Chelsea Berminat Dapatkan Andy Carroll Secara Tetap

Chelsea dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang West Ham, Andy Carroll secara tetap dan telah menghantar delegasi ke West Ham untuk membincangkan perpindahan ini.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris ini sedang menilai beberapa calon pemain hadapan untuk meringankan beban yang ditanggung Alvaro Morata ketika ini. Chelsea sebelum ini hanya berminat untuk mendapatkan Carroll secara pinjaman selama 6 bulan, tetapi idea tersebut telah ditolak mentah-mentah oleh West Ham.

Carroll si tinggi lampai mungkin mampu menggugat kedudukan Morata

West Ham telah menetapkan yuran perpindahan berjumlah £20 juta untuk mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang berbaki kontrak 18 bulan dan dibayar gaji mingguan sebanyak £70,000.

Pemain berusia 29 tahun ini terlepas perlawanan terakhir West Ham menentang Shrewsbury Town dalam saingan Piala FA kerana mengalami kecederaan di pergelangan kakinya.

Dalam peringkat antarabangsa, Carroll hanya berjaya mengumpul 9 penampilan bersama England dan penampilan tersebut hadir ketika beliau masih lagi bermain dengan Newcastle United.

Musim ini menyaksikan Carroll mengalami prestasi naik turun, dan hanya mampu menjaringkan 2 gol sahaja setakat ini. Caroll dilihat bukan jenis pemain yang selalu ditandatangani Chelsea kerana tidak mempunyai nilai jualan balik yang tinggi dan mempunyai rekod kecederaan yang buruk.

Memiliki tandukan yang padu dan sering menjaringkan gol melalui udara

Walaubagaimanapun, pengurus Chelsea, Antonio Conte sedar pasukannya memerlukan nafas baru selepas kebelakangan ini Chelsea bergelut untuk menyudahkan rentetan peluang yang terhidang di hadapan gol. Conte mengenalpasti Carroll sebagai penyelesaian jangka pendek yang sesuai dan bakal menambah dimensi baru kepada pasukannya.

Pada harga £20 juta, nilai tersebut tidak lah terlalu tinggi buat Chelsea. Conte turut menyasarkan Alexis Sanchez sebelum ini tetapi pemain antarabangsa Chile ini hampir pasti akan menyertai Manchester United tidak lama lagi. Tambahan pula, tawaran gaji lumayan yang ditawarkan United tidak mampu ditandingi mana-mana kelab, termasuklah Manchester City.

Pemain yang aktif di Twitter. Bakal dipinjamkan ke kelab luar bagi mendapatkan waktu permainan

Carroll boleh dimasukkan dalam skuad Liga Juara-Juara Chelsea kerana West Ham tidak terlibat dalam mana-mana pertandingan Eropah musim ini. Chelsea bakal berdepan tugas getir bertemu Barcelona dalam peringkat kalah mati dan kehadiran Carroll mungkin dapat membantu Conte merencana strategi untuk menewaskan pasukan Catalan tersebut.

Ketibaan Carroll di Stamford Bridge hampir pasti akan membuka pintu keluar buat penyerang muda Chelsea, Michy Batshuayi untuk berpindah ke Sevilla secara pinjaman sehingga tamat musim ini. Beliau hanya mampu melakukan 3 penampilan liga sepanjang 18 bulan bersama pasukan dari London tersebut.

BACA:  Kai Havertz Puji Mentaliti Luar Biasa Di Arsenal Dan Mahu Menang Banyak Trofi Bersama