Empat Pemain Catat Hat-trick Bantu England Benam Latvia 20-0

Skuad wanita England membelasah Latvia 20-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Keepmoat Stadium di Doncaster awal pagi tadi.

Skuad kendalian Sarina Weigman itu mempamerkan aksi persembahan penuh semangat dan luar biasa menakjubkan ketika membelasah skuad wanita Latvia.

20 gol dalam satu perlawanan, setiap gol seolah-olah menambah lagi semangat para pemain untuk terus merobek gawang gol lawan.

Lauren Hemp menjaringkan empat gol, Beth Mead, Alessia Russo dan Ellen White pula masing-masing cemerlang mencatatkan hat-trick dalam perlawanan ini.

Beth England meledak dua gol sementara Ella Toone, Jessica Carter, Georgia Stanway, Jill Scott dan Jordan Nobbs masing-masing menjaringkan satu gol untuk bantu England benam Latvia 20-0.

Lebih menakjubkan lagi, kejayaan Ellen White menjaringkan gol dalam perlawanan ini telah membantu beliau untuk mencipta rekod baru sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman skuad wanita England.

Kejayaan England membelasah Latvia 20-0 juga secara tidak langsung telah memecahkan rekod kemenangan terbesar sepanjang zaman negara.

Rekod kemenangan terbesar England sebelum ini adalah ketika mereka membelasah Hungary 13-0 juga dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada tahun 2005 di Doncaster.

Pada aksi babak pertama sahaja, skuad England sudah mendahului perlawanan dengan keputusan 8-0 sebelum mereka kenduri gol pada aksi babak kedua permainan.

12 gol berjaya dihasilkan pada aksi babak kedua dan ia merupakan satu rekod yang sungguh menakjubkan untuk skuad wanita.

Dari enam aksi di pusingan kalah mati, skuad England sudah berjaya menjaringkan 53 gol dan lebih hebat lagi, mereka sama sekali tidak dibolosi oleh pasukan lawan.

Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan England sebagai kuasa besar bola sepak, apa lagi selepas melihat skuad lelaki mereka berjaya membelasah San Marino 10-0 awal bulan lalu.

Bukan hanya skuad wanita England sahaja yang kenduri gol untuk aksi kelayakan Piala Dunia wanita, dengan Belgium juga turut berjaya melakukan hal yang sama.

Skuad wanita Belgium cemerlang membelasah Armenia 19-0 pada minggu lalu, dengan mereka merupakan antara pasukan kegemaran yang dijangka akan menjuarai saingan Piala Dunia wanita.

Kemenangan skuad England menewaskan Latvia 20-0 sememangnya agak mengejutkan, namun ia tidak begitu menghairankan ketika melihat wakil kepada pasukan Latvia.

Skuad wanita Latvia telah menurunkan barisan pemain tidak profesional dengan kesemua pemain mereka bermain bola sepak hanya sekadar sambilan sahaja.

Ada tukang gunting rambut, ada akauntan, ada kerani, ada cikgu dan macam-macam lagi jenis pekerja yang turun mewakili skuad wanita Latvia dalam perlawanan tersebut.

UEFA pada ketika ini dilaporkan sedang dalam usaha mereka untuk memastikan aksi kelayakan Piala Dunia berlangsung dengan lebih seimbang.

Hal ini kerana kebanyakkan pasukan dari benua Eropah merupakan skuad yang dibarisi oleh pemain separuh masa, maka ia menjadikan mereka terlalu sayur untuk dibedal oleh pasukan yang dibarisi oleh pemain profesional.

Kualiti antara setiap pasukan itu terlalu jauh perbezaannya dan kerana itulah UEFA sedang memikirkan langkah terbaik untuk mengelak dari hal ini berlaku.

Aksi Piala Dunia wanita pada tahun 2023 akan dianjurkan oleh Australia dan New Zealand dengan pihak penganjur telah menambah penyertaan dari 24 pasukan kepada 32 pasukan.

Hanya beberapa pasukan sahaja yang benar-benar dominan dan ia jelas sekali sangat menarik untuk disaksikan pasukan mana yang bakal menjadi sang penakluk dunia di kejohanan itu nanti.

Kejohanan Piala Dunia lelaki pula akan dilangsungkan di Qatar pada tahun hadapan, dengan aksi kelayakan juga sudah hampir ke penghujunya.

Aksi pusingan play-off untuk zon Eropah akan dilangsungkan pada Mac nanti, dengan banyak pasukan pilihan yang akan turun beraksi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong England Diharamkan Untuk Menyanyi Atau Chanting Ketika Menonton Di Bar