Maguire Dan Rashford Rayu Sancho Lupakan Ego Dan Minta Maaf Kepada Ten Hag

Beberapa pemain utama Manchester United telah tampil untuk memujuk Jadon Sancho memohon maaf kepada Erik ten Hag untuk mengakhiri persengketaan di antara kedua-duanya.

Pemain sayap berusia 23 yahun itu kini telah disingkirkan oleh Ten Hag daripada skuad utama United dan turut tidak dibenarkan untuk menggunakan semua kemudahan skuad utama di kelab itu.

Ketegangan di antara Sancho dan Ten Hag bermula pada 3 September lalu apabila pemain itu didakwa oleh pengurus Belanda itu tidak layak berada di dalam kesebelasan utama menentang Arsenal kerana prestasi kurang memberangsangkan ketika latihan.

Sancho bagaimanapun menyerang kembali Ten Hag dan menyifatkan dirinya sudah sekian lama menjadi kambing hitam atas prestasi hambar kelab.

Tindakan Sancho itu tidak disenangi oleh Ten Hag yang dianggap sebagai cuba mencabar autoriti beliau sebagai pengurus pasukan.

Ketegangan Sancho dan Ten Hag semakin berterusan apabila Sancho enggan melakukan permohonan maaf atas perbuatannya, walaupun memadam kenyataan di media sosial yang menuduh Ten Hag menipu dalam kenyataannya.

Dan kini rakan sepasukan Sancho di United tampil untuk memujuk Sancho melakukan permohonan maaf.

Pemain-pemain senior diketuai oleh Marcus Rashford dan Harry Maguire menuntut agar Sancho menelan ego dan menamatkan perseteruan dengan Ten Hag kerana menyedari tidak akan ada sesiapa di kalangan kedua-duanya akan menjadi pemenang sekiranya situasi tersebut berterusan.

Usaha mereka itu juga adalah untuk membenarkan pemain bernilai £73 juta itu boleh kembali beraksi bersama pasukan dalam masa terdekat.

Sancho sudah pun terlepas perlawanan menentang Burnley pada hujung minggu lalu. Skuad kendalian Ten Hag seterusnya akan menentang Crystal Palace dalam dua perlawanan berturut-turut pada 27 September untuk perlawanan Piala Carabao dan pada 30 September untuk perlawanan Premier League.

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Old Trafford.

BACA:  Conte Mula Lancarkan Perang Saraf Ke Atas Erik Ten Hag