Amrabat Semakin Hilang Sabar Dengan Kelembapan Man United

Manchester United sebenarnya sudah mempunyai perjanjian dengan Fiorentina untuk perpindahan Sofyan Amrabat.

Namun demikian perjanjian tersebut kini berhadapan risiko tidak akan menjadi kenyataan setelah United masih gagal menjual pemain yang diperlukan sebelum boleh mengesahkan Amrabat ke Old Trafford.

United sememangnya merancang untuk memperkuatkan bahagian tengah dengan membawa masuk Amrabat sebelum jendela perpindahan musim panas ini ditutup.

Bintang Maghribi di Piala Dunia 2022 itu sudah lama dilihat sebagai calon utama oleh Erik ten Hag untuk membantu Casemiro sebagai pemain tengah bertahan.

Malah United dikatakan sudah mencapai persetujuan untuk semua terma peribadi dengan Amrabat, dengan perjanjian sekitar £29 juta dengan Fiorentina.

Namiun demikian United masih perlu menjual pemain untuk memastikan tempat untuk Amrabat di dalam skuad musim ini, selain daripada untuk menjana dana untuk membenarkan perpindahan itu menjadi kenyataan.

Setakat ini United hanya berjaya menjual Fred yang menyertai Fenerbahce beberapa hari lalu.

Seperti sedia maklum United gagal menjual Harry Maguire ke West Ham dan usaha kelab itu untuk mencari kelab berminat untuk mendapatkan Scott McTominay turut menemui jalan buntu.

United sudah menjelaskan kepada Fiorentina sebelum ini mereka perlu melepaskan sekurang-kurangnya dia pemain sebelum boleh meneruskan usaha membawa Amrabat ke Old Trafford.

Pemain tengah dari Belanda Donny van de Beek juga turut berada di dalam senarai untuk dijual. Namun demikian kelab itu masih gagal untuk mendapatkan harga yang mereka mahukan daripada Real Sociedad.

Situasi itu dilaporkan telah menyebabkan Fiorentina dan Amrabat semakin hilang sabar. Amrabat sendiri sebelum ini memberikan keutamaan untuk menyertai United.

Malah pemain tengah itu sebelum ini sanggup menolak tawaran daripada Atletico Madrid dan Juventus semata-mata kerana ingin ke Old Trafford.

Terbaru Liverpool turut menunjukkan minat untuk mendapatkan Amrabat setelah gagal mendapatkan Moises Condeido dan Romeo Lavia yang memilih untuk ke Chelsea.

Setelah berjaya memikat kapten VfB Stuttgart Wataru Endo pada awal pagi tadi, kelab Merseyside itu kini mulai mengalihkan perhatian kepada Amrabat yang akan menjadi sasaran terakhir Jurgen Klopp di jendela perpindahan musim panas kali ini.

Ia pasti satu tamparan hebat buat Erik ten Hag sekiranya pemain itu akhirnya menuju ke Anfield.

Kelembapan United di pasaran pemain sebelum ini turut memberikan impak kepada bidaan kelab itu untuk Benjamin Pavard yang ditolak oleh Bayern Munich.

Liverpool kini mahu menggunakan kekecewaan Amrabat dan Fiorentina, memujuk pemain itu untuk menolak tawaran ke Old Trafford dan sebaliknya memilih untuk ke Anfield.

BACA:  Pelabur Dari Dubai Rancang Bida $5 Bilion Untuk Dapatkan Liverpool