Rashford Selamba Pergi Clubbing Selepas Kekalahan Memalukan Di Derbi Manchester

Marcus Rashford kini berhadapan dengan kemarahan daripada Erik ten Hag selepas didapati pergi ke kelab malam untuk berpesta beberapa selepas kekalahan memalukan Manchester United kepada Manchester City di Old Trafford.

Rashford sekali lagi menampilkan prestasi mengecewakan selepas United dengan mudah diratah dengan kekalahan 3-0 kepada City pada Ahad lalu.

Dan selepas perlawanan penyerang antarabangsa England itu dilihat berada di Chinawhite, lokasi terkenal di bandar Manchester di sebelah malam untuk meraikan hari jadi ke-26 bersama keluarga dan sahabat handai di kawasan VIP.

Difahamkan rakan sepasukan Tyrell Malacia turut berada bersama.

Parti di kelab malam itu difahamkan hanya tamat pada pukul 3:30 pagi. Rashford kemudiannya hadir untuk menyertai latihan di sebelah paginya di Carrington.

Sumber yang rapat dengan pemain itu berkata parti tersebut sudah dirancang lama untuk meraikan harijadinya di kawasan yang sudah ditempah khas di kelab malam itu.

Pada masa ini tidak dapat dipastikan sama ada Erik ten Hag akan melihat situasi itu sebagai masalah disiplin.

Walaupun demikian perbuatan meraikan harijadi di tempat seperti di kelab malam yang sentiasa menjadi perhatian umum sudah pasti akan mengecewakan Ten Hag – setelah kekalahan dalam perlawanan penting.

Tindakan tersebut sudah pasti tidak kelihatan ideal untuk kelab yang berhadapan pelbagai masalah di dalam dan di luar padang pada masa ini.

Rashford adalah penjaring terbanyak United pada musim lalu dengan 30 gol, sekali gus meyakinkan United untuk menawarkan kontrak baharu bernilai £300,000 seminggu pada Julai lalu.

Walaupun demikian prestasi Rashford pada musim ini jauh berbanding pencapaian dan kemampuan yang ditampilkannya pada musim lalu.

Malah beberapa rakan sepasukan yang lain turut bercakap kepada media bagaimana pemain penyerang itu perlu lebih fokus untuk membantu ketumpulan pasukan itu di jentera serangan pada musim ini.

Walaupun baru melalui 14 perlawanan untuk musim 2023/24 dalam semua pertandingan, United sudah pun tewas tujuh daripada perlawanan tersebut.

Prestasi United pada musim ini turut mendapat perhatian daripada Arsene Wenger yang pernah membimbing Arsenal dan menjadi seteru utama kepada United di era Premier League.

“Untuk sebuah kelab sebesar United, anda sedih melihat mereka seolah-olah hilang pengharapan.

“Saya tidak nampak di mana mereka boleh ditambah baik. Mereka hilang keyakinan, kualiti, dan semangat juang. Di atas semuanya, mereka sudah tidak ada semangat melawan.

“Saya tahu apakah perkara yang paling menjejaskan United. Pertama dan terutama ialah kualiti – kualiti individu yang dimiliki pemain,” kata Wenger.

BACA:  Amrabat Semakin Hilang Sabar Dengan Kelembapan Man United