Adidas Beri Lampu Hijau Benarkan Greenwood Kembali Selepas Pertemuan Rahsia Bersama Pengurusan Setan Merah

Karier Mason Greenwood bersama Manchester United diibaratkan seperti sudah melihat sinar di penghujung terowong selepas pertemuan di antara pihak kelab dan penaja utama kelab, adidas dilakukan secara rahsia.

Pada masa ini masa depan penyerang berusia 21 tahun itu belum diputuskan sehingga pihak kelab memuktamadkan siasatan dalaman yang dilakukan sejak sekian lama.

Greenwood sebelum ini digantung sejak 17 bulan lalu oleh United selepas pemain itu ditahan pihak berkuasa pada Januari 2022 kerana dakwaan menyerang teman wanitanya.

Situasi itu menyebabkan Greenwood tidak dibenarkan berlatih atau beraksi bersama skuad United di Carrington.

Pihak pendakwaraya bagaimanapun mengugurkan semua tuduhan terhadap Greenwood, dan terdapat laporan United akan membenarkan pemain itu beraksi secara pinjaman bersama Atalanta.

Tetapi laporan terkini dari UK berkata penaja utama United, adidas sudah mengizinkan pemain itu untuk kembali bersama pasukan dalam satu perbincangan rahsia dengan pihak kelab.

Lampu hijau daripada adidas dipercayai akan menjadi ikutan penaja-penaja lain. Rakan sepasukan Greenwood di United turut dikatakan tidak mempunyai masalah mengalu-alukan kembali pemain itu.

The Sun dalam laporannya berkata adidas tidak menganggap kepulangan Greenwood sebagai masalah besar dan tidak akan membantah cadangan itu.

“Itu adalah perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak kelab. Sebagai penaja kami tidak mempunyai pengaruh untuk mengatur barisan pemain,” kata sumber daripada syarikat itu kepada The Sun.

Manchester United mempunyai konrak bernilai £750 juta bersama adidas sejak 2015/16 yang berdurasi 10 tahun – selepas 13 tahun kontrak bersama Nike.

Greenwood sebelum ini dilihat berlatih bersama Anthony Elanga untuk mengekalkan kecergasannya. Elanga bagaimanapun kini telah menyertai Nottingham Forest.

Sebelum ini terdapat laporan United akan menggunakan Greenwood untuk pertukaran dalam usaha untuk mendapatkan penyerang Atalata, Rasmus Hojlund.

Malah Greenwood turut dikatakan telah menyewakan kediamannya di Cheshire untuk persiapan beraksi di Itali.

Walaupun demikian, khabar angin itu dianggap oleh kem United sebagai hanya spekulasi.

Hojlund kekal berada di dalam radar utama United untuk menjadi penyerang utama pasukan pada musim akan datang.

Perbincangan di antara kedua-dua kelab bagaimanapun menjadi sukar selepas Atalata meletakkan harga £86 juta untuk penyerang berusia 20 tahun dari Denmark itu.

BACA:  Ole Gunnar Solskjaer Goyang Masalah Kecederaan Ganggu Aksi Bertemu Liverpool