Harry Kane Samai Rekod Alan Shearer Selepas Hatrik Menentang Burnley

Bintang sensasi Tottenham Hotspurs, Harry Kane menyamai rekod Liga Perdana Inggeris yang dipegang Alan Shearer iaitu penjaring gol terbanyak sepanjang tahun selepas menjaringkan hatrik ketika perlawanan menentang Burnley kelmarin.

Penyerang antarabangsa England ini sudah menjaringkan 36 gol dalam saingan liga sepanjang tahun 2017, menyamai jumlah yang pernah dijaringkan Alan Shearer pada tahun 1995. Shearer ketika itu masih lagi bergelar pemain Blackburn dan berjaya membantu pasukannya meraih takhta Liga Perdana Inggeris pada musim tersebut.

Pemain paling bernilai Spurs

Dalam perlawanan Spurs menentang Burnley, Kane berjaya menjaringkan gol pertamanya melalui sepakan penalti pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, beliau berjaya menambah dua gol lagi untuk meraih hatrik, seterusnya menyamai rekod Liga Perdana Inggeris yang dipegang legenda Newcastle, Alan Shearer sehingga ke hari ini.

Rekod Shearer dalam bahaya

Sebelum perlawanan tersebut, Kane mengumpul 33 gol dan selepas tamat perlawanan, beliau memintas Thierry Henry yang menjaringkan 34 gol pada tahun 2004 dan Robin Van Persie yang menjaringkan 35 gol pada tahun 2011.

Kane berpeluang untuk memecahkan rekod Shearer kerana Spurs masih mempunyai satu lagi perlawanan pada tahun 2017, iaitu perlawanan menentang Soutampton yang bakal berlangsung pada hari ‘Boxing Day’.

Hatrik yang dicatatkan Kane ketika bertemu Burnley merupakan hatrik ke-7 beliau tahun ini, dimana 5 daripadanya hadir dalam saingan Liga Perdana Inggeris manakala satu dari Liga Juara-Juara dan satu lagi dari Piala FA.

Rekod jaringan Kane pada tahun 2017 cukup mengagumkan dan hanya ada dua pemain sahaja menjaringkan gol lebih daripada beliau dalam 5 liga atasan Eropah iaitu Edinson Cavani (Paris Saint-Germain) dan Lionel Messi (Barcelona). Cavani dan Messi masing-masing menjaringkan 50 gol dalam semua pertandingan tahun ini manakala Kane sudah mengumpul 46 gol.

Kemenangan ke atas Burnley merupakan kemenangan pertama di tempat lawan yang berjaya dicatatkan mereka semenjak bulan September. Hatrik Kane juga membantu Spurs melintas kedudukan Arsenal dalam liga dan mereka kini menduduki tangga ke-5 dan hanya ketinggalan 1 mata di belakang penghuni tangga ke-4, Liverpool.

BACA:  Harry Kane Bakal Ditawarkan Kontrak 5 Tahun Yang Bernilai £80 Juta