Ramai Percaya ‘Sumpahan Harry Kane’ Kini Menjangkit Bayern Munich

Ramai peminat bola sepak kini mulai percaya sumpahan Harry Kane kini mulai menular ke Bayern Munich selepas kelab Bundesliga itu disingkirkan pasukan divisyen ketiga Jerman.

Kapten skuad kebangsaan England itu sehingga kini belum pernah menjuarai sebarang trofi utama sepanjang kariernya, walaupun begitu hampir berbuat demikian di perlawanan akhir Euro 2020 bersama England dan juga di pertandingan UEFA Champions League 2019 bersama Tottenham.

Dan kini Kane bersama pasukan baharunya kempunan untuk memenangi salah satu trofi utama dipertandingan pada musim ini dengan cara yang agak mengaibkan.

Pada musim panas lalu, kane turut pernah dikaitkan dengan Manchester United sebelum akhirnya memutuskan untuk meneruskan karier di luar Premier League.

Walaupun mendahului perlawanan melalui jaringan Thomas Muller pada babak pertama perlawanan, skuad kendalian Thomas Tuchel itu tewas 2-1 kepada pasukan divisyen ketiga, Saarbrucken.

Pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-45 sebelum mengecewakan Bayern Munich dengan gol kemenangan pada masa kecederaan pada separuh masa kedua.

Kane berada di dalam senarai pemain gantian dan tidak beraksi dalam perlawanan tersebut, dan Tuchel mungkin menyesali pilihannya untuk merehatkan pemain bintangnya itu – sehingga menyebabkan Bayern Munich yang memegang rekod juara 20 kali DFB Pokal tersingkir.

“Saya mula berpendapat Harry Kane adalah punca sumpahan,” tulis seorang penyokong di X selepas kapten England itu sekali lagi terlepas peluang untuk satu lagi trofi.

“Sumpahan Harry Kane yang tiada trofi kini melanda Bayern Munich,” tulis seorang lagi penyokong.

“Kepada mereka yang tidak faham… sumpahan Harry Kane tidak akan menghalang pasukan anda menjaringkan banyak gol atau menang perlawanan. Ia hanya akan menghalang pasukan anda memenangi trofi,” kata seorang lagi.

Dalam perlawanan tersebut Bayern turut kehilangan Mattijs de Ligt akibat kecederaan. Pemain pertahanan itu kelihatan kesakitan di bahagian lutut selepas satu terjahan pemain lawan.

Walaupun tersingkir daripada salah satu pertandingan domestik pada musim ini, Kane dan Bayern masih dianggap sebagai pilihan utama untuk kejuaraan Bundesliga pada musim ini.

Juara bertahan itu kini berada di kedudukan kedua liga, dua mata ketinggalan di belakang pendahulu Bayern Leverkusen.

Kane setakat ini juga bermula dengan baik sejak perpindahan ke Bundesliga. Bekas penyerang Tottenham itu sudah pun mencetak 14 gol daripada 13 perlawanan di semua pertandingan setakat ini.

BACA:  Meremang Bulu Roma Dengar Ucapan Penuh Inspirasi Kane Sebelum Sepak Mula Bertemu Jerman