Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar hampir sampai ke penghujung di mana Argentina dan Perancis telah pun menempah tiket ke perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Stadium Lusail pada hari ahad jam 11 malam.
Sementara itu pasukan pilihan rakyat bumi, Maghribi akan berentap dengan naib juara edisi 2018, Croatia di penentuan tempat ketiga dan keempat sehari lebih awal iaitu hari sabtu di stadium Antarabangsa Khalifa.
Apabila kita bercerita tentang Piala Dunia, hampir automatik kita akan terfikirkan Brazil kerana negara ini memegang rekod dengan kejuaraan sebanyak lima kali.
Akan tetapi, memandangkan orang sekarang suka membanding-banding, apa kata kita bandingkan negara manakah yang berjaya menjulang piala paling banyak?
Kiraan piala ini hanya mengambil kira kejuaraan rasmi seperti Piala Dunia, Kejohanan Eropah, Copa America mahupun Piala Asia. Kejohanan jemputan serta perlawanan persahabatan yang dianjurkan badan bola sepak dunia dan benua seperti Piala Konfederasi FIFA serta Finalissima – perlawanan ‘akhir’ antara juara Eropah dan Amerika Selatan – turut diambil kira kerana kalau tidak dikira, tak banyak pula piala nak dikira nanti, kan?
Piala-piala yang tak penting seperti Piala AFF Suzuki tidak dikira kerana tidak dianjurkan oleh badan rasmi bola sepak benua atau dunia. Pingat emas Sukan Olimpik pula dikira sebelum ubahan peraturan yang hanya membenarkan skuad bawah 23 tahun menyertai acara ini.
Menerusi tinjauan di laman Givemesport [baca: kami cilok cerita ni], seorang pengguna reddit telah berkongsi grafik yang lengkap tentang jumlah piala rasmi yang dimenangi oleh negara-negara di dalam dunia ini.
Secara totalnya, Argentina muncul sebagai pasukan kebangsaan yang telah memenangi jumlah piala rasmi terbanyak – 21 piala. Ini termasuklah Piala Dunia pada tahun 1978 dan 1986, Finalissima pada tahun 1993 dan 2022 – perlawanan yang menyaksikan mereka tundukkan Itali tiga gol tanpa balas.
Untuk rekod, Finalissima dianjurkan buat pertama kali pada tahun 1985 yang mana telah dimenangi oleh Perancis.
Selain itu, Argentina juga telah memenangi Copa America sebanyak 15 kali serta satu piala Kejohanan Pan-Amerika, iaitu kejohanan yang melibatkan negara dari benua Amerika Selatan, Amerika Utara serta Carribean. Kejohanan ini hanya sempat dianjurkan sebanyak tiga kali bermula pada tahun 1952 dengan kaedah anjuran setiap empat tahun, sebelum ditamatkan pada tahun 1960 yang dimenangi oleh Argentina.
Brazil menduduki tangga kedua dalam jumlah kejuaraan rasmi dengan 20 piala, termasuk lima Piala Dunia, empat Piala Konfederasi FIFA, dua Kejohanan Pan Amerika serta sembilan Copa America. Kali terakhir negara samba ini memenangi Piala Dunia adalah pada 2002 di mana pemain-pemain seperti Ronaldo, Ronaldinho, Rivaldo serta Cafu menjadi tunjang utama pasukan di sepanjang kejohanan.
Kali terakhir Brazil memenangi sesuatu piala adalah Copa America pada tahun 2019 dan untuk Piala Dunia 2022, mereka diletakkan sebagai calon utama untuk memenangi piala ini buat kali keenam namun terciduk di suku akhir.
Melengkapkan penguasaan pasukan Amerika Selatan di tiga tempat teratas adalah Uruguay. Berbanding kedua-dua jiran dalam benua mereka, koleksi piala Uruguay hadir pada zaman dahulu kala – zaman Tok Kaduk masih lagi bersekolah tadika – di mana mereka memenangi Piala Dunia pada tahun 1930 dan 1950, dua pingat emas Olimpik sebelum penganjuran Piala Dunia pada tahun 1924 dan 1928 dan 15 edisi Copa America.
Mexico pula unggul di tangga keempat dengan satu Piala Konfederasi FIFA pada tahun 1999 serta 15 Concacaf Gold Cup – kejohanan yang disertai oleh negara-negara Amerika Utara dan juga Carribean.
Jerman dan Perancis pula merupakan negara Eropah yang memenangi piala rasmi terbanyak, berkongsi kedudukan dengan Amerika Syarikat, berdasarkan kiraan lapan piala.
Jerman memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali, tiga daripadanya ketika masih bergelar Jerman Barat dan kali terakhir mereka lakukannya pada tahun 2014 di Brazil. Negara yang pernah melahirkan pemain hebat seperti Jurgen Klinsmann, Lothar Matthaeus serta Franz Beckenbaeur ini juga pernah memenangi Kejohanan Eropah sebanyak tiga kali serta satu Piala Konfederasi FIFA.
Juara bertahan Piala Dunia, Perancis, telah memenangi piala berprestij tersebut sebanyak dua kali, satu piala Finalissima, dua kejohanan Eropah serta Liga Negara-Negara UEFA yang dimenangi mereka pada tahun 2021.
Itali secara kolektifnya mengumpul tujuh piala termasuk empat Piala Dunia, satu pingat emas Olimpik serta dua Kejohanan Eropah. Pasukan Mesir memegang takhta sebagai pasukan Afrika yang memenangi jumlah piala rasmi terbanyak di mana mereka telah menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) sebanyak tujuh kali, mendahului pasukan Cameroon yang mengumpul enam piala – lima trofi AFCON serta satu Piala Afrika-Asia pada tahun 1985.
Berkongsi kedudukan dengan enam piala adalah jaguh Asia, Jepun, yang merekodkan dua Piala Afrika-Asia serta empat Piala Asia AFC yang kali terakhir dimenangi mereka pada tahun 2011.
Australia muncul sebagai satu-satunya pasukan yang memenangi piala anjuran badan bola sepak dalam dua benua. Mereka telah memenangi Piala Negara OFC sebanyak empat kali, dan juga satu Piala Asia AFC pada tahun 2015.
Portugal, walaupun pernah memiliki generasi emas sekitar awal 2000-an, hanya mampu meraih trofi pertama mereka pada tahun 2016 selepas negara tersebut menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Kejohanan Eropah di Paris. Pada tahun 2019, mereka muncul pemenang edisi sulung Liga Negara-Negara UEFA.
England, yang kononnya gah dan mendakwa bola sepak berasal dari negara mereka pula hanya memenangi satu piala utama iaitu Piala Dunia pada tahun 1966. Kalau tengok dalam gambar tu England menang tiga piala, tetapi tak dapat dipastikan jenis piala apakah yang dimenangi oleh pasukan Tiga Singa ini.
Mungkin dua Trofi Fair Play FIFA pada tahun 1990 dan 1998 kot. Agaknya lah.
Jika Perancis muncul juara mereka akan menjadi negara Eropah paling banyak memenangi trofi dan jika Argentina melakukannya maka akan meninggalkan Brazil dengan kelebihan dua Piala.