Alan Shearer Telefon Rashford Demi Untuk Beri Dorongan Kepada Bintang England Itu

Alan Shearer telah menghubungi Marcus Rashford yang kini berada di tahap persembahan terburuk dalam kariernya.

Melihat persembahan hambar yang dipersembahkan oleh Rashford, ia telah mencetuskan kebimbangan ramai pihak termasuk Alan Shearer.

Rashford memulakan saingan Premier League musim ini sedikit lambat berbanding pemain lain, dek kerana beliau bergelut dengan masalah kecederaan bahu yang beliau hadapi ketika saingan Euro 2020 lalu.

Sejak kembali beraksi, beliau hanya mampu menjaringkan tiga gol sahaja dari 15 penampilan dalam semua pertandingan bersama setan merah.

Legenda seperti Dimitar Berbatov dan Steve McClaren telah tampil membincangkan tentang mengapa persembahan Rashford semakin merosot.

Pemain berusia 24 tahun itu juga dilihat bergelut untuk mendapatkan persembahan terbaiknya ketika beliau turun beraksi dalam aksi kemenangan 1-0 Man Utd menewaskan Aston Villa baru-baru ini.

Rashford kini sudah beraksi sebanyak 11 perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol dan walau beliau dihentam oleh pelbagai pihak, namun beliau mendapat sokongan penuh dari penjaring terbanyak sepanjang zaman Premier League, Alan Shearer.

Laporan sama turut mendakwa yang legenda Newcastle dan England itu telah memberikan nasihat kepada Rashford tentang cara bagaimana untuk beliau berdepan dengan tekanan dan jangkaan dari ramai pihak seperti yang sedang beliau lalui kini.

Shearer turut sangat yakin dan pasti yang Rashford bakal kembali mendapatkan tahap persembahan terbaiknya selepas ini.

Shearer merupakan tetamu undangan di acara BBC, dan perasan yang para penyokong di Old Trafford tidak henti-henti mencemuh Rashford sepanjang perlawanan tersebut.

Rashford bersama rakan senegaranya Jadon Sancho dan Bukayo Saka merupakan antara mangsa yang diserang oleh peminat kerana gagal menyempurnakan penalti ketika aksi perlawanan akhir bertemu Itali.

Dan persembahan beliau dilihat mula semakin teruk selepas dari insiden tersebut dan dikhuatiri beliau masih tertekan dengan hal tersebut.

Bahkan kebanyakkan pemain dari skuad England yang tewas kepada Itali dalam aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020 lalu itu turut tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini.

Harry Maguire dan Harry Kane pada ketika ini sangat jelas tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka, dengan ketua pasukan Man Utd itu antara yang paling teruk.

Jack Grealish sementara itu gagal untuk menyesuaikan diri bersama skuad Man City dan jelas sekali beliau sebenarnya boleh beraksi jauh lebih baik berbanding itu.

Rashford telah berjaya menjaringkan lebih 20 gol dari semua pertandingan untuk Manchester United dalam setiap dua musim kebelakangan ini.

Namun pada musim ini, beliau sepertinya sukar untuk melakukan hal tersebut, dan mungkin beliau tidak akan mampu melepasi angka 10 gol.

Legenda Premier League, Paul Ince turut menghubungi Marcus Rashford, dalam usaha beliau untuk memberi sokongan kepada bintang England itu.

Ralf Rangnick sendiri bingung memikirkan apa sebenarnya yang berlaku kepada Rashford dan mengapa persembahan beliau merosot mendadak.

“Sebenarnya saya tak tahu.”

Jelas Ralf Rangnick ketika ditanya tentang mengapa semuanya serba tidak menjadi untuk Rashford di Old Trafford pada ketika ini.

“Dia sudah mencuba dengan berusaha sangat keras, dia berlatih, dia melakukan yang terbaik sejak beberapa hari sebelum perlawanan, dan kerana itulah saya letakkan dia dalam kesebelasan utama.”

Sejujurnya apa yang dilakukan oleh Alan Shearer dan Paul Ince merupakan satu usaha yang sangat murni dan wajar untuk dicontohi.

Berbanding menghentam pemain tanpa belas di dalam studio, mereka memilih untuk menghubungi sendiri pemain tersebut, dan mencuba untuk menghulurkan apa-apa bantuan yang mereka rasakan mereka mampu lakukan.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Harry Kane Samai Rekod Alan Shearer Selepas Hatrik Menentang Burnley