Darwin Nunez Istikamah Menembak Langit Meskipun Dalam Latihan

Kempen pra musim buat seorang insan bernama Darwin Nunez semakin hari semakin menjadi-jadi buruknya. Terbaru, tular video yang bertajuk ‘Darwin Nunez menjaringkan gol cantik dalam latihan’ di atas sebab yang salah.

Penyerang Uruguay ini, dalam video tersebut, sedang berlatih bersama rakan sepasukan ketika latihan dalam jelajah pra-musim.

Mengekalkan prestasinya kebelakangan ini, dia telah melakukan satu rembatan yang terus menuju ke langit biru meskipun tidak dicabar dan hanya berhadapan dengan penjaga gol, selepas menerima bola umpanan dari sebelah kiri padang.

Nunez dilihat memulakan episod bersama Liverpool dengan begitu mencabar selepas gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan persahabatan pra-musim, ketika menentang Manchester United dan juga Crystal Palace.

Menentang United, dia yang dimasukkan pada 30 minit terakhir perlawanan mendapat satu peluang keemasan selepas berlaku kekalutan di hadapan gol lawan. Akan tetapi, mungkin kerana geram dan terlalu bersemangat, Nunez yang ketika itu hanya berdepan David De Gea telah melakukan rembatan melambung tinggi melepasi gawang.

Selepas tewas perlawanan pra musim pertama, Liverpool dilihat sudah menemui rentak di mana mereka berjaya menewaskan seteru liga, Crystal Palace di Stadium Nasional Singapura.

Jordan Henderson muncul penjaring pertama Liverpool pada pra musim tahun ini apabila menjaringkan gol yang cantik pada minit ke-12.

Henderson yang menerima bola umpanan dari sebelah kanan, melakukan sepakan first timer lalu bola terbang menuju ke sebelah kanan penjaga gol dan gagal ditampan.

Pada minit ke-46, pemain yang baru dibawa masuk Mohamed Salah dilihat sudah bersedia untuk menghadapi musim baru apabila dia menjaringkan gol trademarknya.

Salah yang bermain satu dua di dalam kotak penalti, menggelecek dua pertahanan Crystal Palace lalu melakukan sepakan lencong dengan menggunakan kaki kirinya ke arah gol.

Pada mulanya Guaita dilihat dapat menampan bola tersebut namun tidak cukup untuk menahannya daripada menerjah jaring untuk gol kedua Liverpool.

Pun begitu, Nunez masih mencari gol pertama buat pasukan barunya namun dia sekadar mampu menghadirkan kisah jenaka buat para pembenci kelab yang paling agung di dunia ini.

Walaubagaimanapun pemain senior di Liverpool, Robertson, mahu semua pihak bersabar memandangkan Nunez adalah pemain baru dan masih dalam proses menyesuaikan diri di kelab.

“Dia tinggi gila! Tapi, dengar sini, dia datang sini, kami pun baru sahaja berlatih, jadi kita kena bagi dia sesuaikan diri dulu,” ujar pemain bek kiri Scotland tersebut kepada Liverpool Echo.

“Dalam latihan dia sangat cemerlang dan para budak Brazil serta semua yang bercakap bahasa dia sedang membantu dia.

“Aku tak rasa dia ada banyak sembang denan aku dah, kitorang macam senyum-senyum gitu je, tapi nanti banyak la sembang tu.

“Dia adalah pemain yang sangat fantastis, kitorang dah rasa lawan dia macam mana dan dia memang menyusahkan kitorang yang pertahanan ini dalam dua perlawanan [UCL] tu dan kalau dia beraksi macam tu lagi dia akan jadi pemain yang sangat bagus untuk kitorang.

“Apabila kau bermain dengan kelab ni [Liverpool], akan selalu ada harapan yang tinggi, itu yang kau kena hadap tu.

“Kitorang selalu kena buat macam tu. Kitorang ada sasaran kitorang sendiri. Kitorang nak jadi yang terbaik secara individu dan terbaik sebagai satu pasukan.

“Aku rasa musim lepas, dalam sebahagian besar musim lepas, kitorang dah tunjuk benda tu.

“Memang lah hujung-hujung tu tak jadi macam apa yang kitorang nak tapi aku rasa selepas masa berlalu dan kitorang kenang balik memori musim lepas, dia jadi macam memacu kitorang untuk jadi lagi power musim depan.

“Kitorang nak rasa lagi menjulang piala. Tahun lepas kitorang dah dapat buat macam tu dua kali dan dua hari yang cemerlang di Wembley. Memang tahun ni kami nak buat lagi lah,” Robertson berkata panjang lebar bagaikan memberi ceramah motivasi.

Selepas ini Liverpool akan meneruskan perlawanan pra musim mereka menentang pasukan Bundesliga, RB Leipzig di Red Bull Arena Leipzig pada 22 Julai, sebelum sekali lagi menenanga kelab Red Bull, RB Salzburg di Austria pada 28 Julai.

Tiga hari kemudian juara Piala FA dan Piala EFL ini akan bertemu Manchester City dalam perlawanan Perisai Masyarakat pada 31 Julai.

BACA:  Kerana Darwin Nunez, Liverpool Terpaksa Bayar RM21.26 Juta