Alan Shearer – Legenda No.9 Premier League Terbaik Sepanjang Zaman

Setiap liga di dunia mempunyai statistik dan data pemain tersendiri. Tidak dilupakan juga rekod-rekod peribadi pemain yang dicatatkan dalam setiap liga. Di England, Alan Shearer adalah salah seorang daripadanya.

Alan Shearer dilahirkan pada 13 Ogos 1970. Beliau dilahirkan di Gosforth, Newcastle. Dilahirkan dalam keluarga pertengahan, anak kepada pasangan Anne dan Alan Shearer ini sememangnya meminati bola sepak dari kecil.

Alan Shearer mendapat pendidikan awal di Gosforth Central Middle School dan seterusnya meneruskan pengajian tinggi di Gosforth High School.

Alan Shearer menghabiskan kebanyakan masanya bermain bola sepak di kawasan kejiranannya dan gemar bermain di midfield. Ini kerana beliau dapat melibatkan diri secara menyeluruh di dalam permainan.

Foto – AMP

Seakan-akan dilahirkan untuk bermain bola sepak, Sheare dilantik menjadi kapten pasukan Newcastle City Schools untuk memenangi pertandingan bola sepak tujuh sebelah di St James Park. Karier Shearer dalam bola sepak dimulakan dengan bermain bersama kelab amatur Wallsend Boys Club semasa diusia remaja.

Semasa beraksi untuk Wallsend Boys Club, bakat Shearer dalam bola sepak telah menarik perhatian Jack Hixo, ‘scout’ dari kelab Southampton. Ada juga yang menyatakan bahawa Hixon yang bertanggungjawab menjadikan Shearer seorang pemain yang hebat.

Selepas menghabiskan musim panas berlatih bersama pasukan remaja Southamptons, Shearer berjaya dalam ujian percubaan kelab Liga Divisyen Satu iaitu West Bromwich Albion, Manchester City dan Newcastle United sebelum ditawarkan kontrak dalam pasukan remaja Southampton pada bulan April 1986.

Pada usia 17 tahun, Shearer melakukan debut pertama untuk pasukan Southampton. Semasa debut tersebut Shearer menjaringkan tiga gol untuk memastikan kemenangan 4-2 keatas Arsenal.

Shearer juga menjadi pemain termuda yang menjaringkan hat-trick dalam perlawanan divisyen utama mengenepikan rekod yang dipegang Jimmy Greaves. Sepanjang bersama Southampton, Shearer menjaringkan 43 gol dalam 158 penampilan dalam pelbagai peringkat pertandingan.

Pada tahun 1992, Shearer meninggalkan Southampton untuk menyertai Blackburn Rovers. Impak kehadiran Shearer dalam pasukan telah membantu Blackburn Rovers memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 1994/95.

Pada musim yang sama juga Shearer telah dinobatkan selaku pemain terbaik Liga Perdana Inggeris dengan 42 penampilan dan 34 gol.

Karier Alan Shearer diteruskan bersama Newcastle United pada musim panas 1996. Namun, debut pertama Shearer bersama The Magpies agak mengecewakan. Newcastle tewas kepada Manchester United 4-0 dalam perlawanan FA Charity Shield.

Foto – chroniclelive.com

Tahun pertama bersama Newcastle United, Alan Shearer melakukan 31 penampilan dalam perlawanan liga dan menjaringkan 25 gol dan seterusnya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak liga.

Pada musim 1996/97 juga menyaksikan Newcastle United menduduki tempat kedua liga.  Antara tahun 1992 hingga 2000, Alan Shearer telah membuat 63 penampilan bersama pasukan kebangsaan England dan menjaringkan 30 gol.

Shearer juga bermain bersama pasukan England di kejohanan Piala Dunia 1998.

Selepas sedekad bersama Newcastle United, Alan Shearer menamatkan karier bola sepak profesional pada tahun 2006. Selepas bersara beliau telah berjaya memperolehi UEFA Pro License dan layak menjadi pengurus pasukan.

Foto – Mirror

Pada April 2009, Shearer telah mengurus Newcastle namun tidak dapat membantu Newcastle untuk terus berada di Liga Perdana Inggeris.

Alan Shearer juga telah memulakan yayasan amal beliau sendiri melalui ‘The Alan Shearer Foundation’. Yayasan ini berjaya mengutip sekurang-kurangnya £250,000 untuk membantu orang kelainan upaya terutamanya dikawasan kejiranannya.

Kini Alan Shearer masih lagi terlibat dengan sukan bola sepak yang dicintainya dari kecil. Beliau masih lagi memberikan pandangan dan mengulas perlawanan bola sepak di radio dan televisyen.

Alan Shearer melakukan 441 (203 menang, 129 kalah) penampilan dalam Liga Perdana Inggeris dan berjaya menjaringkan sebanyak 260 gol serta 64 ‘assists’. Daripada 260 gol yang telah dijaringkan, 49 daripadanya adalah daripada tandukan.

Foto- Chroniclelive

Sepanjang karier, beliau pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak liga selama tiga musim berturut-turut dari musim 1994/95, 1995/96, dan 1996/97, penjaring terbanyak Piala UEFA 2003/04, 2004/05 dan memenangi anugerah PFA Player’s Player of the Year pada tahun 1995 dan 1997.

Alan Shearer juga dikenali sebagai pemain yang baik di dalam dan di luar padang. Alan Shearer hanya mengutip 41 kad kuning serta 2 kad merah sepanjang karier beliau sebagai pemain bola sepak profesional.

Sehingga kini Alan Shearer masih memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris dan diikuti Wayne Rooney dengan 198 gol.

Foto- premiere league

Selepas bersara pada tahun 2006, Alan Shearer memilih untuk menjadi pundit bersama sebuah stesen televisyen sebagai karier masa depan selepas berakhirnya karier bola sepak.

Tetapi apabila Newcastle ‘The Magpies’ United memerlukan khidmatnya untuk menyelamatkan nasib mereka pada 2009, Shearer tidak menolak dan hadir bak wira.

Namun demikian Shearer gagal menyelamatkan Newcastle dari tersingkir ke Championship apabila tewas 1-0 di hari terakhir liga kepada Aston Villa.

Siapakah yang mampu menyaingi rekod Alan Shearer? Sama-sama kita nantikan.

Sepuluh Penjaring Terbanyak Liga Perdana Inggeris

Berikut adalah senarai sepuluh penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris sehingga kini. Harry Kane merupakan calon paling berpotensi setakat ini untuk meleburkan rekod Alan Shearer.

1. Alan Shearer : 260 gol
2. Wayne Rooney : 208 gol
3. Andrew Cole : 187 gol
4. Sergio Agüero : 184 gol
5. Frank Lampard : 177 gol
6. Thierry Henry : 175 gol
7. Harry Kane : 166 gol
8. Robbie Fowler : 163 gol
9. Jermain Defoe : 162 gol
10. Michael Owen: 150 gol
11. Les Ferdinand : 149 gol

BACA:  Alan Shearer Anggap Bintang Chelsea Terlalu 'Sopan' Ketika Bertahan