Bayern Munich Bakal Keluarkan Dana Besar Untuk Dapatkan Raphinha

Bayern Munich sudah bersetuju untuk membayar €50 juta kepada Leeds United untuk mendapatkan khidmat pemain sayap mereka, Raphinha.

Menurut sumber laporan dari Give Me Sport, pemain kebangsaan Brazil itu pada ketika ini sudah hampir pasti untuk sertai Bayern Munich pada jendela perpindahan Januari ini.

Beliau sebelum ini hangat dikaitkan dengan bakal menyertai Liverpool, namun sang penakluk dunia itu langsung tidak memulakan sebarang rundingan untuk mendapatkan khidmatnya.

Melihat ada kesempatan untuk mencuba nasib, Bayern Munich menghantar wakil untuk melakukan rundingan, dan mereka memutuskan bersetuju untuk membayar nilai €50 juta sebagai yuran perpindahan Raphinha.

Raphinha merupakan nadi penting untuk skuad kendalian Marcelo Bielsa sepanjang musim ini, dengan beliau sudah berjaya menjaringkan lapan gol dan turut mencatatkan satu assists.

Raphinha bahkan turut terlibat dengan separuh dari gol yang berjaya dijaringkan oleh Leeds United pada musim ini.

Baru setahun bersama kelab, beliau sudah berjaya menjadi pemain terpenting dan terbaik dalam skuad Leeds United yang sedang bergelut dengan masalah prestasi pada ketika ini.

Walau skuad Leeds United tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini, namun tidak dinafikan yang Raphinha masih konsisten pamerkan persembahan terbaiknya.

Apa yang sebenarnya berlaku pada Leeds United hingga menyebabkan mereka sedang bergelut teruk dengan masalah prestasi pada ketika ini?

Punca kemerosotan prestasi skuad kendalian Marcelo Bielsa

Mungkin ramai peminat yang hairan apa sebenarnya yang berlaku kepada skuad Leeds United di bawah kendalian Marcelo Bielsa pada musim ini.

Mereka jelas sekali sangat berbeza berbanding musim lalu dengan Leeds yang dahulu dianggap sebagai pasukan underdog, kini lebih kepada pasukan belasahan sahaja dalam saingan Premier League.

Dari 18 perlawanan setakat awal musim ini, Leeds United hanya mampu mencatatkan tiga kemenangan sahaja dan ia jelas merupakan satu hal yang sangat membimbangkan.

Mereka mencatatkan tujuh keputusan seri dan lapan kekalahan dengan Leeds kini berada di kedudukan ke-16 dalam carta saingan liga selepas mengumpul 16 mata.

Skuad kendalian Marcelo Bielsa itu hanya lima mata sahaja dipisahkan dari zon penyingkiran dan melihat kepada jadual mereka selepas ini, tak mustahil untuk Leeds berada di zon penyingkiran menjelang Februari nanti.

Pada musim lalu, The Peacock merupakan antara pasukan yang digeruni lawan dengan corak permainan pantas dan tidak kenal erti penat yang mereka persembahkan.

Walau bagaimanapun, mereka pada musim ini dilihat sukar untuk beri saingan kepada pasukan-pasukan lain dan kerap menjadi pasukan belasahan sahaja.

Kerana sedang bergelut dengan masalah prestasi jugalah yang menyebabkan Leeds United kini sedang berada di zon bahaya yang memungkinkan untuk mereka jatuh ke zon penyingkiran.

Mereka memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat teruk selepas dibelasah 5-1 oleh Manchester United dan sejak itu anak-anak buah Marcelo Bielsa dilihat mempamerkan aksi pasang surut dalam persembahan mereka.

Masalah kecederaan pemain punca persembahan Leeds United merosot

Leeds United juga sangat terganggu dengan masalah kecederaan pemain, dengan ramai dari pemain utama mereka yang terpaksa diketepikan atas alasan tersebut.

Patrick Bamford, Liam Cooper, dan Kalvin Phillips merupakan antara pemain yang terpaksa diketepikan untuk jangka masa panjang kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Diego LIorente, Pascal Struijk dan Rodrigo turut diketepikan dari beberapa aksi perlawanan Leeds United kerana masalah kecederaan kecil.

Pemain muda seperti Jamie Shackleton dan Charlie Cresswell turut sama diketepikan dari skuad utama kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Sementara Jack Harrison pula, beliau terpaksa diusung keluar dari padang ketika aksi bertemu Arsenal dan berkemungkinan akan turut masuk dalam senarai pemain yang akan berehat panjang.

Masalah kehilangan ramai pemain utama dan kekurangan pemain dari skuad depth menyebabkan Leeds semakin gerun untuk menghadapi jadual padat selepas ini.

Dari tiga perlawanan terakhir mereka, Leeds United telah beraksi bertemu Chelsea, Manchester City dan Arsenal.

Dengan pemain utama mereka masih tidak mampu diturunkan, Leeds United berdepan risiko besar untuk berada di zon penyingkiran pada penghujung Januari nanti.

Mereka juga dikatakan telah membuat kesilapan yang salah ketika menandatangani Daniel James pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.

BACA:  Raphinha Bengang Penyokong Leeds Buang Masa Ketika Mereka Sedang Ketinggalan