Dunga Hanya Takut Mati

SAO PAULO: Pengurus Brazil, Dunga menafikan dakwaan penyingkiran awal daripada Copa America boleh menyebabkan dia dipecat, dan memberitahu wartawan dia hanya “takut mati” dan bukannya tiada kerja.

Ada spekulasi terbaharu mengenai masa depan Dunga selepas kemenangan mengejut Peru 1-0 mengatasi Brazil pada peringkat kumpulan tetapi bekas kapten yang menang Piala Dunia itu menjangkakan memimpin Brazil di laman sendiri berdepan Olimpik di Rio de Janeiro, Ogos ini.

“Saya hanya takutkan kematian, saya tidak takut kepada itu,” katanya ketika ditanya sama ada dia bimbang kehilangan kerja selepas Brazil tersingkir awal dari Copa America Centenario di Amerika Syarikat.

“Presiden tahu apa yang kami buat, bagaimana kami bekerja, kami tahu mengenai tekanan itu, dan kami tahu tugas itu hadir bersama kritikan,” Dunga selepas perlawanan di Boston.

“Apabila anda bekerja untuk pasukan kebangsaan Brazil, anda perlu tahu kritikan akan bertambah apabila anda tidak mendapat keputusan yang bagus tetapi kami tahu apa yang kami buat.”

Dunga mengkritik mereka yang tidak sabar sambil mengulangi pendiriannya bahawa membina kembali permainan di Brazil perlukan masa selepas kempen memalukan pada Piala Dunia 2014. – REUTERS

BACA:  "Sedih Dan Memalukan"- Peminat Kecewa Melihat Keadaan Adriano Pada Ketika Ini