Ancelotti Label Laporan Kaitkan Dirinya Dengan Brazil Sekadar Khabar Angin

Pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti sekali lagi cuba memadam spekulasi dan laporan yang mengaitkannya dengan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil.

Masa depan Ancelotti hangat diperkatakan selepas kontrak beliau bersama Los Blancos akan tamat pada musim panas 2024 sebaik sahaja kempen musim ini berakhir.

Pengurus veteran dari Itali itu kekal di Estadio Santiago Bernabeu walaupun gagal mempertahankan gelaran La Liga dan Champions League untuk Los Blancos pada musim lalu.

Laporan sebelum ini mendedahkan Ancelotti adalah jurulatih pilihan pertama oleh Brazil FA selepas Tite melepaskan jawatannya pada Disember lalu.

Sehingga kini peranan ketua jurulatih skuad samba itu dikendalikan secara interim.

Walaupun spekulasi mengaitkannya dengan Brazil semakin kencang, Ancelotti konsisten enggan mengelak soalan mengenai masa depannya dan enggan mengesahkan sama ada dia akan menerima tawaran melatih Brazil.

“Khabar angin, semua itu khabar angin. Buat masa sekarang saya sangat gembira di Real Madrid,” kata Ancelotti dalam tembual bersama Radio Anch’io Sport.

“Kami [Real Madrid] memulakan musim ini dengan baik sekali. Saya berharap kami mampu terus melakukannya sehingga ke penghujung musim.”

Skuad Real Madrid kendalian Ancelotti akan kembali memberikan fokus kepada saingan La Liga bertemu Sevilla pada 21 Oktober hadapan selepas tamat tempoh rehat antarabangsa.

Selepas melalui sembilan perlawanan setakat ini, Ancelotti berjaya meletakkan Real Madrid di kedudukan teratas liga dengan 24 mata, dua mata dihadapan Girona yang berada di kedudukan kedua.

BACA:  Dani Alves Keluar Penjara Selepas Bayar Wang Jaminan RM5.12 Juta