Arsenal Tersentak Hilang Khidmat Gabriel Jesus Di Awal Musim

Arsenal sah akan kehilangan khidmat Gabriel Jesus selama beberapa minggu selepas pemain itu terpaksa menjalani rawatan untuk kecederaan lutut yang dialaminya.

Berita sedih itu disahkan sendiri oleh pengurus The Gunners, Mikel Arteta pada Rabu.

Penyerang dari Brazil itu tidak beraksi ketika Arsenal menewaskan Monaco di Piala Emirates dan sekadar menyaksikan perlawanan dari bangku pemain simpanan ketika rakan sepasukannya menewaskan lawan mereka itu 5-4 melalui penentuan sepakan penalti.

Eddi Nketiah yang dilihat bakal menggantikan tempat Jesus di awal musim Premier League nanti membatalkan gol pendahuluan Monaco melalui Youssouf Fofana sebelum waktu rehat setelah cemerlang menyudahkan hantaran lintang Gabriel Martinelli.

“Ia buka kecederaan yang amat serius tetapi dia [Jesus] terpaksa berehat selama beeberapa minggu.

“Sudah tentu ia [kecederaan] agak mengecewakan kerana dia mulai kembali ke tahap terbaiknya seperti yang ditampilkannya dalam perlawanan menentang Barcelona. Sekarang kami terpaksa sekali lagi melupakan khidmatnya.

“Sebenarnya Jesus sudah mulai rasa tidak selesa sejak beberapa minggu lalu dan kami harus memeriksa dan melihat keadaannya. Sekarang sah kami kehilangan khidmatnya.”

Penyerang berusia 26 tahun itu tidak beraksi sebahagian daripada saingan musim lalu selepas pembedahan lutut setelah beraksi bersama Brazil di Piala Dunia pada Disember lalu.

Secara keseluruhan Jesus tidak beraksi dalam 12 perlawanan Premier League pada musim lalu sebelum kembali bersama Arsenal pada Mac.

Walaupun demikian cabaran Arsenal untuk mempertahankan kedudukan teratas Premier League pada musim lalu musnah selepas hanya mengumpul 12 mata dari sembilan perlawanan terakhir musim lalu.

Sepanjang ketiadaan Jesus, Nketiah tampil sebagai pengganti namun pemain muda itu hanya mampu menghasilkan 4 gol untuk Arsebal

Arteta turut mengesahkan kecederaan terbaru Jesus mempunyai kaitan dengan pembedahan lutut yang dilakukannya sebelum ini.

“Ia berkaitan dengan kecederaan lama dan pembedahan yang dilakukan sebelum ini. Dia mengalami kesakitan di lutut dan masalah ini perlu diselesaikan segera,” tambah Arteta.

Arsenal akan memulakan kempen baharu Premier League menentang Nottingham Forest pada 12 Ogos akan datang.

Jesus menghasilkan 11 gol dan 8 assist dalam 33 perlawanan di semua pertandingan pada musim pertamanya bersama Arsenal.

BACA:  Ten Hag Sedih Mount Cedera Lagi: "Dia Ni Main Agak Keras"