Pada 2015, Ronaldo Pilih 5 Pemain Yang Bakal Menggegar Dunia, Di Mana Mereka?

Pada tahun 2015, Cristiano Ronaldo telah memilih dan membuat jangkaan bahawa 5 pemain pilihannya ini bakal menjadi pemain terhebat dan menggegarkan dunia pada ketika ini.

Dalam satu bual bicara, Ronaldo telah diminta untuk memberikan lima nama pada masa itu (2015) yang dia percayai mempunyai peluang cerah untuk menjadi pemain terhebat.

Menurut Ronaldo, ramai pemain yang berpotensi besar untuk menjadi masa depan bola sepak mengikut pandangannya ketika itu.

Selepas tujuh tahun berlalum boleh dikatakan pilihan Ronaldo ini ada menjadi ada yang semakin kelaut. Di manakah lima permain tersebut berada dan siapakah mereka?

1.Martin Odegaard (Arsenal)

Pemain yang menjadi pilihan Cristiano Ronaldo adalah Martin Odegaard ketika itu masih lagi bersama Real Madrid dan Martin Odegaard pada tahun 2015 hanya berusia 16 tahun.

Martin Odegaard pernah menggemparkan dunia suatu ketika dahulu apabila muncul pemain paling muda menjaringkan gol dalam Liga Perdana Norway pada usia baru mencecah 15 tahun.

Dia juga didendang dan dicanang-canang bakal menggemparkan dunia dan menjadi pengganti kepada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Odegaard menyertai Real Madrid pada tahun 2015 dan pada masa itu beliau dicanang bakal menjadi pemain terbaik dunia berdasarkan skill yang dimilikinya.

Namun begitu, seperti kebiasaan bukan semua ‘Wonderkid’ akan bertukar menjadi pemain yang hebat.

Hal yang sama terjadi kepada Odegaard yang gagal mendapat tempat dalam skuad utama Los Blancos dan terpaksa dipinjamkan kepada beberapa buah kelab demi kelangsungan kariernya.

Bersama Real Madrid, Odegaard sukar mendapatkan tempat dan dipinjam ke Heerenveen, Vitesse, Real Sociedad dan Arsenal bagi mendapat minit permainan.

Namun ramai lupa bahawa Odegaard masih lagi muda dan dalam proses untuk memenuhi potensinya walaupun ada yang melabelnya sebagai gagal.

Selepas dipinjam ke Arsenal, Odegaard kini telah didapatkan sebagai pemain tetap selepas memberi impak besar dan telah menjadi nadi pasukan Mikel Arteta.

Penghihrahan Alexandre Lacazette di penghujung musim lalu menyaksikan Martin Odegaard telah dilantik sebagai ketua pasukan baharu Arsenal dan berada dilandasan terbaik untuk mencapai potensi dan kemuncak karier.

2. Eden Hazard (Real Madrid)

Bekas bintang kesayangan Chelsea dan Belgium ini tidak perlu diperkatakan lagi tentang kehebatannya dengan bermain cemerlang bersama Chelsea untuk beberapa musim yang lalu dan berjaya membantu Chelsea menjulang kembali kejuaraan Liga Perdana.

Hazard berkemampuan untuk menewaskan pertahanan lawan dengan mudah dan mencipta peluang untuk rakan sepasukan bagi menghasilkan gol. Kemampuan Hazard ini mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan membuka ruang untuk rakan sepasukan.

Lagenda Arsenal menyifatkan Hazard sebagai pemain yang istimewa dan tiada siapa mampu menyekat beliau dengan kualiti hebat yang ada pada beliau ketika memegang bola serta mampu mampu menghasilkan sesuatu.

Hazard sudah lama menjadi sebutan ramai yang mengatakan beliau merupakan pengganti Ronaldo tetapi tiada pula yang melabel beliau sebagai Ronaldo Chelsea atau Belgium. Malah Ronaldo sendiri memilih Hazard.

Namun Hazard yang dulu bukan yang sekarang dulu disayang kini dihina. Sejak menyertai Real Madrid, Eden Hazard kini bukanlah Eden Hazard yang dunia bola sepak kenali seperti dulu.

Masalah kecederaan berpanjangan, masalah berat badan menjadikan Hazard beban kepada Real Madrid sejak hadir pada tahun 2019, di usia 30 tahun mustahil untuk Hazard kembali ke kemuncak.

Mungkin ini adalah satu pilihan yang teramat salah dari Ronaldo. Hazard dulu menjadi rebutan kelab gergasi, kini kelab divisyen dua dan West Ham United saja kelab yang berminat dengan Hazard.

Di jelajah pra musim Real Madrid, Hazard dilihat berjaya mengembalikan detik terbaik beliau untuk beberapa ketika. Masih adakah Sinar buat Hazard?

3. Memphis Depay (Barcelona)

Ketika pilihan ini dibuat Cristiano Ronaldo, Memphis Depay baru sahaja memulakan kariernya bersama Manchester United dan telah memakai jersi keramat bernombor tujuh.

Bermula agak meyakinkan namun karier Memphis Depay bersama Setan Merah tidaklah seperti yang diharapkan dan hanya mampu bertahan selama 18 bulan sahaja.

Depay hanya sempat melakukan 56 penampilan dan hanya menjaringkan tujuh gol sahaja, teramat jauh dari apa yang dijangkakan dan Lyon menjadi destinasi seterusnya.

Selepas 5 musim yang meyakinkan bersama Lyon, Depay mendapat nafas baru apabila disambar Barcelona untuk kembali beraksi bersama kelab besar diperingkat tertinggi.

Namun seperti di Manchester United, Depay gagal untuk memberikan impak dan seperti membuktikan kualitinya tidak cukup untuk bersama kelab besar.

La Blaugrana kini telah merekrut pemain baru dan sukar buat Depay mendapatkan tempat apatah lagi dengan kehadiran Robert Lewandowski dan Raphinha.

Barcelona dilaporkan sedia melepaskan Depay jika mendapat tawaran yang sesuai.

4. Paul Pogba (Juventus)

Ketika Critiano Ronaldo memilih Paul Pogba sebagai masa depan bola sepak pada 2015, pemain Perancis itu masih lagi bersama Juventus dan selepas 7 tahun Pogba kembali ke Turin.

Dalam tempoh 6 tahun dari 7 tahun tersebut, Pogba adalah pemain Manchester United selepas membuat kemunculan kembali dengan yuran perpindahan bernilai £94.5 juta.

Pogba bermula baik dan cemerlang namun prestasinya terus merudum saban tahun dengan aksi yang sangat tidak konsisten dan diselebungi pelbagai kontroversi.

Untuk beberapa musim terakhir aksi Pogba jarang diperkatakan berbanding permainan tarik talinya untuk kontrak baharu dengan gaji yang melampau.

Pogba kembali ke Juventus secara percuma pada musim panas ini namun tidak bermula dengan baik apabila mengalami kecederaan lutut.

Kecederaan ini memungkinkannya kembali seawal 2023 dan mungkin juga akan terlepas aksi Piala Dunia.

5. Neymar (Paris Saint-Germain)

Rasanya tiada apa yang perlu diperkatakan mengenai pemain paling mahal di muka bumi ini. Semua sedia maklum dengan kehebatan Neymar yang mampu menggelecek, menjaringkan gol, mencipta peluang, berebut sepakan penalti dan hebat melakukan terjunan.

Ketika berusia 25 tahun, Neymar dilihat sudah sampai masa puncak dalam kariernya dan hanya perlu mengekalkan prestasinya sahaja. Berpindah ke PSG untuk lari dari bayangan Messi walaupun di Barcelona beliau tidak perlu berebut untuk membuat sepakan penalti.

Neymar dikatakan hanya menunggu masa untuk menjadi pemenang Ballon d’Or dan pemain terbaik FIFA selepas meninggalakn Barcelona namun itu tidak terjadi.

Neymar masih lagi dianggap antara pemain terbaik dunia membantu PSG dan Brazil meraih kejuaraan namun tidak lagi layak menang Ballon d’Or.

Mungkin kerana beraksi di Liga Petani menyebabkan Neymar tidak dapat meningkatkan lagi permainnya di tambah dengan masalah kecederaan.

Neymar yang mahu lari dari bayangan Messi sekali lagi dibayangi pemain Argentina itu apabila Messi turut menyertai PSG.

Masa terbaik dan puncak Neymar adalah ketika bersama Barcelona bergandingan bersama Messi dan Suarez. Kini Neymar bukan sahaja kembali dibayangi Messi malah Kylian Mbappe juga.

BACA:  Neymar Pernah Membantu Liverpool Menjuarai EPL