Ferdinand Bidas Kritikan Mourinho Yang Mengatakan Rashford Sangat Teruk Bila Bermain Di Sebelah Kanan

Rio Ferdinand membidas dakwaan Jose Mourinho yang mengatakan bintang Manchester United, Marcus Rashford dilihat sangat teruk dan hilang arah ketika bermain di sebelah kanan.

Bekas pengurus setan merah, Jose Mourinho merasakan Rashford tak patut diturunkan ketika aksi perlawanan pembukaan kumpulan D, saingan Euro 2020 yang menemukan antara England bertemu Croatia nanti.

Mourinho merasakan Jack Grealish lebih layak untuk diturunkan berbanding Rashford ketika beliau menamakan kesebelasan utama England pilihannya untuk aksi pada malam ini.

Menjelaskan tentang keputusannya itu kepada talkSPORT, Mourinho menyatakan:

“Saya rasa Grealish sungguh hebat dan posisi terbaik untuk Grealish adalah bermain di sebelah kiri, yang mana bagi saya ia akan mencipta satu situasi, iaitu bagi saya, itulah satu-satunya tempat yang Rashford boleh main.”

“Saya rasa ketika Rashford bermain di sebelah kanan, dia sangat teruk. Dinamik dia bila bermain di sebelah kanan hancur, dia tak dapat sentuhan dia. Dia sangat bagus di sebelah kiri, bahagian serangan.”

Walau bagaimanapun, legenda United, Rio Ferdinand merasakan beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Jose Mourinho itu.

Bekas pemain Manchester United dan pertahanan England itu mendedahkan kepada Metro bahawa:

“Saya tak rasa dia nampak teruk, saya cuma rasa dia lebih selesa untuk bermain di bahagian kiri.”

“Namun saya juga akan katakan hal yang sama tentang Raheem Sterling.”

“Sterling dilihat bagus ketika bermain di sebelah kiri, Grealish dilihat bagus bermain di sebelah kanan.”

“Saya rasa ia lebih kepada cara Gareth Southgate bercakap dengan pemain dia dan membuatkan mereka semua faham permainan ini merupakan permainan sepasukan.”

“Dia tentu akan membuat rotation, pemain mungkin akan bermain di luar posisi mereka. Tapi untuk situasi yang lebih baik kepada pasukan, pastikan semua pemain turun dengan positif dan bersemangat.”

Rashford berjaya menjaringkan 21 gol dalam semua pertandingan musim lalu, namun beliau hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja dalam 10 perlawanan terakhirnya.

Sementara itu, Ferdinand turut menggesa Manchester United untuk tidak menandatangani Kieran Trippier pada musim panas ini.

Bintang Atletico Madrid dan England itu dikaitkan bakal menandatangani perjanjian bersama setan merah pada jendela perpindahan musim panas ini.

United mahu menandatangani Trippier kerana mahu memberi saingan yang baru kepada Aaron Wan Bissaka.

Walau bagaimanapun, Ferdinand menjelaskan bahawa:

“Saya tak rasa mereka akan beli seseorang untuk datang dan bermain setiap minggu, saya rasa siapa saja yang dibeli selepas ini hanya sebagai pemain gantian sahaja.”

“Mereka habiskan £50 juta untuk Wan Bissaka, tak mungkin untuk jadikan back up atau pemain gantian.”

“Dia (Trippier) bukanlah pilihan saya sejujurnya, tapi saya nampak kualiti yang dia ada.”

“Tapi Trippier tentunya tidak menjadi pilihan saya berdasarkan profil dia yang mana saya tak rasa dia sesuai untuk jadi pilihan kedua.”

BACA:  Mourinho Dituduh Lakukan Seni Hitam Ke Atas Pemain Lazio B14