Anak Petani Menang Emas Sempurna Untuk Bantu Ibu Yang Sakit

Anak muda China, Quan Hongchan telah mempamerkan aksi terjunan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika aksi peringkat akhir acara terjun 10m platform kemarin.

Pertama kali dalam sejarah, seorang atlet wanita mampu mencatatkan tiga markah sempurna (perfect 10) dari lima lompatan untuk memenangi pingat emas.

Quan ketika ini baru berusia 14 tahun dan beliau merupakan atlet paling muda dari kontijen China di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini.

Beliau berjaya memenangi pingat emas selepas menewaskan rakan senegaranya sendiri, Chen Yuxi dengan mengumpul 466.20 mata.

Namun Quan Hongchan menegaskan yang beliau tidak layak untuk dianggap remaja ajaib kerana beliau tidak melakukan kejayaan yang sama dalam pelajarannya.

“Saya tak rasa yang saya ajaib. Saya tidak begitu cerdas.”

“Saya tak buat yang terbaik dalam pelajaran saya. Kamu tanya saya semua soalan ni dan dalam fikiran saya hanya kosong.”

Rakan senegaranya, Chen Yuxi yang juga merupakan Juara Dunia dan turut memenangi pingat emas dalam acara 10m synchronised, mengakhiri acara ini dikedudukan kedua dengan mengumpul 425.40 mata.

Atlet dari Australia, Melissa Wu berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara ini selepas beliau mengumpul 371.40 mata, jauh dipisahkan dari Quan dan Chen, namun tetap yang terbaik dari atlet lain.

Quan telah diberikan markah penuh (perfect 10) dari kesemua tujuh pengadil pada lompatan kedua dan lompatan keempat beliau.

Untuk lompatan kelima beliau pula, enam pengadil telah memberikan marah penuh, sementara seorang lagi pengadil memberinya 9.5, namun ia cukup untuk menjadikan markahnya 90.00 mata.

Quan sebenarnya pertama kali bertanding di luar dari China, namun hal itu sedikit pun tidak membuatkan beliau gentar atau berdebar.

Beliau dilihat sangat tenang beraksi sepanjang kejohanan ini dan ramai yang kagum dengan ketenangan yang Quan miliki walau beliau baru berusia 14 tahun.

Quan Hongchan juga menyatakan yang beliau selepas ini mungkin perlu bersaing dengan adiknya, untuk mendapat tempat beraksi di Olimpik Paris 2024.

“Saya beritahu dia (adiknya) untuk terus berusaha.”

Jelas Quan.

“Saya rasa saya sendiri perlu berlatih lebih gigih dalam tempoh beberapa tahun ini, sebelum memikirkan tentang itu (Paris 2024).”

China ketika ini sudah memenangi enam dari tujuh emas yang sudah dipertandingkan di Olimpik Tokyo ini, selepas mereka berjaya meraih tujuh dari lapan emas yang dipertandingkan di Rio de Janeiro lima tahun lalu.

Untuk acara terakhir nanti, atlet lelaki China akan turut beraksi dalam pertandingan akhir 10m platform esok.

Atlet Great Britain, Tom Daley tentunya sangat berharap untuk menghalang dominasi sepenuhnya kontijen China, selepas kejayaan beliau memenangi emas acara 10m synchronised bersama pasangannya Matty Lee minggu lalu.

Quan Hongchan Anak Ajaib

Di usia 14 tahun dan 130 hari, Quan Hongchan berjaya menjadi atlet kedua termuda dalam sejarah China yang memenangi pingat emas Olimpik dalam acara terjun, selepas Fu Mingxia (Barcelona 1992).

China telah menghantar 10 penerjun di temasya Olimpik Tokyo 2020, dan kontijen kali ini dianggap ‘dream team’ memandangkan sembilan dari mereka merupakan Juara Dunia.

Siapa satu-satunya atlet mereka yang bukan Juara Dunia?

Satu-satunya atlet mereka yang bukan Juara dunia adalah Quan Hongchan yang mewakili China dalam acara 10m platform.

Kanak-kanak wanita yang sungguh hebat itu berasal dari Guangdong dengan beliau baru berusia 14 tahun dan dipilih mewakili Olimpik setahun selepas beliau dipanggil sertai skuad kebangsaan.

Quan Hongchan dilahirkan pada tahun 2007 di perkampungan Maihe, Bandar Mazhang, Zhanjiang, Guangdong.

Ibu dan bapanya merupakan petani kecil di perkampungan tempat beliau tinggal, dengan ibunya ketika ini berada dalam keadaan tidak sihat dan perlu sentiasa mendapatkan rawatan.

Kesukaran yang dihadapi oleh keluarganya menyebabkan Quan Hongchan menjadi sangat kuat dan bermotivasi.

Beliau hanya didedahkan tentang dunia sukan terjun ini ada tahun 2014 dan sejak itu Quan Hongchan berusaha dan berlatih dengan sangat gigih.

Pada Mac 2018, beliau mula mewakili daerah kediamannya, Guangdong untuk beraksi di pentas sukan peringkat negara China.

Tidak dinafikan China sememangnya sering melahirkan ramai atlet luar biasa berbakat dalam sukan terjun ini, namun sangat menakjubkan untuk melihat perkembangan gadis berbakat seperti Quan Hongchan yang bermula lambat, tetapi berkembang dengan begitu cepat dalam sukan ini.

Pada 4 Oktober 2020, ketika di usia 13 tahun, Hongchan telah berjaya menewaskan begitu ramai bintang-bintang besar China dalam acara akhir 10m platform di Shijiazhuang Station, ketika aksi kelayakan Olimpik.

Beliau ketika itu turut berjaya memenangi pertandingan tersebut dengan kelebihan 28 mata mengatasi pemenang di tempat kedua.

Pada 13 Mei 2021, ketika aksi National Diving Championship dan ujian kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo di Shanghai Station, Quan Hongchan sekali lagi mempamerkan aksi persembahan yang cukup menakjubkan.

Quan Hongchan berada di kedudukan pertama di kejohanan National Diving Championship

Beliau ketika itu dengan tidak melakukan kesalahan, telah berjaya mengumpul 440.85 mata dan menang mudah pertandingan tersebut.

Dalam perjalanannya ke Olimpik Tokyo, Quan Hongchan telah memenangi dua National Diving Championship dan sekali naik Juara dari tiga ujian kelayakan ke Olimpik.

Beliau berjaya mengatasi pemenang pingat emas Rio, Ren Qian dan barisan Juara Dunia lain untuk melayakan dirinya mewakili negara di temasya Olimpik Tokyo ini.

Dalam tempoh tujuh bulan sahaja, beliau telah berjaya mewakili negara ke Sukan Olimpik, bahkan turut memenangi pingat emas sempurna di temasya Olimpik Tokyo kali ini.

Satu pencapaian yang sungguh luar biasa menakjubkan dari anak muda yang berjiwa besar dan sungguh bermotivasi ini.

Beliau hanya pernah tewas sekali sahaja iaitu tewas kepada Chen Yuxi di pusingan kedua ujian kelayakan Olimpik, dengan markah yang beliau kumpul ketika itu 424.55.

Fakta menarik, atlet China sebelum Olimpik agak gentar dengan atlet Malaysia, Pandelela Rinong kerana setiap kali mereka tidak bertanding, tentunya ratu terjun negara itu akan menang.

Pandelela Rinong sememangnya atlet yang hebat dalam acara terjun ini

Walau bagaimanapun, kegentaran itu tidaklah keterlaluan kerana kutipan mata yang sering dikutip oleh Pandelela juga jauh dibelakang mereka yang beraksi dalam negara sendiri sahaja.

Aksi hebat dan menakjubkan yang beliau pamerkan pada ketika itu telah membenarkan beliau untuk masuk ke skuad kebangsaan China dan turut berjaya menarik perhatian media di negaranya.

Cari duit untuk tanggung kos rawatan ibu

Quan Hongchan pernah ditanya oleh pihak media, apa yang membuatkan beliau begitu bermotivasi dan berjaya untuk berada ditahap tertinggi ini dengan begitu pantas.

Dengan malu-malu, beliau mendedahkan yang:

“Rawatan untuk ibu memakan kos yang besar, jadi saya rasa saya juga perlu cari duit, jadi dengan duit yang saya cari saya boleh kirim ke rumah untuk ibu saya berubat.”

Walau beliau merasakan yang dirinya bukan ajaib kerana lemah dalam pelajaran, namun pemikiran yang beliau miliki sebenarnya setanding orang dewasa.

Di usia muda, memikirkan ibunya sakit, jauh dari keluarga untuk mengejar cita-cita, beraksi di pentas besar, menjadi perhatian ramai, namun semua itu sedikit pun tidak memberi kesan kepada Quan Hongchan.

Tidak pasti ibunya menderita sakit apa, atau berapa kos rawatan ibunya, namun usaha Quan Hongchan untuk membantu keluarganya sudah cukup untuk mengangkat beliau menjadi insan paling bermotivasi dan wajar dicontohi.

Perjalanannya masih jauh, namun beliau sudah mencapai kejayaan yang sungguh luar biasa dan boleh dikatakan kejayaan beliau sekarang adalah impian semua atlet terjun yang sudah bertahun-tahun berusaha untuk mencapainya.

Bukan hanya memenangi emas ketika debut di Olimpik, bahkan rekod beliau yang mencatatkan perfect 10 sudah cukup menakjubkan untuk membuat semua orang teruja.

Sumber: Infnews

BACA:  Mengapa Atlet Terjun Cari Shower Selepas Keluar Kolam?