Bukan Ke Man Utd Tandatangani Ronaldo Untuk Menang FA Cup?

Roy Keane dan Jamie Carragher sebelum ini pernah terlibat dalam satu perdebatan hangat melibatkan keputusan Man Utd menandatangani Cristiano Ronaldo.

Kedua-dua mereka berdebat teruk dengan Carragher mempertikaikan keputusan United membawa pulang legenda kelab itu, sementara Keane pula menyokong keputusan bekas kelabnya itu.

Carragher ketika itu menegaskan yang Ronaldo tak akan mungkin mampu membantu United memenangi Piala, apa lagi kerana usianya yang sudah terlalu veteran.

Legenda Liverpool itu turut menegaskan yang United sepatutnya menandatangani pemain lebih muda dalam usaha mereka untuk memenangi Piala dan sebagai langkah awal untuk projek masa hadapan yang lebih berjaya.

Keane bahkan percaya yang Ronaldo akan bantu United memenangi Piala pada musim ini termasuklah Piala FA dan Carragher hari ini tampil mengungkit semula kenyataan legenda United itu dengan menyatakan:

β€œRoy Keane beritahu saya yang Man Utd menandatangani Ronaldo untuk menang #FACup.”

Kenyataan Jamie Carragher menganjing Roy Keane itu jelas sekali membuatkan ramai penyokong Manchester United yang koyak dan kebanyakan dari mereka turut meninggalkan komen pada muat naik tersebut.

Rata-rata komen yang ada adalah komen yang mempersoalkan mana kejuaraan Premier League Carragher kerana legenda Liverpool itu tidak pernah menjulang kejuaraan liga.

Carragher menganjing Keane selepas Manchester United dikejutkan dengan kekalahan bertemu Middlesbrough awal pagi tadi, seterusnya menyebabkan mereka tersingkir dari saingan Piala FA.

Middlesbrough cemerlang tendang Man Utd keluar dari saingan FA Cup

Cristiano Ronaldo telah mengambil sepakan penalti yang sangat teruk ketika aksi kekalahan bertemu Middlesbrough di pusingan keempat saingan FA Cup awal pagi tadi.

Kegagalan Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti telah menyebabkan kelab dari Championship itu berjaya membawa mereka ke aksi tambahan masa, seterusnya ke aksi penentuan sepakan penalti.

Manchester United melayan kunjungan Middlesbrough ke bumi Old Trafford untuk aksi dalam saingan Piala FA dengan Ralf Rangnick turut menurunkan skuad terbaiknya dalam perlawanan ini.

Bertemu pasukan Championship dengan menggunakan skuad terbaik mereka sudah cukup untuk menjelaskan yang setan merah benar-benar terdesak mahu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini.

Seawal 20 minit pertama permainan, Manchester United telah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, selepas Paul Pogba dikasari di dalam kotak penalti.

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, namun sayangnya beliau sekadar merembat bola melepasi gawang gol lawan.

Ia merupakan penalti yang sangat teruk dan langsung tidak berkualiti dari seorang pemain yang dianggap terhebat sepanjang zaman.

Nampaknya ia bakal menjadi hadiah yang cukup mengerikan untuk Cristiano Ronaldo yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-37 minggu ini.

Walaupun ada pakar sepakan penalti, Bruno Fernandes di atas padang, namun Ronaldo tetap diberi penghormatan untuk menyempurnakan sepakan penalti yang mereka menangi itu.

Ronaldo nampak sangat yakin untuk meledak gol ke gawang lawan, namun bola rembatan beliau jelas sangat mengecewakan.

Ia merupakan kali yang ke-29 Cristiano Ronaldo terlepas peluang untuk menyempurnakan sepakan penalti sepanjang kariernya.

Beliau pada awal minit ke-7 permainan turut berpeluang untuk menjaringkan gol lipat yang menakjubkan selepas menerima bola umpanan dari Shaw, namun percubaannya itu tenang dinafikan oleh Joe Lumley.

Ronaldo kemudiannya boleh menarik nafas lega selepas Man Utd berjaya menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan ini menerusi Jadon Sancho.

Sancho yang menerima bola di dalam kotak penalti lawan, cuba dihalang oleh dua pertahanan Boro sebelum melepaskan satu rembatan menerusi kaki kirinya yang tertampan ke kaki pemain lawan sebelum menewaskan Lumley.

United terus melancarkan serangan sepanjang separuh masa pertama namun dikecewakan dengan ketumpulan pemain mereka di depan gol.

Pada minit ke-29, cubaan Ronaldo telah mampu menewaskan penjaga gol Boro, namun bola sekadar lalu tanpa singgah ke dalam gol lawan tanpa sempat dikejar oleh Marcus Rashford.

Seminit kemudian, rembatan Rashford telah berjaya menembusi gawang lawan namun gol tidak dikira kerana dia terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.

Pada penghujung separuh masa pertama, tandukan lemah daripada Bruno Fernandes ditangkap mudah oleh Lumley yang dilihat sangat bersedia untuk mengharungi perlawanan ini.

Matt Crook berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 apabila dengan mudah menolak masuk bola hantaran daripada Duncan Watmore. Selepas menerima bola di dalam kotak penalti, bola dilihat terkena tangan Watmore sebelum dia melambung bola kepada Crook.

Tanpa ragu, pengadil meniup wisel dan menunjukkan tangan ke tengah padang menandakan gol tersebut dikira dan bola yang terkena tangan Watmore tersebut dianggap sebagai satu insiden yang tidak sengaja.

Tersentak dengan gol tersebut, United dilihat hilang arah dalam perlawanan ini dan mula melakukan aksi kelakar terutamanya daripada Harry Maguire.

Pada suatu ketika, Bruno Fernandes sudah sepatutnya meletakkan United kembali di depan apabila dia berjaya merampas bola hasil daripada kesilapan pertahanan Boro berhampiran kotak penalti mereka.

Dengan pintu gol sudahpun terbuka luas dan tidak dicabar mana-mana pemain lawan, Fernandes memilih untuk menyepak bola ke arah tiang sekaligus mengecewakan penyokong United di stadium dan juga di depan televisyen di seluruh dunia.

Kedudukan satu sama ini kekal sehingga tamat masa tambahan dan perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Lepasan akademi United, Pady McNair, telah menjaringkan penalti pertama buat Boro, sebelum disamakan kedudukan oleh Juan Mata. Martin Payero, Jonathan Howson, Marcus Tavernier, Souleymane Bamba, Duncan Watmore, Dael Fry dan Lee Peltier kesemua mereka berjaya menyudahkan sepakan penalti dengan penjaga gol United, Dean Henderson hanya mampu terkebil-kebil melihat bola masuk ke dalam gol.

Harry Maguire, Fred, Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes, Scott McTominay dan Diogo Dalot pula kesemua mereka berjaya menyudahkan penalti dengan baik. Detik kekecewaan penyokong United hadir pada sepakan penalti mereka apabila pemain muda yang semakin meningkat naik, Anthony Elanga telah termakan dengan tekanan yang menggunung apabila sepakan penaltinya melambung tinggi melepasi gawang, sekaligus membuatkan para pemain Boro berlari keseronokan dan kegembiraan.

Kekalahan ini membuatkan United mencipta rekod baru pasukan mereka di mana mereka mencatatkan tujuh peluang keemasan di dalam perlawanan sepanjang 90 minit – paling banyak yang direkodkan sejak laman sesawang Whoscored mula mengumpul data ini.

BACA:Β  Ronaldo Label Ketua Pengarang France Football Penipu