Alexis Sanchez Dakwa Keletihan Mental Sebagai Punca Prestasi Merosot

Pemain Manchester United, Alexis Sanchez mengakui mentalnya berada dalam keletihan selepas mengharungi permulaan yang mengecewakan bersama kelab barunya itu.

Sanchez hanya mampu menjaringkan satu gol dari 10 penampilan bersama Red Devils sejak menyertai kelab tersebut pada tirai perpindahan Januari lalu. Sanchez juga mengakui beliau sepatutnya bermain lebih baik dari apa yang telah dipamerkannya setakat ini.

Letih takpe asalkan gaji masyukk

Sanchez bukanlah baru dalam kancah bolasepak Liga Perdana Inggeris. Beliau menyertai Arsenal dari Barcelona pada tahun 2014 dan berjaya membantu Arsenal menjuarai dua trofi Piala FA.

Walaubagaimanapun, Sanchez enggan melanjutkan kontraknya bersama Arsenal musim panas lalu walaupun telah ditawarkan kontrak lumayan. Arsene Wenger tidak mahu kehilangan pemain bernilai tinggi seperti Sanchez secara percuma pada musim panas nanti dan akhirnya menerima tawaran pertukaran pemain dari Manchester United pada Januari lalu.

Pemain antarabangsa Chile ini dilaporkan menerima gaji tertinggi di Old Trafford dan juga di England, sekitar £400,000 seminggu melebihi gaji yang diterima Paul Pogba dan Sergio Aguero.

Walaupun hadir dengan reputasi besar, Sanchez dilihat gagal untuk menyesuaikan diri bersama pasukan barunya itu. Prestasi buruk yang dipamerkan beliau kebelakangan ini menyebabkan Jose Mourinho mengambil langkah drastik dengan menggugurkannya dari pasukan untuk perlawanan suku akhir Piala FA menentang Brighton tempoh hari.

Sanchez kini berada bersama skuad kebangsaan yang berkampung di Sweden. Beliau pada mulanya meminta untuk diberikan pelepasan untuk tugasan antarabangsa kali ini tetapi mengubah keputusan selepas berbincang dengan kapten pasukan Chile, Claudio Bravo.

Dalam satu posting yang ditingggalkan beliau dalam laman rasmi Instagram, Sanchez memberi gambaran yang beliau berada dalam keletihan ketika ini.

“Saya tahu anda letih. Saya tahu anda keletihan dari segi psikologi dan emosi. Tetapi anda harus terus senyum.”

Dalam satu temuramah bersama akhbar dari Chile Khamis lalu, Sanchez mengakui pertukaran kelab dalam tirai perpindahan Januari merupakan pengalaman baru buatnya dan telah memberikan kesan kepada prestasi beliau.

“Saya seorang pemain yang suka mendesak diri sendiri, jadi saya tahu saya perlu bermain lebih baik dari apa yang telah saya tunjukkan ketika ini bersama Manchester United. Agak sukar buat saya untuk mengubah segalanya dengan cepat selepas berpindah ke United.”

Pertukaran suasana memberikan kesan kepada prestasi Sanchez

“Saya teragak-agak untuk menyertai skuad kebangsaan kali ini. Saya meminta pelepasan untuk tidak bermain dalam perlawanan persahabatan ini. Tetapi selepas bercakap dengan Claudio Bravo, saya rasa kami perlu menghadapi masa sukar ini secara bersama.”

“Pertukaran kelab merupakan perkara yang berlaku secara tiba-tiba buat saya. Ia juga merupakan kali pertama saya berpindah pada bulan Januari. Banyak perkara sukar yang telah saya tempuhi sepanjang hidup saya.”

Sanchez bakal mengetuai jentera serangan Chile dalam perlawanan persahabatan menentang Sweden Sabtu ini dan beberapa hari selepas itu, mereka akan bertemu Denmark.

BACA:  Adidas Beri Lampu Hijau Benarkan Greenwood Kembali Selepas Pertemuan Rahsia Bersama Pengurusan Setan Merah