Ronaldo Jadi Cepat Emo Sebab Ini Euro Terakhirnya

Cristiano Ronaldo semalam benar benar emosi selepas penaltinya diselamatkan oleh Jan Oblak ketika aksi masa tambahan.

Pemain itu terpaksa ditenangkan oleh beberapa rakannya yang lain yang mahu dia segera bangkit dan fokus ketika kembali semula ke padang untuk menyambung aksi.

Namun aksi heroic oleh penjaga gol Diogo Costa berjaya menyelamatkan Abang Do dan juga Pepe daripada menjadi mangsa kecaman.

Costa berjaya menafikan percubaan minit akhir Sesko dalam situasi 1 lawan 1 selepas pertahanan veteran, Pepe melakukan kesilapan yang mengundang padah.

Pepe terlepas kawalan bola dan bola kemudian dirampas oleh Benjamin Sesko, pemain yang diletakkan sebagai salah satu pemain termahal dalam pasaran perpindahan kali ini.

Sesko agak tergopoh gapah di hadapan gol dan gagal menewaskan Diogo Costa yang membuka badannya untuk menafikan percubaan leret pemain itu dengan kakinya.

Ronaldo benar benar lega dengan penyelamatan bermaruah itu – sama seperti Pepe yang sudah melihat dunianya gelap seketika.

Kerana jika bola itu masuk sudah tentunya Portugal tersingkir dan dia akan berasa bersalah seumur hidup. Di tempat duduk penyokong ibunya turut emosional dan menangis.

Pada penentuan sepakan penalti, Ronaldo menjadi pelaksana pertama. Sebelum ini dia biasa memilih menjadi yang kelima untuk melakukannya.

Dan dia berjaya menewaskan Jan Oblak. Selepas menjaringkan penalti itu dia memberikan isyarat tanda kemaafan kepada penyokong.

Paling gila, Diogo Costa melakukan 3 saves dalam penentuan penalti ini secara berturut turut. Prestasi cemerlang penjaga gol itu membantu Portugal mara ke suku akhir menentang Perancis.

Dan selepas tamat perlawanan Ronaldo mendedahkan bahawa dia sangat emosi dalam perlawanan ini kerana Euro 2024 ini adalah Euro terakhir untuknya.

Dia sudah membayangkan dia menamatkan karier Euro-nya dengan kekalahan yang perit, dan dia sendiri sebagai punca kegagalan itu.

Namun dia benar benar lega dan terharu dengan kesungguhan pasukan Portugal. Ronaldo berkata: “Ini sudah tentunya akan menjadi Euro terakhir saya, pasti.

“Saya tidak tersentuh kerapa ini, tetapi tersentuh melihat kesungguhan pasukan kami.

“Saya rasa bersalah dan meminta maaf kepada penyokong. Saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk jersi ini. Sama ada saya gagal melakukannya [miss penalti] atau sebaliknya.

“Saya sudah melakukan perkara ini sepanjang hidup saya. Kamu harus bertanggungjawab di atas apa yang kamu telah lakukan.”

Ronaldo yang kini menghampiri usianya 40 tahun masih menjadi pilihan utama Roberto Martinez. Dia pernah mengetuai pasukannya menjadi juara Euro 2016.

Dia kecewa dengan prestasi buruk mereka di Piala Dunia 2022 yang lalu. Di mana dia meninggalkan padang dengan tangisan.

Adakah Ronaldo akan mampu menjulang satu lagi Euro pada kemunculan terakhirnya dalam pertandingan itu? Dia menjadi pemain pertama yang bermain dalam 5 edisi Euro.

Ronaldo sudah memiliki 5 Ballon d’Or di dalam kariernya. Kini dia bermain di Arab Saudi bersama dengan Al Nassr.

Roberto Martinez pernah menyatakan bahawa dia masih mahukan Ronaldo dalam pasukannya termasuk untuk aksi Piala Dunia 2026 yang akan datang.

Cristiano Ronaldo beberapa tahun lalu menyatakan bahawa dia yakin dia akan bermain di pentas tertinggi sehingga usianya lebih 40 tahun. Dan apa yang dia katakan itu benar benar bakal berlaku.

BACA:  Bukan Ke Man Utd Tandatangani Ronaldo Untuk Menang FA Cup?