Calon Presiden Liberia, George Weah mengucapkan terima kasih kepada Arsene Wenger kerana memberi dorongan kepadanya menjadi pemain terbaik dan menganggap Wenger sama seperti bapanya sendiri.
Wenger adalah individu yang bertanggungjawab membawa pemain ini dari Afrika untuk menyertai AS Monaco. Wenger adalah jurulatih Monaco ketika itu manakala Weah pula meluangkan masa selama 4 tahun bersama kelab Perancis tersebut sebelum menyertai Paris Saint-Germain dan kemudiannya menyertai AC Milan.

Weah memberitahu Wenger adalah individu yang bertanggungjawab membentuk beliau menjadi antara pemain terbaik di Eropah ketika itu.
Weah ketika ini sedang sibuk berkempen untuk menjadi Presiden Liberia yang seterusnya, dan sehingga saat ini, beliau adalah satu-satunya pemain dari benua Afrika yang diangkat menjadi Pemain Terbaik Dunia pada tahun 1996 yang dianugerahkan oleh FIFA.
Beliau mengakui dirinya tidak akan merasai kejayaan tersebut andainya beliau tidak menerima bimbingan dan sokongan daripada Arsene Wenger ketika mula-mula tiba di Eropah.

“Saya menganggap Wenger seperti bapa saya sendiri dan beliau menganggap saya seperti anaknya. Beliau adalah individu yang menunjukkan kasih sayang kepada saya ketika masalah perkauman berada pada tahap tertinggi. Beliau mahu saya bermain di atas padang untuknya setiap hari.”
“Suatu hari, saya terasa agak letih ketika menjalani latihan dan saya memberitahu beliau yang saya sakit kepala. Wenger kemudian berkata kepada saya, ‘George, saya tahu ianya sukar tetapi kamu harus bekerja keras. Saya percaya dengan bakat yang kamu ada, kamu akan menjadi salah seorang pemain terbaik dunia.'”

“Jadi, saya dengar kata-kata beliau dan terus bekerja keras. Selain Tuhan, saya fikir tanpa Wenger, saya tidak akan mampu mencapai kejayaan di Eropah.”
Weah turut mengakui beliau tidak pernah menyangka dirinya mampu memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia dan berkata beliau hanya bekerja keras setiap hari untuk menjadi pemain yang lebih baik.
“Apabila saya mula bermain bolasepak, saya tidak menyangka akan memenangi Ballon D’Or atau muncul pemain terbaik di dunia. Saya hanya minat untuk bermain bolasepak dan bekerja keras setiap hari. Saya lebih suka berlatih setiap hari daripada makan atau tidur.”
“Apabila saya menyertai Monaco dari Cameroon pada tahun 1988, saya tidak bermain untuk 6 bulan yang pertama. Tetapi saya tetap berazam untuk menunjukkan bakat saya kepada mereka yang menonton dari Liberia. Saya mahu membuktikan kepada mereka yang pernah memandang rendah kepada saya, yang saya adalah pemain yang bagus.”