Benzema Boleh Ambil Alih Peranan Ronaldo Dan Jadi Mentor Hojlund Di Old Trafford

Legenda Manchester United Rio Ferdinand percaya Karim Benzema boleh mengambil alih peranan Cristiano Ronaldo dan menjadi mentor kepada Rasmus Hojlund sekiranya penyerang veteran itu berhijrah ke Old Trafford pada Januari ini.

Penyerang dari Perancis itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United selepas pemain itu gagal kembali menyertai Al Ittihad selepas bercuti panjang sepanjang musim sejuk.

Ini menyebabkan Al Ittihad mengambil tindakan terhadap Benzema dan menyingkirkan beliau daripada skuad yang menjalani latihan di Dubai.

Bekas pemain pertahanan, Rio Ferdinand percaya Manchester United boleh mendapat keuntungan sekiranya mengikat pemain seperti Benzema kerana pengalamannya mampu membantu pemain muda seperti Rasmus Hojlund yang setakat ini hanya menyumbang dua gol sejak berhijrah ke Premier League.

Bercakap dalam satu penerbitan di You Tube, Ferdinand dipetik sebagai berkata: “[Membeli Benzema] adalah langkah lama [mendapatkan pemain veteran], itulah yang pernah kita lakukan sebelum ini.

“Kita pernah berbuat demikian ketika mengembalikan Cristiano, begitu juga dengan Falcao. Kita juga lakukan perkara sama apabila membawa masuk Cavani dan Zlatan.

“Dan apabila muncul nama Benzema… bagaimana anda mengatakan tidak? Bagaimana anda menolak peluang mendapatkan pemain sedemikian?”

Ferdinand kemudiannya ditanya sama ada United mampu mendapatkan pemain dengan gaji tinggi seperti Benzema.

“Mungkin tidak. Itulah yang saya maksudkan. Sebab itu saya tidak melihat ia akan direalisasikan. Saya akan terkejut [jika Benzema ke Old Trafford]. Tetapi satu perkara saya mahu katakan ialah, satu-satunya pemain yang amat memerlukannya ialah Rasmus Hojlund.

“Hojlung memerlukan seseorang dimana dia boleh belajar. Saya masih ingat ketika Danny Welbeck baru dibawa masuk ke skuad utama, dan dia banyak belajar daripada Cristiani, [Wayne] Rooney, [Carlos] Tevez, dan ramau lagi.

“Diego Forlan juga tiba [di Old Trafford] sebagai pemain muda dan ketika itu ada Ole Gunnar Solskjaer dan Ruud van Nistelrooy untuk membantu.

“Chicharito juga sama. Mereka datang dan mencari perkara yang sama: “Itulah penyerang sebenar! Beginilah bagaimana seorang No.9 sepatutnya bermain dan saya akan menirunya.”. Hojlund pula seperti melihat dirinya sendiri di cermin! Setakat itu saja.”

United yang bergelut dengan prestasi dan isu kecederaan pada musim ini berkemungkinan besar menolak peluang mendapatkan Benzema pada Januari ini atas faktor usia dan gaji yang dipinta pemain itu.

United akan kembali beraksi pada 28 Januari hadapan di pusingan keempat Piala FA menentang pemenang di antara Newport County dan Eastleigh.

BACA:  7 Nombor 7 Paling Legenda Dalam Sejarah Manchester United