Bayern Munich Buat Tawaran Baru Bernilai Lebih €100 Juta Untuk Harry Kane

Bayern Munich dilihat sangat serius untuk mendapatkan Harry Kane apabila membuat tawaran baru bernilai €100 Juta dan ketika ini semuanya bergantung kepada Tottenham Hotspur atau lebih tepatnya Daniel Levy.

Harry Kane merupakan antara barang jualan terpanas di musim perpindahan ini apabila dilaporkan akan berhijrah, pada awalnya dikaitkan dengan Manchester United namun dengan kehadiran Rasmus Hojlund telah melenyapkan khabar angin itu.

Ketika ini Bayern Munich merupakan pasukan Eropah yang paling tergila-gilakan Harry Kane yang pastinya dapat menjadi mesin gol baharu yang belum dapat diganti sejak pemergian Robert Lewandowski.

Menurut Florian Plettenberg dari Sky Germany, gergasi Bundesliga itu telah mengemukakan tawaran baru yang lebih baik apabila menawarkan sehingga lebih €100 juta yang mencecah €120 juta untuk penyerang England itu, dengan pembayaran bonus disertakan.

Bos Bayern Munich ketika ini sudah pastinya mengharapkan jawapan daripada Daniel Levy dalam beberapa jam akan datang kerana dilaporkan Harry Kane secara dasarnya telah bersetuju dengan terma peribadi.

Tawaran terbaru untuk pemain berusia 30 tahun itu dibuat selepas laporan mendakwa Bayern telah menetapkan tarikh akhir tengah malam pada hari Jumaat untuk Spurs menerima cadangan mereka.

Kontrak Harry Kane bersama Spurs sudah memasuki tahun akhir dan jika Daniel Levy terus berkeras tidak mahu melepaskan, Harry Kane boleh didapati secara percuma pada musim panas akan datang.

Semua pihak yang terlibat berminat untuk masa depannya diselesaikan dengan cepat, dengan musim baharu Liga Perdana hanya tinggal seminggu lagi.

Menurut laporan The Athletic terma peribadi tidak menjadi isu apabila Bayern Munich juga sedia membayar gaji Harry Kane sebanyak £25 juta, dua kali ganda dari apa yang dinikmatinya ketika ini bersama Spurs.

Legenda Spurs dan juga England, Gary Lineker seperti mana kau, aku dan dia juga telah menggesa supaya Harry Kane meninggal Spurs dan menyertai Bayern Munich yang pastinya menjanjikan piala yang langsung tiada dalam karier hebat pemain tersebut.

“Saya rasa Harry akan meninggalkan Tottenham – dan dia sepatutnya melakukannya. Saya fikir dia mahu pergi dan mereka akan mewujudkannya.”

“Masa yang sesuai untuknya, dan kelab yang sesuai telah datang untuknya. Munich adalah bandar yang indah dan Bayern adalah salah satu kelab yang hebat dalam bola sepak dunia.”

“Alan Shearer sanggup memandu Harry ke lapangan terbang kerana dia mahu mengekalkan rekod jaringan gol Liga Perdana Inggeris.”

“Tetapi Harry sudah pun menjadi penjaring rekod sepanjang masa untuk England dan Tottenham.”

“Permainan ini adalah tentang memenangi penghormatan pasukan dan bukannya rekod individu dan itulah yang Harry perlukan.”

“Saya tidak nampak Spurs menamatkan liga dengan empat teratas musim depan.”

“Dan jika Harry tidak memenangi trofi bersama Bayern maka dia pastinya seorang yang gila.”

Pada 27 Jun Bayern Munich telah menghantar satu tawaran rasmi kepada Spurs. Tawaran itu bernilai €70 juta (£60.2 juta) berserta dengan beberapa bayaran tambahan dan ianya telah oleh ditolak walaupun Spurs sebenarnya tidak mempunyai kelebihan untuk bertahan kerana kontrak Kane hanya berbaki 12 bulan sahaja lagi.

Kane juga bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab seawal Januari ini. Spurs tidak mahu kehilangan seorang pemain paling bernilai dalam pasukannya secara percuma.

BACA:  Harry Kane Penyerang Paling Hebat Dalam Sejarah 28 Tahun England