Andy Carroll Jaringkan Dua Gol Yang Cukup Cantik, Namun Kedua-duanya Dibatalkan Oleh Pengadil

Pemain penyerang Reading, Andy Carroll berjaya menjaringkan dua gol yang boleh dianggap sebagai gol tercantik sepanjang kariernya, namun kedua-dua gol tersebut dibatalkan oleh pengadil.

Apa yang lebih mengejutkan lagi, kedua-dua gol itu berjaya beliau hasilkan dalam tempoh dua minit sahaja ketika aksi bertemu Fulham.

Insiden luar biasa menakjubkan itu telah berlaku pada aksi babak pertama pertembungan bertemu Fulham dalam saingan Championship awal pagi tadi.

Reading dalam perlawanan tersebut telah dibelasah tanpa belas oleh Fulham dengan mereka tewas 7-0 di halaman sendiri.

Harry Wilson terlebih dahulu membuka tirai jaringan untuk Fulham seawal minit ke-13 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Madejski Stadium itu.

Bekas bintang Newcastle United dan Liverpool, Andy Carroll kemudiannya beranggapan yang beliau sudah berjaya menjaringkan gol penyamaan selepas menjaringkan gol luar biasa menakjubkan.

Carroll menjaringkan gol dengan menggunakan teknik lipat gulung yang sungguh kemas dan sempurna.

Walau bagaimanapun, gol cantik jaringan beliau itu telah dibatalkan kerana beliau dilihat berada dalam kedudukan sedikit offside sebelum menjaringkan gol tersebut.

Tidak sampai seminit selepas itu, Carroll menjaringkan satu lagi gol yang cukup padu dan diakui antara gol tercantik sepanjang kariernya.

Beliau mendada bola di kawasan berhampiran kotak penalti Fulham, sebelum melepaskan volley yang cukup padu tepat ke penjuru gawang gol.

Walau bagaimanapun, bendera linesman sekali lagi diangkat kerana mendakwa beliau berada di kedudukan offside.

Carroll dikatakan datang dari kedudukan offside sebelum menerima bola, seterusnya menyebabkan satu lagi gol cantik jaringan beliau dibatalkan oleh pengadil perlawanan.

Selepas dari itu, maka bermulalah mimpi ngeri untuk Reading dalam perlawanan ini, selepas Fulham kenduri gol membelasah mereka 7-0.

Aleksandar Mitrovic kemudiannya berjaya menggandakan kedudukan untuk Fulham mendahului perlawanan 2-0 selepas beliau tenang menyempurnakan sepakan penalti di hujung aksi babak pertama perlawanan.

Masuk aksi babak kedua, Fulham berjaya memperoleh lima lagi gol menerusi Harry Wilson, Aleksandar Mitrovic, Kenny Tete, Neeskens Kabano dan Tosin Adarabioyo.

Perlawanan tamat dengan Fulham berjaya mencatatkan kemenangan besar 7-0 menewaskan Reading, seterusnya merapatkan lagi jurang mata antara mereka dan Bournemouth yang berada di puncak saingan liga.

Ia merupakan malam yang tidak begitu baik untuk Andy Carroll yang baru sahaja menjaringkan satu gol dari tujuh penampilan beliau bersama Reading.

Beliau menandatangani kontrak jangka pendek bersama Reading yang bermula pada November lalu dan akan tamat pada 15 Januari ini.

Walau bagaimanapun, kelab dari Championship itu sepertinya mahu menawarkan kontrak lanjutan kepada Carroll dan mahu terus menggunakan khidmatnya.

Pengurus Reading, Veljko Paunovic telah mengesahkan yang kelab telah membuat tawaran rasmi dan kini mereka hanya menunggu jawapan balas dari Carroll sendiri.

“Kami sudah sediakan tawaran terbaik dari kami dan kami juga sudah berunding dengan dia, jadi sekarang kami hanya menunggu jawapan balas.”

“Jelas sekali, kami buat pada waktu yang tepat, dan kami menjangkakan akan ada hasil yang terbaik.”

Reading pada ketika ini hanya empat mata sahaja berada di zon selamat, dengan mereka juga sebenarnya berpotensi untuk tersingkir dari saingan Championship.

Dari 24 perlawanan mereka hanya mampu mencatatkan lapan kemenangan dan mengumpul 22 mata sahaja untuk berada di kedudukan ke-21.

Untuk memastikan agar mereka tidak tersingkir dan akan terus beraksi dalam saingan Championship, sudah tentu mereka memerlukan khidmat pemain seperti Andy Carroll.

Pengalaman dan kemampuan bintang England itu akan jadi sangat berguna untuk skuad Reading pada ketika ini, dan kerana itulah pihak kelab terdesak mahu beliau kekal.

Sumber: SPORTbible

BACA:  [VIDEO]: Andy Carroll Akhirnya Cetak Jaringan Tercantik Sepanjang Kariernya Dari Jarak 40 Meter