Real Madrid terus gagaj melebarkan rekod hebat merangkul kejuaraan La Liga buat kali ke-35 selepas membelasah Espanyol 4-0 di Santiago Bernabeu pada hujung minggu lalu.
Kemenangan itu juga menjadikan pengurus pasukan, Carlo Ancelotti sebagai pengurus pertama di eropah memenangi kejuaraan dalam lima liga terbaik Eropah – England, Sepanyol, Jerman, Itali dan Perancis.
Bola sepak adalah permainan berpasukan. Begitu juga dengan tugas jurulatih. Mungkin tidak ramai menyedari sepanjang musim ini, Ancelotti terlepas beberapa perlawanan untuk mengendalikan pasukan disebabkan isu kuarantin dan pergantungan.
Namun tanpa Ancelotti di kawasan teknikal padang, Real Madrid tetap gagal mendominasi aksi La Liga dengan 25 kemenangan dan 6 seri – mengesahkan kejuaraan ketika saingan masih berbaki lima perlawanan.
Lebih menarik, Real Madrid masih lagi bersaing di pertandingan UEFA Champions League dan mengatasi seteru terdekat, Barcelona dengan kelebihan 15 mata di La Liga.
Dan antara individu penting yang banyak membantu Ancelotti sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah anak lelakinya, Davide Ancelotti.
Siapakah Davide Ancelotti
Mungkin tidak ramai yang mengenal Davide Ancelotti – satu-satunya anak lelaki Carlo Ancelotti.
Dilahirkan pada 22 Julai di Parma, Davide membesar dengan persekitaran bola sepak dan dikelilingi oleh ramai bintang dunia. Pada usia 22 tahun, Davide sudah memperolehi Ijazah di dalam bidang Sains Sukan.
“Semua orang mahu menjadi pemain bola sepak tetapi saya sedar dari awal saya tidak mempunyai bakat untuk itu. Jadi saya memilih untuk belajar [dapatkan Ijazah],” kata Davide dalam satu temubual bersama Daily Mail sebelum ini.
Davide sebenarnya pernah menyertai skua remaja AC Milan, tetapi nyata bakatnya di dalam bola sepak sebagai pemain kurang menyerlah sebelum beliau memutuskan untuk mengubah haluan dan karier.
Davide adalah seorang pelajar yang pintar. The Athletic pernah melaporkan thesis tahun akhirnya berkenaan sains permotoran di kalangan pemain bola sepak (motor science in football players) pernah mendapat markah tertinggi ketika menghadiri kursus kejurulatihan.
Memperolehi markah 137/140 untuk Lesen UEFA B dan 13/15 untuk Lesen UEFA A dianggap sebagai pencapaian yang cemerlang di dalam bidang ini.
Perjalanan karier
Karier Davide sebagai jurulatih bermula sebagai jurulatih kecergasan. Beliau menyertai Paris Saint Germain (PSG) pada 2012 dan berhijrah ke Real Madrid untuk menyertai rejim ayahnya pada 2013 dengan peranan yang sama.
Apabila Carlo Ancelotti mengendalikan Bayern Munich pada 2016, itu juga bermakna satu lagi pintu peluang terbuka buat Davide.
Di Jerman, Davide mulai bergelar pembantu jurulatih dan terus memegang peranan yang sama ketika ayahnya berhijrah ke Napoli pada 2018 – di mana beliau dikenali sebagai pembantu jurlatih termuda dunia (untuk liga utama eropah).
Dan di Itali Davide meraih pengalaman pertama beliau mengendalikan pasukan utama secara terus sebagai jurulatih selepas Ancelotti dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Atalanta dan tidak digantung daripada mengendalikan perlawanan menentang Roma.
Disebabkan situasi tersebut, Davide terpaksa mengambil peranan ayahnya, mengendalikan pasukan ketika perlawanan dan berhadapan dengan media selepas itu.
Peribadi Davide Ancelotti
Pengarah Sukan Napoli, Cristiani Guintoli menyifatkan Davide adalah seorang jurulatih yang mempersiapkan diri secara profesional dan sentiasa memastikan pasukan menampilkan aksi pada tahap terbaik seperti kebiasaan menyebabkan ketiadaan Carlo Ancelotti tidak dirasai.
Mereka yang pernah bekerja rapat dengan Davide menyifatkan beliau sebagai seorang yang jujur, pintar dan mempunyai hati nurani yang lembut seperti ayahnya.
Davide juga tidak pernah lari daripada tanggapan negatif sesetengah pihak terutama ketika bersama Bayern Munich.
Sebahagian pemain di kelab Bavarian itu mendakwa Davide mempunyai hubungan yang terlalu intim dengan beberapa anggota pasukan lain – sering keluar makan malam bersama – sehingga didakwa mementingkan hubungan peribadi berbanding hubungan profesional di dalam pasukan.
Peranan Davide di dalam pasukan
Dalam satu temubual bersama Liverpool Echo pada November lalu, Davide menjelaskan hubungan dan peranan beliau di dalam pasukan kejurulatihan yang diketuai oleh ayahnya.
“Tujuan saya ialah untuk memberikan beliau [Carlo Ancelotti] keraguan, dengan memberikan pendapat saya.
“Akhirnya, beliau harus membuat keputusan. Saya tidak berada di sini untuk berkata ‘ya, ya, ya’. Saya di sini sebagai pembantu jurulatih. Saya mempunyai keyakinan – lebih daripada yang lain – untuk berkata ‘Tidak, saya tidak setuju dengan anda.'”
Penutup
Kembali buat kali kedua bersama Real Madrid, Carlo Ancelotti kini menghentikan tabiat beliau yang gemar melantik bekas pemain sebagai sebahagian daripada pembantu beliau.
Jika dahulu, Ancelotti pernah bekerja bersama Claude Makelélé di PSG, Zidane di Real Madrid, Hasan Salihamidzic di Bayern dan Duncan Ferguson ketika di Everton.
Kini tiba masanya Carlo memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Davide sudah cukup matang.
Setakat ini Davide telah membuktikan kemampuannya membantu ayahnya. Akan tiba masanya anaknya akan berjalan sendiri bergelar pengurus kelab elit seperti ayahnya pada masa hadapan.