De Paula Tak Marah Tak Merajuk, Siap Bagi Jersi Kepada Peminat

Guilherme De Paula tidak marah dan tidak merajuk, bukan setakat itu sahaja malah telah memberi jersi yang dipakainya kepada penyokong Harimau Malaya selepas tamat perlawanan menentang Laos.

Pemain naturalisasi Malaysia dari Brazil itu telah mencetuskan kontroversi selepas dikeluarkan pada minit ke-65 ketika perlawanan menentang Kemboja pada perlawanan pertama Malaysia di Piala AFF.

Namun semua Guilherme De Paula telah menunjukkan sikap terpuji apabila menyantuni penyokong yang hadir di Stadium Bishan, Singapura.

Seorang pengguna Twitter telah memuat naik video rakaman Guilherme de Paula menuju ke tempat penyokong sambil membuka baju dan menghadiahkan kepada penyokong.

Ciapan dari Twitter itu menyatakan Guilherme de Paula tidak merajuk tidak marah. Siap belanja jersi kot.

“Mana ada de pola merajuk2, marah2…. Siap belanja jersey kot…. Hahahaha”

Guilherme de Paula juga telah menerima tepukan gemuruh dan sorakan daripada penyokong yang hadir untuk memberi semangat kepada pemain itu.

Selepas tamat perlawanan menentang Kemboja, Guilherme De Paula, sekali lagi menjadi sasaran para penyokong Malaysia apabila dia didakwa telah melakukan satu tindakan yang tidak bijak – melempar botol air selepas dikeluarkan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, sebalik sahaja dikeluarkan dan digantikan oleh Luqman Hakim.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia berjaya mencatatkan keputusan tiga mata penuh, hasil jaringan daripada Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan juga R. Kogileswaran.

Meskipun gembira dengan kemenangan pembuka tirai tersebut, para penyokong mengecam De Paula dek prestasinya di atas padang yang dilihat sangat lemah dan tidak membantu pasukan negara.

De Paula dilihat berjogin sahaja sepanjang 65 minit di padang. Malah dia juga turut dimarahi para penyokong kerana tidak meraikan jaringan kedua Malaysia yang dihasilkan oleh Akhyar Rashid.

Sebaik gol dijaringkan, De Paula dilihat langsung tidak mengangkat tangan bersorak, dan selepas Akhyar berlari ke penjuru padang, pemain berasal dari Brazil ini dilihat sekadar berjalan kaki tanpa rasa teruja langsung.

Tidak terhenti di situ, nama De Paula menjadi trending di laman sosial apabila satu ciapan daripada editor ESPN, Gabe Tan, yang mengatakan bahawa pemain ini bertindak membaling botol air selepas merenung tajam penyokong Malaysia yang berada di stadium.

Ketika sidang media selepas perlawanan, Tan Cheng Hoe telah menjawab tentang pekara ini;

“Saya akan uruskan masalah ini. Dia sudah berikan yang terbaik ketika sesi latihan + dia juga sangat komited. Kadang kala ini hanyalah kekecewaan kerana dia gagal untuk jaringkan gol.”

“Saya sangat yakin yang De Paula sudah cukup matang, semoga dia boleh jadi contoh yang baik kepada pasukan.”

Selepas teruk menjadi sasaran, De Paula akhirnya membuka mulut meminta maaf di laman Instagramnya, kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia dan menyatakan bahawa tindakannya itu disalah ertikan oleh kebanyakan pihak.

“Sejak hari pertama saya bermain bersama skuad kebangsaan, saya amat menghargai dan menghormati setiap harapan anda terhadap saya. Penghormatan itu amat menggalakkan, terima kasih.

“Namun insiden semalam disalah ertikan segelintir pihak dan ia sekali gus menjadikan perkara itu lebih buruk.

“Saya sentiasa menghormati jurulatih dan rakan sepasukan. Sejujurnya saya kecewa sedangkan saya sudah memberikan 100 peratus yang terbaik di atas padang. Cuma kadang kala saya merasakan saya boleh buat lebih baik daripada itu,” katanya, seperti yang diterbitkan oleh Harian Metro.

Selain itu, De Paula tetap yakin bahawa dia dan rakan sepasukan yang lain akan terus memberikan yang terbaik dan berusaha untuk memperbaiki permainannya dalam perlawanan berikutnya nanti.

“Terus maju ke hadapan. Saya akan bekerja keras dan perbaiki diri sendiri dalam pasukan. Kita dahagakan kemenangan dan kita akan berjuang bersama untuk Malaysia,” ujarnya.

Keberadaan Guilherme De Paula dalam pasukan Harimau Malaya semakin menjadi tanda tanya dan perbualan dikalangan peminat bola sepak tanah air lantaran aksinya tidak meyakinkan.

Ini kerana statusnya sebagai pemain naturalisasi sudah pasti standard De Paula sepatutnya lebih tinggi berbanding mana-mana pemain Asia Tenggara di kejohanan ini.

Aksi De Paula tidaklah buruk kerana Malaysia berjaya meraih tiga mata penuh dalam dua perlawnanan awal, namun apa yang mahu dilihat adalah kesungguhan De Paula di padang.

BACA:  Tindakan Asnawi Menganjing Faris Ramli Buatkan Shin Tae Yong Naik Hantu