Didera Bapa Tiri Sejak Kecil, Jadi Pemain Dibenci Pengurus di Manchester United, Memphis Depay Bangkit Memimpin Pasukan Belanda

Antara salah sebuah kereta yang dibeli Memphis Depay ketika bermain untuk Manchester United adalah Mercedes G-Wagen yang berwarna hitam, bernilai £100,000 (kalau di Malaysia harganya sekitar RM1.5 juta).

Ketika itu, Depay mengharungi musim sejuk yang pertama buatnya di Manchester, dan dia telah melakukan satu tindakan yang akhirnya mengakibatkan dia menjadi bahan utama berita pada keesokan harinya.

Pada malam tersebut, Depay keluar mengambil angin malam di jalan kampung di Cheshire. Jalan pada waktu tersebut kosong dan sepi kerana diselubungi salji dan air batu.

Tidak lama selepas memandu, keretanya terbabas dan merempuh kebun seorang petani.

Depay selamat tetapi keretanya rosak teruk, dan benda pertama yang difikirkannya ketika itu adalah tajuk apakah yang akan keluar di akhbar di England, kerana pada sangkaannya dia adalah satu watak yang dibenci media Inggeris dan sering menjadi sasaran negatif.

Tanpa membuang masa, Depay terus menghubungi pegawai undang-undang bagi pemain United, yang kemudiannya datang berjumpa dengannya dan menenangkan petani yang bengang kerana tanamannya rosak.

Selepas keretanya diangkat dengan menggunakan traktor milik sang petani, dia membayar sejumlah wang kepada petani tersebut sebagai ganti rugi kepada kerosakan tanaman dan juga untuk menutup mulut petani.

Itu adalah satu kisah dalam biografi tentang Depay, atau lebih suka dikenali sebagai Memphis, dan apa yang berlaku tersebut boleh dikatakan sebagai kesimpulan kepada kariernya di United dan juga kehidupan peribadinya ketika itu.

Berusia 21 tahun dan dihidangkan dengan kemewahan, Memphis tersilap langkah dalam mengatur kehidupan, tetapi dia tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya.

“Memphis adalah seorang budak yang hebat,” ujar seorang bekas staf di United yang dapat berhubung dengan pemain tersebut.

“Tapi dia tersalah pilih jalan dan dia pun tak cuba untuk bantu diri sendir.

“Aku rasa dia akan menjadi orang yang pertama mengaku bahawa waktunya di kelab [United] adalah satu kegagalan.”

Menurut seorang lagi sumber dari Carrington, Memphis sebenarnya merupakan ‘pemain yang tepat, di waktu yang salah’ di United.

Dia sepatutnya menjadi pemain kesukaan Louis van Gaal, tetapi pegurus pertamanya di United tidak menggunakan dia dengan cara yang betul dan ketika dia disingkirkan daripada pasukan utama, dia tidak mempunyai jaringan sokongan yang secukupnya termasuk daripada mereka yang mengatur perpindahannya ke kelab tersebut.

Latar belakang Memphis bukanlah seindah ramai pemain yang lain.

Memphis dilahirkan di Moordrecht, oleh Cora – seorang wanita berkulit putih, dan berbapakan Dennis Depay – lelaki berasal dari Ghana. Kedua-dua ibu bapanya bertemu ketika waktu puncak di stesen keretapi Rotterdam ketika Cora sedang dalam perjalanan pulang dari kerjanya sebagai seorang pembantu di sekolah untuk anak-anak pekerja pelabuhan.

Dennis ketika tinggal di pusat pelarian dan tinggal di Belanda secara haram. Apabila dia berpindah dan tinggal bersama Cora, dia mendapat kerja di kilang makanan dan menjadi satu-satunya orang kulit hitam yang tinggal di Moordrecht.

Walaupun dihalang orang tua Cora, mereka berdua akhirnya berkahwin tujuh tahun kemudian dan ketika Memphis dilahirkan, bapanya menjulang anaknya tersebut dengan tali pusat masih belum dipotong, sambil menjaring,”Kau akan jadi bintang!”.

Pada masa yang sama Dennis mempunyai dua orang anak daripada perkahwinan sebelumnya di Ghana dan datang ke Belanda untuk tinggal bersamanya.

Namun ketika Memphis berusia tiga tahun, ibu bapanya bersetuju untuk berpisah dan Memphis membesar tanpa kehadiran seorang ayah, dan ayahnya pula jarang berjumpa dengannya walaupun si ayah hanya berpindah ke Gouda – tidak jauh dari Moordrecht.

Ini adalah sebabnya kenapa Memphis tidak mengenakan nama keluarga di jersinya.

Beberapa tahun kemudian, Cora berkahwin semula dengan lelaki kulit putih, dan suami baru Cora ini sudahpun mempunyai keluarga sendiri daripada perkahwinan sebelumnya juga.

Malang buat Memphis apabila dia terpaksa berhadapan dengan ayah tiri yang garang, dan selalu memukulnya.

Tidak cukup dengan sang ayah, adik-beradik tirinya juga terlibat sama dalam menderanya dan turut menghamburkan kata-kata berunsur perkauman. Malah dia pernah diugut dengan menggunakan pisau.

Cora berasakan dia dan Memphis terkongkong selama 18 bulan dan anak kesayangannya itu berubah daripada seorang kanak-kanak yang cerita kepada keldai yang mati.

Situasi di rumah yang teruk juga membuatkan Memphis mempunyai masalah disiplin di sekolah, di mana dia didapati bertumbuk dengan kanak-kanak lain, dan dia pernah menyorok di bawah meja seharian sehingga loceng waktu pulang dibunyikan.

Dia juga pernah dua kali dibuang sekolah kerana rekod disiplin yang mengecewakan.

Ketika itu tiada siapa yang tahu apa yang tak kena dengannya dan bagaimana caranya untuk berkomunikasi dengan Memphis.

Ketika dia menyambut ulang tahunnya yang ke-12, dia telah bergaduh dengan sekumpulan geng skinhead, yang kemudiannya pergi mencari Memphis di rumah dengan memakai sarung muka balaclavas dan membawa kayu besbol dan botol pecah.

Pada masa yang sama, ibunya terpaksa dimasukkan ke rumah pemulihan dan Memphis hanya tinggal dengan neneknya dan berjumpa sang ibu hanya pada hujung minggu.

Apa yang berlaku di sekelilingnya remaja ini pada waktu tersebut amatlah tidak membantu pembesarannya lantas membuatkan dia sukar untuk membuka mulut menceritakan masalahnya kepada orang lain.

Selepas menyertai akademi Sparta Rotterdam, ibunya sering mendapat panggilan daripada pihak kelab – tentang masalah kelakuan anaknya.

Walaupun mempunyai masalah disiplin, para jurulatih di akademi tersebut nampak bakat istimewa pemain ini di atas padang dan cuba berkomunikasi dengannya. Jika dia ditanya apa masalahnya, Memphis sekadar menjawab “aku tengah marah”.

Segalanya berubah ketika Memphis di akademi PSV Eindhoven, di mana pada waktu itu kelab telah mengupah seorang penasihat kehidupan, Leenders.

Dari situ, Leenders berjaya mengubah pemikiran Memphis – walaupun sukar – dan menjadikannya sebagai seorang pemain dalam skuad Piala Dunia 2014 bersama skuad Belanda.

Leenders juga kekal berhubung dengan Memphis ketika dia bermain untuk Manchester United dan menjadi salah seorang yang dipercayai oleh Memphis untuk bercerita sebarang masalah.

Kini dengan pasukan Belanda layak ke peringkat 16-pasukan dalam Euro 2020, Memphis bukan lagi seorang yang kosong jiwanya.

Dengan usia yang bertambah, pemain berumur 27 tahun itu kini dilihat lebih matang dalam hidupnya dan juga di atas padang serta menjadi pemimpin di dalam pasukan yang diwakilinya – Belanda dan Lyon.

Aksi yang luar biasa di atas padang, membawanya kepada kelab besar buat kali kedua dalam kariernya dan kali ini, Barcelona di bawah kendalian Ronald Koeman bakal menjadi pertaruhan untuknya memperagakan bakat.

Sumber : The Athletic

BACA:  Dakwaan Memphis Depay Tolong Bayar Wang Jaminan Dani Alves Tidak Benar