Kai Havertz Puji Mentaliti Luar Biasa Di Arsenal Dan Mahu Menang Banyak Trofi Bersama

Kai Havertz mensasarkan untuk memenangi banyak trofi bersama Arsenal selepas sah meninggalkan Chelsea dan menandatangani kontrak bersama seteru setempat kelab lamanya itu.

Havertz menyertai Arsenal daripada Chelsea dengan nilai perpindahan £65 selepas tiga musim di Stamford Bridge.

Sepanjang tempoh itu beliau melakukan 139 penampilan dan menjaringkan 32 gol, selain sempat membantu kelab itu menjuarai Champions League pada 2021.

Bercakap kepada media Arsenal selepas itu, Havertz dipetik sebagai berkata:

“Saya sangat teruja menyertai kelab luar biasa ini dan menjadi sebahagian daripada keluarga Arsenal.

“Kelab ini mempunyai sejarah yang banyak, dan saya berharap mampu mencapai banyak perkara bersama.

“Mentaliti di dalam skuad Arsenal sangat tinggi dan anda boleh merasakan aura itu. Itulah sebabnya ia amat sukar ketika menentang Arsenal baru-baru ini.

“Sasarannya ialah untuk memenangi trofi dan saya akan memberikan segalanya untuk berbuat demikian demi penyokong dan setiap individu di dalam kelab.

“Saya sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan sepasukan yang baru dan kakitangan apabila menyertai mereka di pra musim nanti.”

Bekas pemain Bayer Leverkusen itu turut memuatnaik ucapan selamat tinggal kepada Chelsea dan berkata beliau sebenarnya berat hati untuk berbuat demikian – terutama kepada penyokong The Blues yang sentiasa berada di belakangnya.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika mengulas ketibaan Havertz berkata:

“Kai adalah pemain yang sangat berkualiti. Dia adalah pemain versatile dan bijak. Sudah tentu dia akan membawa banyak kualiti kepada jentera tengah dan berkemampuan beraksi di dalam pelbagai variasi taktikal.

“Kita semua mengalu-alukan kedatangan Kai ke keluarga besar Arsenal dan kita semua juga teruja untuk bekerja bersama beliau bermula pra musim nanti.”

BACA:  Nike Pertimbang Tinggalkan Penajaan RM3 Billion Bersama Chelsea