Bukayo Saka Dedah Sebab Tanggalkan Jersi Walaupun Sterling Yang Jaringkan Gol Untuk England

Bukayo Saka akhirnya menjawab segala persoalan mengapa beliau menanggalkan jersi yang dipakainya ketika keraian gol Raheem Sterling menentang Republik Czech tempoh hari.

Sterling menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika menewaskan Republik Czech pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Wembley Selasa lalu.

Saka, pemain muda berusia 19 tahun beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan itu dan turut terlibat dalam gerakan untuk gol Sterling.

Kemenangan ke atas Repblik Czech tersebut juga membenarkan England melangkah ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan D, dan akan menentang Jerman di pusingan berikutnya.

Selain daripada prestasi cemerlang dalam perlawanan tersebut, antara momen lain yang mencuri perhatian penyokong England mengenai Saka ialah tindakan pemain itu menanggalkan jersi ketika meraikan gol Sterling.

Tindakan sedemikian biasanya dilakukan oleh penjaring gol. Namun hari ini kebanyakkan pemain berfikir dua kali untuk berbuat demikian. Apatah lagi jika gol tersebut hadir pada babak awal permainan. Takkan Saka ‘over’ pula celebrate gol orang lain?

Perkara sebenar yang berlaku ialah Saka bukan menanggalkan baju kerana meraikan gol tersebut semata-mata. Menurut penjelasan yang diberikan pemain itu, tindakan tersebut adalah untuk menanggalkan baju dalam kerana cuaca yang sangat panas.

“Sebelum itu lagi apabila Harry Kane dikasari saya cuba menanggalkannya. Kemudian saya berfikir, jika lawan melakukan sepakan percuma pantas, takkan saya mahu berlari mengejar bola tanpa baju membaluti badan,” jelas Saka.

“Maka apabila kami berjaya menjaringkan gol, saya dengan cepat-cepat menanggalkannya sambil mengikuti keraian. Tetapi ya, pada masa yang sama kamera tertuju ke arah saya dan ia kelihatan sedikit melucukan.

“Beberapa rakan saya yang lain menghantar gambar tersebut kepada saya, dan saya hanya mampu ketawa.”

Walaupun terdapat kekeliruan mengenai isu buka jersi itu, aksi cemerlang Saka menentang Republik Czech mendapat pujian ramai terutama dari rakan sepasukan dan pakar analisis.

Maka tidak hairanlah Saka dinamakan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan itu. Bekas kapten Manchester United, Roy Keane antara yang memuji aksi Saka, dengan mengariskan sikap pemain itu di atas padang sebagai kualiti utama yang dimilikinya.

Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka pada Mac lalu mencipta kejutan apabila menduduki tangga keempat dengan memintas Ansu Fati serta menjadi pemain muda paling mahal Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan nilai €116.2 juta (RM569.4 juta) menewaskan Mason Greenwood dan Phil Foden untuk nilai pasaran semasa pemain.

Harga pemain-pemain ini dinilai oleh Centre International d’Etude du Sport (CEIS), iaitu sebuah organisasi bebas yang berpangkalan di Neuchatel, Switzerland yang pakar membuat kajian berdasarkan analisis dan statistik bola sepak.

Produk Akademi The Gunners itu membuat debut bersama skuad senior di saingan Liga Europa (UEL) pada 2018 dan tampil dalam 33 perlawanan pada musim lalu dengan menjaringkan tiga gol dan menyumbang tiga bantuan jaringan.

Pemain skuad kebangsaan England bawah 19 tahun (B-19) itu dikenali dengan kebolehannya beraksi di beberapa posisi terutamanya di bahagian sayap dan pertahanan kiri.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta pula menjelaskan Saka adalah seorang pemain muda yang berbakat dan pintar. Malah berjaya mengkagumkannya dengan etika kerja dan sikapnya yang mahu terus belajar dan boleh menyesuaikan diri dengan baik

“Dia membuktkannya dengan aksi yang baik di atas padang dan saya teruja untuk terus membimbingnya bagi memastikan dia terus berkembang pada masa hadapan dan boleh membantu kelab ini mencapai matlamat,” kata Arteta.

BACA:  England Ranapkan Harapan Benua Afrika