya, menewaskan Wilfred Zaha.

Dengan aksi cemerlangnya, pasukan gergasi Manchester United telah berbelanja sebanyak £50 juta untuk membawa pemain ini ke Old Trafford dengan kontrak jangka masa panjang.

Dalam dua musim pertamanya bersama pasukan Syaithon Merah, Bissaka berjaya mengekalkan prestasinya ketika di Palace dan telah memajak posisi bek kanan sebagai miliknya tanpa dapat dicabar oleh pemain lain.

Secara keseluruhan setakat ini, Bissaka yang dikenali sebagai pemain yang sering melakukan terjahan dan skill bertahan yang mantap, telah melakukan sebanyak 101 penampilan buat United dan menjaringkan dua gol.

Pada musim panas lalu, Bissaka antara nama yang disebut-sebut oleh para peminat bola sepak di England untuk dibawa menyertai skuad Tiga Singa bagi menghadapi Euro 2020, namun bakatnya tidak diendahkan oleh pengurus pasukan, Gareth Southgate yang lebih gemar memilih Kieran Trippier, Kyle Walker, Reece James dan Trent Alexander-Arnold yang kemudiannya terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Tindakan Southgate tersebut mengundang cakap-cakap orang di England yang mengatakan bahawa kemungkinan besar Bissaka akan memilih untuk beraksi buat pasukan negara kelahiran dua orang tuanya – Republik Demokratik Congo.

Malah Bissaka juga pernah mewakili pasukan negara Afrika tersebut untuk pasukan bawah-20 tahun pada thaun 2015, sebelum menukar fikiran dan beraksi bersama pasukan bawah-20 dan bawah-21 England.

Pada Oktober 2020, Bissaka seakan memberikan bayangan akan bertukar kewarganegaraan selepas mengemaskini bio di laman instagramnya dengan membuang bendera England dan meletakkan bendera Congo.

Selepas perlawanan menentang Leeds United tempoh hari, Bissaka telah ditanya apa pandangannya tentang kehadiran semula penyokong ke stadium selepas setahun lebih terpaksa bermain dalam stadium kosong.

“Perasaan bermain dengan 70,000 penyokong bersorak bila kau buat tackle, menyanyikan nama kau, rasanya….jujuranya tak dapat diterjemah dalam kata-kata,” ujar Bissaka.

“Apa yang aku boleh cakap adalah, aku rasa macam aku berjaya.

“Aku rasa macam berada di rumah.”

Benar juga kata Bissaka itu. Perasaan tersebut sememangnya tidak boleh diterjemahkan dengan kata-kata.

Lagi pula, Bissaka ni sebenarnya bukanlah sasterawan negara, aku hanya manusia biasa menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa maaf jika ku tak sepeka dia, tak mampu menganyam awan gemawan menjadikannya selendang untukmu oh kekasihhhhhhhh.

Kau nyanyi kenapa?

Sumber berita : Cermin

BACA:  Wan-Bissaka Mahu Tukar Kewarganegaraan Jika Terus Dipinggir Southgate