Harimau Malaya Meratah Singapura Untuk Ke Separuh Akhir

harimau malaya singapura

Dua jaringan padu dari Stuart Wilkin selepas gol pembukaan dari Darren Lok telah membawa Harimau Malaya ke separuh akhir Piala AFF 2022 membenam Singapura untuk bertemu Thailand.

Perlawanan penentuan antara dua negara berjiran Malaysia menentang Singapura bagi merebut tempat ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dalam saingan kumpulan B.

Selepas 9 tahun inilah Derbi Tambak pertama antara Malaysia dan Singapura berlangsung kembali di kejohanan Piala AFF dan pertemuan terakhir adalah dalam perlawanan persahabatan.

Singapura hanya memerlukan satu mata atau sekadar seri untuk layak dan Harimau Malaya tiada pilihan lain selain wajib menang untuk meneruskan saingan.

Sebelum ini Malaysia dan Singapura telah bertemu sebanyak 74 kali di mana Harimau Malaya merekodkan 30 kemenangan dan tewas 23 kali serta seri 11 kali.

Kemenangan terakhir Malaysia ke atas Singapura ialah pada Kejohanan Piala AFF 2014 (3-1). Singapura telah memenangi dua perlawanan terakhir menentang Malaysia, termasuk kemenangan 2-1 dalam perlawanan persahabatan pada Mac 2022.

Malaysia hanya menjaringkan satu gol dalam tiga pertembungan terakhir mereka dengan Singapura.

Harimau Malaya memulakan perlawanan dengan garang dan terus mencari gol awal, hantaran Quentin Chen menemui Darren Lok namun percubaannya sempat dipotong keluar.

Selepas lima minit barulah Singapura dapat kembali melakukan serangan dan memaksa Ahmad Syihan Azmi menumbuk keluar bola bagi meneutralkan ancaman.

Hantaran cantik Safawi Rasid berjaya mencari larian Faisal Halim dan sentuhan pertamanya sedikit bolok dan Hassan Sunny berjaya menghadang.

Bola sampai kepada Ruventhiran A/l Vengadesan yang langsung tidak dikawal namun percubaannya terlalu lemah. Percubaan lebih baik patut dihasilkan.

Irfan Fandi yang bahaya dengan kepalanya berjaya melakukan tandukan mudah pada minit ke-11 mujur tersasar. Pemain paling kecil di padang, Faisal Halim melakukan tandukan dari sepakan penjuru Safawi Rasid yang sipi-sipi melepasi palang.

Kemudian Brendan Gan berjaya merampas bola lalu menolak kepada Faisal Halim yang melakukan gelecakan solo, rembatan deras tepat kepada Hassan Sunny yang menepis keluar.

Sentuhan pertama di final third menjadi musuh utama Malaysia dari hantaran-hantaran yang menggiurkan. Safawi Rasid bernasib baik kerana tiada VAR selepas menepuk muka Shakir Hamzah dan hanya diberikan amaran sahaja.

Percubaan bahaya hadir dari Singapura melalui Song Ui-Young dengan rembatan leret yang gagal disambar.

Akhirnya Darren Lok berjaya memecahkan kebuntuan dengan satu sundulan tajam menewaskan Hassan Sunny selepas pantas menyambar hantaran Safawi Rasid yang berjaya memotong hantaran pemain Singapura.

Satu gol tidak cukup, Harimau Malaya terus mengasak dan Faisal Halim masih lagi gagal menemui sasaran dengan percubaan yang mengancam.

Separuh masa pertama tamat dengan berpihak satu gol untuk Harimau Malaya dan gol itu tidak memadai untuk mara dengan lebih seleasa.

Malaysia melakukan 9 percubaan dengan 3 percubaan tepat dengan penguasaan permainan 53 peratus berbanding Singapura yang hanya melakukan dua pecubaan.

Singapura tampak mula bermain bola apabila permainan kembali bersambung dan Stuart John Wilkin menggandakan kedudukan pada minit ke-51.

Pemain Singapura kehilangan bola dan Stuart John Wilkin pantas melakukan satu rembatan leret dari jauh yang ditepis ke dalam gol oleh Hassan Sunny.

Malaysia terus menekan walaupun sudah mendahului dua gol tiga minit kemudian gol ketiga hadir pula juga melalui Stuart John Wilkin.

Safawi Rasid telah menolak bola kepada Stuart John Wilkin yang telah melakukan satu putaran 360 darjah untuk melepaskan rembatan padu untuk Malaysia mendahului 3-0.

Darren Lok, Faisal Halim, Dominic Tan dan safawi Rasid dikeluarkan dan Andrew Lee Tuck, Muhammad Haqimi Azim Rosli, Muhammad Fazly Mazlan dan Sergio Fabian Ezequiel Aguero masuk.

Selepas mendahului tiga gol Kim Pan Gon mengarahkan pemainnya bermain dengan lebih santai dan memberi peluang kepada Singapura untuk bermain bola.

Tiada apa yang mampu dilakukan Singapura untuk mengancam Malaysia dan Muhammad Haqimi Azim Rosli hampir menjaringkan gol keempat namun tandukannya tersasar.

Akhirnya Singapura berjaya memecahkan telur mereka melalui Faris Ramli pada minit ke-85 dengan satu tolakan mudah.

Pertahanan Malaysia seakan alpa dan tidur, Singapura datang lagi dengan rembatan dari Amy Recha yang telah ditepis keluar oleh Syihan Azmi.

Gol Faris Ramli ternyata menaikkan semangat perjuangan Singapura namun Sergio Aguero pantas membunuh perlawanan dengan gol keempat.

Muhammad Haqimi Azim Rosli telah melakukan larian dari kanan sebelum menolak bola ke Lee Tuck yang melorongkan pula kepada Aguero untuk satu rembatan lencong leret yang padu.

Empat minit masa kecederaan tidak cukup untuk Singapura memadamkan defisit dan Malaysia bertemu Thailand juara kumpulan A diseparuh akhir.

Kesebelasan Utama Malaysia: Ahmad Syihan Hazmi, Quentin Cheng Jiun-ho, Dominic Tan, Sharul Nazeem Zulpakar, Ruventhiran A/l Vengadesan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Stuart John Wilkin, Brendan Gan, Muhammad Safawi Rasid, Mohamad Faisal Abdul Halim, Darren Lok.

Kesebelasan Utama Singapura: 18. Hassan Sunny (Pg), 2. Shakir Hamzah, 6. Manumanthan, 7. Song Uiyoung, 8. Shahdan Sulaiman, 9. Amy Recha, 11. Hafiz Nor, 14. Hariss Harun (K), 15. Shah Shahiran, 17. Irfan Fandi, 22. Van Huizen.

Pemain Simpanan: Kalamullah Al-hafiz Mat Rowi, Muhammad Rahadiazli Rahalim, Nur Shamie Iszuan Amin, Muhammad Fazly Mazlan, David William Rowley, Mohd Nor Hakim Hassan, Sergio Fabian Ezequiel Aguero, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Lee Andrew Tuck, Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Pemain Simpanan: 1. Syazwan Buhari (Gk), 12. Zaiful Nizam (Gk), 3. Hami Syahin, 4. Nazrul Nazari, 5. Amirul Adli, 10. Faris Ramli, 13. Farhan Zulkifli, 16. Ryhan Stewart, 19. Ilhan Fandi, 20. Shawal Anuar, 21. Joshua Pereira, 23. Zulfahmi Arifin.

BACA:Β  Singapura Tidak Akan Parking Bas Dan Mahu Pastikan Harimau Malaya Kempunan