Eric Bailly Bertukar Menjadi Spiderman dan Menari Break Dance Selepas Melakukan Tackle

Eric Bailly mungkin tidak banyak diberikan peluang untuk turun beraksi bersama Manchester United memandangkan kelab tersebut mempunyai barisan pemain pertahanan tengah yang sangat berbisa, terutamanya kapten Harry Maguire.

Akan tetapi, setiap kali diberikan peluang untuk bermain, Bailly pasti akan bermain dengan bersungguh-sungguh dan mempamerkan aksi yang luar biasa mantap dan kelakar sekali sekala, termasuklah ketika dalam perlawanan terakhir Piala Juara-Juara UEFA Kumpulan F, menentang wakil dari Switzerland, Young Boys.

Dalam perlawanan tersebut, Bailly telah beberapa kali melakukan aksi yang membuatkan para peminat di atas talian pecah perut sehingga ada yang mengatakan Bailly sebenarnya merupakan seorang Spiderman.

Pada awalnya, seperti biasa Bailly akan meluru laju melakukan tackle untuk memenangi bola di sebelah kiri padang dan mematahkan serangan pasukan Young Boys.

Selepas berjaya menolak bola keluar untuk lontaran ke dalam, Bailly secara tiba-tiba melakukan gaya Spinaroonie seperti yang selalu dilakukan oleh penggusti WWE, Booker T, sebelum kembali bangun berdiri.

Tidak lama kemudian, Bailly sekali lagi beraksi menghiburkan orang awam. Kali ini dia telah berjaya melakukan hadangan bola yang penting di dalam kotak enam ela dan kemudiannya dia berpusing dengan begitu bergaya di depan gol.

Melengkapkan aksi hebatnya dalam perlawanan ini, Bailly pada suatu ketika telah berlanggar dengan tiang gol pada separuh masa kedua dan untuk seketika, dia memeluk erat tiang gol tersebut bagaikan sedang mengucapkan sesuatu.

Mungkin di atas sebab-sebab inilah pengurus Manchester United terdahulu tidak berapa gemar menurunkan Bailly – takut orang terhibur lebih-lebih dan lalai.

Dalam perlawanan ini, pengurus United, Ralf Rangnick bukan sahaja telah menurunkan barisan pemain yang jarang mendapat peluang untuk turun ke padang, malah meletakkan pemain di posisi yang tidak pernah dilihat oleh para penyokong United.

Pemain tengah yang menjadi kapten pada perlawanan tersebut, Nemanja Matic, telah digandingkan dengan Eric Bailly di pertahanan tengah, manakala pemain yang sering disebut-sebut mempunyai kualiti yang baik di posisi nombor 10, Donny van De Beek, diletakkan di posisi pemain tengah bertahan atau defensive midfielder.

Selain itu, Rangnick juga telah menurunkan Anthony Elanga dan Amad Diallo di posisi sayap, dengan Jesse Lingard dan Juan Mata menjadi double number 10.

Mason Greenwood pula menjadi pertaruhan untuk mendapatkan gol sebagai penyerang.

Dua pemain bek tepi, Aaron Wan Bissaka dan Luke Shaw yang dikatakan bakal kehilangan tempat di bawah Rangnick, turut diberikan peluang untuk membuktikan mereka sesuai dengan taktik dan sistem permainan pengurus United ini.

Penjaga gol yang kian tersisih, Dean Henderson, turut diturunkan dan diberikan peluang untuk beraksi.

United bermula garang apabila mendahului lawan seawal minit kesembilan. Gol terhasil daripada gerakan serangan balas di mana Lingard yang menerima bola dari bawah telah menghantar bola kepada Elanga.

Elanga kemudiannya melorongkan bola ke sebelah kiri kepada Luke Shaw yang melakukan overlap lalu menghantar bola ke dalam kotak penalti dan disambut oleh Greenwood.

Greenwood melakukan satu sepakan akrobatik dan bola tepat meluru ke dalam gawang pasukan Young Boys, menewaskan penjaga gol lawan yang berpenampilan seperti Petr Cech.

Pada minit ke-36, United berpeluang untuk menggandakan kedudukan apabila Greenwood melakukan larian dan gelecekan dari tepi padang persis Matyo sebelum melakukan cutback kepada Mata yang tidak dikawal.

Sebaik mendapat bola, Mata melakukan satu rembatan ke arah gol di dalam kotak penalti, namun tertampan pemain pertahanan lawan.

Pada minit ke-42, Van De Beek telah melakukan satu kesilapan di depan kotak penalti pasukannya.

Selepas menerima bola daripada Matic, Van De Beek cuba menolak bola mudah kepada Wan Bissaka tanpa menyedari rakan sepasukannya itu sedang ditekan oleh pemain lawan, Febian Rieder.

Wan Bissaka kemudiannya hilang kawalan terhadap bola dan Rieder tanpa segan silu terus melakukan rembatan lencong tepat ke penjuru gol United, menewaskan Henderson.

Young Boys hampir berjaya menjaringkan gol kedua mereka pada penghujung separuh masa pertama apabila hantaran lemah Matic dapat dipintas pemain lawan. Walaubagaimanapun, Bailly muncul dan menyelamatkan keadaan.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Sumber : SB

BACA:  Eric Bailly Mempersoalkan Keputusan Ole Turunkan Maguire Yang Tidak Cergas