Southgate: Harry Kane Penjaring Gol Terbaik Dunia

Pengurus England, Gareth Southgate memuji persembahan Harry Kane dan melabelnya sebagai penjaring gol terbaik dunia ketika ini selepas pemain tersebut menjaringkan gol pada hujung permainan untuk menewaskan Croatia semalam.

Dalam aksi UEFA Nations League yang berlangsung Stadium Wembley, England memerlukan kemenangan untuk menjuarai kumpulan. Sekiranya gagal, mereka akan disingkirkan dari kumpulan A4 yang turut dianggotai Sepanyol dan Croatia.

Jaringan kemenangan Kane hantar England ke pusingan kalah mati, meranapkan impian Sepanyol.

Penyerang Hoffenheim, Andrej Kramaric berjaya meletakkan Croatia di depan pada minit ke-57. Ketika England buntu mencari jaringan, Southgate memasukkan dua pemain serangan iaitu Jadon Sancho dan Jesse Lingard untuk memburu gol.

Percaturan tersebut nyata membuahkan hasil kerana England berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Lingard pada minit ke-78. Akhirnya, gol yang ditunggu England tiba pada minit ke-85 dengan kapten pasukan, Harry Kane muncul wira buat Three Lions apabila cepat bertindak untuk menolak masuk bola dari sepakan percuma.

Dengan kemenangan ini, England muncul juara kumpulan A4 dan akan layak beraksi di pusingan separuh akhir yang dijadualkan bakal berlangsung pada Mac tahun hadapan.

Gomez antara pemain yang bermain cemerlang

Kane bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya ketika mewakili England dimana beliau gagal menjaringkan sebarang gol dalam 8 perlawanan terakhir yang disertainya. Namun begitu, penantian Kane nyata berbaloi berikutan gol jaringannya berjaya menghantar England ke pusingan kalah mati dan berpeluang untuk muncul juara pertama kejohanan ini.

Southgate nyata tidak boleh menyembunyikan kegembiraannya melihat England menjuarai kumpulan dan memuji impak yang dihasilkan Kane dalam perlawanan tersebut.

“Harry Kane adalah penjaring gol terbaik di dunia. Beliau memikul tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti, seorang pemimpin, dan juga pandai memegang bola.”

“Kami percaya dengan Kane dan beliau juga ‘lapar’ untuk membawa pasukan ini mara lebih jauh.”

Antara penambaikan yang dilakukan Southgate terhadap pasukan kebangsaan England selepas Piala Dunia 2018 adalah memperkenalkan beberapa muka baru seperti Ben Chilwell, Joe Gomez, dan Jadon Sancho untuk menggantikan pemain yang berusia atau yang sudah bersara.

Sejak melakukan debut pada September lalu, Chilwell telah mengumpul 5 penampilan di peringkat antarabangsa.

Chilwell dan Gomez dinamakan dalam kesebelasan utama ketika menentang Croatia manakala Sancho masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua. Ketiga-tiga pemain ini beraksi baik untuk England semalam.

“Untuk memastikan semua pemain sentiasa bermotivasi, saya tahu kami memerlukan saingan untuk merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.”

“Kami ada meneliti Chilwell sebelum musim panas lalu untuk Piala Dunia, tetapi beliau masih belum bersedia untuk itu. Akan tetapi, musim ini Chilwell memulakan musim dengan cukup baik.”

“Pemain lebih muda juga muncul dengan cepat. Kami mungkin akan membawa Gomez ke Russia jika beliau cergas. Kami tidak takut untuk meletakkan pemain muda dalam pasukan ini.”

BACA:  Harry Kane Tak Sertai Sesi Latihan Bersama Tottenham Hotspur