Alves: Penjualan Ronaldo Jadikan Real Madrid Pasukan Yang Lebih Kuat

Pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Dani Alves percaya perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus telah menjadikan Real Madrid pasukan yang lebih berbahaya.

Real Madrid mungkin telah kehilangan bintang utama mereka sejak sekian lama tetapi menurut Alves, kehilangan Ronaldo mampu membuatkan Real Madrid menjadi pasukan yang lebih bagus.

Alves percaya Real Madrid makin kuat tanpa Ronaldo di sisi

Ronaldo berjaya membantu Real Madrid memenangi 4 trofi Liga Juara-Juara Eropah sepanjang 9 tahun beraksi dengan pasukan tersebut. Bekas pemain Manchester United ini dibawa masuk Juventus bagi membantu gergasi Itali itu menamatkan kemarau trofi di peringkat Eropah yang telah menjangkau 23 tahun.

Ramai menganggap Real Madrid bakal menerima kesan buruk kerana melepaskan pemain paling berharga mereka itu, tetapi Alves percaya perkara sebaliknya yang akan berlaku terhadap Los Blancos musim ini.

“Berbeza dengan anggapan banyak pihak di luar sana, saya percaya merupakan sebuah pasukan yang lebih baik tanpa adanya Cristiano Ronaldo. Sekarang keadaan mungkin akan menjadi lebih sukar apabila berhadapan dengan Real Madrid berdasarkan apa yang saya lihat dan konsep bola sepak saya.”

“Walaupun kehilangan Ronaldo merupakan kehilangan yang besar buat pasukan tersebut, Real Madrid masih lagi Real Madrid.”

Musuh ketat di atas padang

Alves juga memberikan pendapatnya mengenai keinginan Ronaldo yang ingin bermain di Serie A walaupun beliau mempunyai segala-galanya di Real Madrid.

“Sesetengah orang mencari cabaran kerana mahu berasa diri mereka ‘hidup’. Disebabkan itu, saya tidak terkejut dengan tindakan Ronaldo yang memilih untuk menyertai Juventus.”

“Ronaldo sudah lama bermain dengan Real Madrid, dan beliau telah mengecapi banyak perkara hebat. Sekarang sudah tiba masanya beliau mencuba sesuatu yang baru.”

“Saya melakukan perkara yang sama ketika bersama Barcelona. Pejuang sejati akan mencari cabaran dan tidak mahu berasa terlalu selesa.”

Alves berkata sasarannya sekarang adalah untuk membantu Paris Saint-Germain memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut. Walaupun tidak akan dapat beraksi menentang Liverpool awal pagi esok, Alves percaya PSG mempunyai prospek yang cerah untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

“Untuk mencapai objektif utama kelab ini sebenarnya tidak lah terlalu rumit. Tetapi anda memerlukan banyak perkara, melakukan pelbaga perkara, semangat yang berlainan, dan mentaliti yang berbeza.”

Alves yakin skuad PSG musim ini ada peluang cerah menangi UCL

“Tahun ini saya berasa agak yakin dengan peluang kami. Keadaan di PSG semakin bertambah baik dan pasukan juga menunjukkan prestasi yang baik. Terdapat beberapa perkara yang berbeza musim ini dan para pemain mula memahami permainan kami dengan lebih baik.”

Alves juga percaya jurulatih baru PSG, Thomas Tuchel merupakan individu yang tepat untuk memacu pasukan tersebut memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama.

“Beliau memiliki semangat yang menakjubkan dan telah menukar banyak perkara berkenaan mentaliti dan semangat pasukan ini.”

BACA:  Peminat Teruja Melihat Cristiano Ronaldo Kembali Ceria Selepas Tamat Aksi Kemenangan Bertemu West Ham