Ballon d’Or : Lewandowski Harap Messi Tidak Sembang Kosong

Lionel Messi telah dijulang sebagai pemain terbaik dunia, mengatasi cabaran terdekat, Robert Lewandowski pada minggu lalu, sekaligus mencatatkan rekod sebagai satu-satunya pemain yang berjaya menggondol piala tersebut sebanyak tujuh kali.

Dalam ucapannya di atas pentas, Messi secara terbuka telah mengakui bahawa penyerang Poland tersebut lebih layak untuk diberikan anugerah tersebut. Malah dia turut mencadangkan supaya penganjur, France Football, supaya menyerahkan kepada Lewandowski anugerah Ballon D’or yang sepatutnya beliau menangi pada tahun lalu.

“Robert, engkau berhak untuk dapatkan Ballon d’Or kau sendiri,” ujar Messi di atas pentas, sambil memakai jaket lip lap lip lap mengambil ilham dariapda gaya Dato’ M Daud Kilau.

“Tahun lepas, semua orang setuju bahawa kau adalah pemenang utama anugerah ini.

“Harap-harap France Football akan bagi la kat kau Ballon d’Or 2020. Kami semua percaya kau memang berhak dan boleh simpannya di rumah.”

Bagi yang tidak tahu, anugerah Ballon d’Or tidak diadakan pada tahun lalu gara-gara penularan wabak Covid-19 yang berasal dari pasar Wuhan di China, lantas menyebabkan banyak liga menamatkan saingan lebih awal daripada jadual.

Pada tahun ini, Lewandowski menerima 580 mata dalam proses pengundian, cukup untuknya memintas pemain tengah Chelsea, Jorginho di tangga ketiga.

Walaubagaimanapun, Messi berjaya mendapat 613 mata undian, sekaligus membolehkannya membawa pulang trofi bola emas itu kerumahnya buat kali ketujuh.

Penyerang Poland tersebut telah membuat naik satu hantaran di Instagram mengucapkan tahniah kepada Messi selepas majlis tersebut tetapi mengakui, seminggu selepas majlis itu, bahawa dia berasa sangat sedih selepas sangat hampir dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia pada tahun 2021.

Dalam satu temu ramah bersama media atas talian dari Poland, Kanale Sportowym, penyerang Bayern Munich itu tidak dapat menafikan betapa sedihnya dia sepanjang minggu ini.

“Aku rasa sedih,” ujar Lewandowski, dalam Bahasa Poland dan diterjemah oleh The Sukan.

“Aku tak boleh nak nafi.

“Aku tak boleh cakap yang aku ni gebira, sebaliknya, aku ada rasa sedih sangat.

“Bila dah hampir sangat ni, bertanding dengan Messi, memang la aku tabik cara dia bermain dan segala mak nenek pencapaian dia tu.

“Aku dah mampu bertanding dengan dia ni sebenarnya telah menunjukkan tinggi mana tahap aku boleh sampai.”

Pada masa yang sama, Lewandowski berharap Messi ikhlas bila mana dia mencadangkan supaya France Football berikannya anugerah Ballon d’Or 2020.

“Aku tak kebulur pasal anugerah 2020,” tambah Lewandowski lagi.

“Cuma aku harapkan ada keikhlasan [dalam ucapan Messi tentang Ballon d’Or 2020] dan ada simpati dalam kenyataannya, bukan sekadar cakap kosong.”

Dalam satu reaksi kepada kenyataan Messi pada minggu lepas, ketua editor France Football, Pascal Ferre telah berkata;

“Apa yang diucapkan oleh Messi tu sangat baik dan cerdik.

“Aku rasa kami tak perlu buat keputusan terburu-buru.

“Kami boleh cadangkan benda ni, tapi pada masa yang sama kami kena hormati sejarah Ballon d’Or yang terbina dan berasaskan undian.

“Kita pun tak pasti kan, kalau Lewandowski memang akan menang tahun lepas.

“Kita tak tahu sebab tak ada undian.

“Tapi jujurnya, Lewandowski memang sangat berpeluang tinggi untuk menang tahun lepas.”

Sebaga saguhati kepada penyerang berusia 33 tahun ini, France Football telah memberikannya anugerah Penyerang Terbaik Tahunan.

Robert Lewandowski telah bermain 54 perlawanan untuk Bayern Munich dan Bayern pada tahun 2021 dan hanya gagal menjaringkan gol dalam 12 perlawanan dengan jumlah 64 gol.

Pada musim ini, Lewandowski menyambung kembali ketajamannya pada musim lalu apabila dia telah menjaringkan 27 gol dalam 21 perlawanan, berbanding Messi yang dilihat lebih zuhud dengan empat jaringan gol dalam 13 perlawanan sejak berpindah ke ibu kota Perancis, Paris Saint Germain.

Selain itu, dalam majlis anugerah tersebut, pemain muda Barcelona, Pedri, telah diangkat sebagai pemain muda terbaik dunia, sekaligus membawa pulang Kopa Trophy.

Tidak dapat dinafikan bahawa sepanjang 12 bulan yang lalu adalah fasa yang menarik buat pemain tengah muda Barcelona dan Sepanyol yang berasal dari Canary Island tersebut.

Pada 20 Ogos 2020 Pedri tiba di Nou Camp dari kelab divisyen dua Las Palmas dan berjaya menempatkan diri dalam pasukan utama pada usia 17 tahun, dia mendapat pujian daripada ramai rakan pemain termasuk Lionel Messi dan Sergio Busquets.

Lebih manis, musim debut bersama kelab Catalan tersebut disudahi dengan kejayaan menjulang Copa del Rey.

Pada bulan September tahun lalu, dia mendapat panggilan pertama untuk menyarung jersi Sepanyol dengan memperkuatkan pasukan bawah-21 negara tersebut, kemudian dia mendapat kepercayaan daripada Luis Enrique untuk menjadi pemain tonggak skuad senior dalam kempen Euro 2020 di mana dia bermain hampir setiap minit buat pasukan La Furias Rojas, sehingga dinamakan sebagai pemain muda terbaik kejohanan.

Sebaik tamat Euro, Pedri dibawa pula ke Tokyo untuk mewakili pasukan bawah-23 negaranya untuk bertanding dalam sukan Olimpik, dan dia bersama rakan sepasukan berjaya pulang dengan pingat perak.

Sumber berita : GMS

BACA:  Ballon d'Or 2022: Robert Lewandowski Pemenang Gerd Muller Trophy