Bekas Pengadil Piala Dunia 1986 Bangga Bantu Maradona Jaring Gol Terbaik

Pengadil dari Tunisia yang mengadili perlawanan di mana England kalah kepada Argentina di Piala Dunia 1986 berkata beliau bangga dan menganggap ia sebagai satu penghormatan kerana membantu Diego Maradona menjaringkan ‘gol terbaik abad ini’.

Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun, namun masih ramai bekas pemain England yang masih diigau oleh kelincahan bekas pemain Argentina itu yang menggelecek bola dari kawasan sendiri sebelum menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Empat minit sebelum itu, Maradona menjaringkan gol paling kontroversi di dalam dunia bola sepak dengan jaringan ‘Hand of God’.

Pengadil perlawanan pada ketika itu, Ali Bin Nasser kini berusia 76 tahun berkata beliau tiada pilihan selain membenarkan gol tersebut pada ketika itu.

Beliau juga berkongsi kisah lawatan oleh Maradona pada 2015 dan menghadiahkan beliau sehelai jersi dengan tandatangan legenda dunia itu.

Mengenai gol kedua Maradona, Ali berkata kepada BBC Sport: “Dia memulakan larian dari midfield, dan saya mengikuti larian tersebut dengan rapat.

“Apabila anda mengadili perlawanan dengan pemain seperti Maradona, anda tidak dapat melarikan mata dan penglihatan anda dari tertumpu kepada mereka.

“Tiga kali mereka cuba menjatuhkannya, tetapi kerana keinginan untuk menang membuatkan beliau terus berlari.

“Setiap kali, saya menjerit ‘advantage’ sehingga lariannya sampai ke kotak penalti.

“Saya menyaksikan dari luar kotak penalti sambil kehairanan bagaimana pemain ini mampu menewaskan kawalan tiga pemain, dan memecut sejauh 50 meter.

“Saya berfikir pemain lawan akan menjatuhkan beliau. Saya memang menunggu ia berlaku dan bersedia untuk meniup wisel untuk memberikan sepakan penalti.

“Tetapi beliau mengejutkan saya dengan menggelecek seorang lagi pemain pertahanan dan juga penjaga gol [Peter Shilton] untuk menjaringkan gol yang kita panggil ‘gol terbaik abad ini’.

“Saya bangga dan menganggap ia penghormatan kerana mengadili dan memainkan peranan membenarkan kejadian dan pencapaian bersejarah tersebut.

“Jika saya meniupkan wisel untuk memberikan foul setiap kali antara tiga kali beliau cuba dijatuhkan, kita tidak akan menyaksikan perkara luar biasa ini. Advantage yang saya berikan itu adalah antara perkara yang saya banggakan.”

Ali juga menganggap suku akhir Piala Dunia 1986 yang dimainkan di hadapan 115,000 hadirin di Estadio Azteca, Mexico adalah perkara terbaik dalam kariernya selaku pengadil walaupun gol pertama yang kontroversi.

“Ia masih segar dalam ingatan,” sambung beliau lagi.

“Pemain pertahanan England [Steve Hodge] sepatutnya  menguasai bola tetapi menyepaknya ke belakang. Maradona pantas menyambar bola di udara melepasi Peter Shilton, dan kedua-duanya bersemuka secara bertentangan dengan saya.

“Mereka berhadapan secara bersemuka dengan pembantu pengadil dari Bulgaria, Bogdan Dochev.

“Pada mulanya saya agak teragak-agak [membenarkan gol], saya melihat ke arah Dochev, yang sudah berlari kembali ke garisan tengah, bermakna juga telah mengesahkan gol tersebut. Beliau tidak memberi isyarat handball.

“Arahan yang Fifa berikan kepada kami sebelum perlawanan jelas sekali. Jika ada rakan lain berada di posisi lebih baik, maka kita harus menghormati apa yang beliau lihat.”

Dochev meninggal dunia pada 2017 pada usia 80 tahun dan pernah berkata pada era itu Fifa tidak membenarkan perbincangan sesama pengadil ketika perlawanan.

“Jika Fifa mengarahkan pengadil dari eropah bertugas pada ketika itu, jaringan sebegitu pasti tidak akan dibenarkan,” ujar beliau satu masa dahulu.

Ali bagaimana pun berkata semangat kesukanan yang ditunjukkan pemain England ketika itu amat baik sekali.

“Gary Lineker datang kepada saya dan berkata, ‘tolonglah reff, handball!’ Saya menjawab kembali: Tolong sambung perlawanan ini.”

“Pada saya gol tersebut adalah 100% gol yang sah menurut peraturan Fifa.”

Apabila Maradona mengunjungi Tunisia pada 2015, beliau sempat mengunjungi Ali Bin Naseer di kediamannya.

“Saya berkata kepada dia, ia bukannya Argentina yang memenangi Piala Dunia pada tahun itu, ia adalah Maradona.

“Dia menjawab: ‘Jika ia bukan kerana anda, saya tidak akan mampu menjaringkan ‘gol terbaik abad ini’ itu.

“Beliau menghadiahkan saya jersi dengan tandatangan dengan tulisan ‘Para Ali mi Amigo Eterna’.”

BACA:  Bekas Pemain Liverpool Kemurungan Selepas Dicederakan Virgil Van Dijk