Taktik Pelik Penjaga Gol Romania Punca Henderson Gagal Jaringkan Penalti?

Jordan Henderson akhirnya kembali beraksi dengan menyarung jersi pasukan kebangsaan England. Walaupun tidak beraksi walau seminit pun buat Liverpool sejak bulan Februari lalu, kapten The Reds tersebut mahu membuktikan bahawa dia sudahkan kembali cergas sepenuhnya menjelang Kejuaraan Eropah atau Euro nanti.

Bagi membuka mata semua penyokong England di seluruh pelusuk dunia, pengurus Gareth Southgate telah menurunkan pemain yang penuh inspirasi tersebut pada separuh masa kedua dalam perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan terbesar di Eropah tersebut, menentang Romania.

Walaupun melancarkan serangan bertali arus, England gagal memecah kebuntuan ketika wisel separuh masa dibunyikan, akan tetapi mereka akhirnya berjaya mendapatkan gol pendahuluan selepas perancang utama, Jack Grealish, memenangi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan Romania yang tidak sengaja tersentuh kakinya dalam kotak penalti.

Maka datanglah Marcus Rashford yang juga beraksi sebagai kapten England buat kali pertama untuk mengambil tendangan penalti. Jika buku rekod diselak satu persatu, Rashford bukanlah orang yang asing dalam adegan mengambil tendangan penalti kerana kelabnya, Manchester United, adalah antara pasukan yang paling kerap dianugerahkan tendangan penalti dalam saingan liga.

Malah, dalam pasukan Syaitan Merah tersebut, hanya David De Gea yang tidak pandai mengambil tendangan penalti.

Namun sebelum Rashford berlari ke arah bola, penjaga gol Romania Florin Nita dilihat melakukan satu taktik yang pelik dan tidak dilakukan oleh penjaga gol yang lain di atas muka bumi ini termasuklah Farizal Marlias.

Nita dilihat meletakkan tangannya ke belakang dengan gaya lagak seorang YB melawat kawasan. Tangannya kekal di posisi tersebut sehinggalah detik terakhir bola disepak.

Tetapi, nasib Nita tidak baik kerana Rashford ternyata bukan calang-calang pemain. Menyedari penjaga gol Romania tersebut cuba bermain psikologi dengannya, Rashford mengambil pendekatan berlari-lari anak dan melakukan sedikit lencongan ke tepi, sebelum menendang perlahan bola, leret ke sebelah kanannya.

Florin Nita ternyata keliru dengan apa yang berlaku dan gagal membaca gerakan tersebut, lantas hanya mampu melihat bola menerjah jaring.

Kalau nak ikutkan, kami ni bukanlah pakar dalam bidang kepenjagaan gol ni, tapi tindakan Nita tu boleh dikatakan satu keburukan atau disadvantage ketika menghadapi tendangan penalti.

Tapi tu lah.

Walaupun nampak taktik Nita tu teruk, ada lagi pemain yang lagi teruk daripada tu.

Pada minit ke-76, penyerang England yang tinggi lampai, Dominic Calvert-Lewin, telah dikasari oleh pertahanan Romania, sekaligus mendatangkan tendangan penalti sekali lagi buat England.

Ketika Calvert-Lewin sedang berkira-kira untuk menendang bola, tiba-tiba Henderson datang lalu mengambil bola daripada penyerang Everton tersebut.

Tindakan Henderson tersebut dipercayai untuk menaikkan keyakinannya untuk beraksi, selain mahu menutup mulut pengkritik yang ramai mengecam tindakan Southgate menyenaraikannya dalam kem England kali ini.

Lagi pula, Henderson telah melihat bahawa Nita telah ditewaskan dengan mudah oleh Rashford, ditambah pula dengan taktik meletakkan tangan di belakang, maka dia akan ditewaskan sekali lagi.

Nita mengulangi taktiknya ketika berhadapan Henderson

Ketika bola diletakkan di titik penalti, Nita terus meletakkan tangan di belakang. Taktiknya pada kali ini ternyata dipandang enteng oleh Henderson.

Henderson kemudiannya berlari laju ke arah bola dan menendang bola ke sebelah kirinya. Bagaikan dewa petir, Nita sepantas kilat melayangkan badan ke arah bola lantas menyelamatkan tendangan penalti tersebut, sekaligus mengecewakan Henderson dan pemain England yang lain.

Perlawanan kemudiannya berakhir dengan kemenangan berpihak kepada England. Ini merupakan kemenangan pertama buat skuad Tiga Singa itu ke atas pasukan Romania dalam tempoh 48 tahun.

Dalam satu temuramah selepas perlawanan, Henderson telah mengundang amarah para penyokong England dan penyokong Manchester United yang memang tunggu point untuk memaki kapten Liverpool ini.

Selepas ditanya tentang penalti tersebut, Henderson sekadar mengatakan bahawa dia pernah gagal jaringkan penalti yang lagi penting daripada ini.

“Aku pernah gagal jaringkan sepakan penalti yang lebih penting dari ini.” Jawab Henderson dengan angkuh sambil ketawa.

Untuk rekod, Henderson pernah gagal menjaringkan penalti ketika menyarung jersi England. Pada Piala Dunia 2018, England bertemu Colombia pada peringkat pusingan 16 pasukan. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 selepas tamat masa tambahan dan dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Henderson menendang bola ke arah yang boleh dicapai dan dibaca oleh penjaga gol Colombia.

Mungkin ini penalti yang lagi penting macam yang Henderson cakap tu kot.

Apapun sebagai tanda ucap tahniah kepada Nita, kami belanja satu lagu daripada IamNeeta.

Sumber : GMS

BACA:  Legenda Perancis Label Trent Alexander-Arnold Hanyalah Bertaraf Divisyen 2