FIFA Best 2021: Lewandowski Pemain Terhebat Dunia Selepas Ketepikan Cabaran Dari Salah Dan Messi

Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski berjaya memenangi anugerah FIFA Men’s Player of The Year selepas menewaskan seteru terdekat beliau, Mohamed Salah dan Lionel Messi.

Pemain kebangsaan Poland yang kini berusia 33 tahun itu memiliki rekod jaringan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang tahun 2021.

Beliau sepanjang tahun lalu telah berjaya menjaringkan 69 gol dalam semua pertandingan baik bersama Bayern Munich mahupun bersama skuad kebangsaan Poland.

Beliau memiliki kualiti penyudah yang sungguh luar biasa menakjubkan hingga membantunya untuk menjaringkan 41 gol dari 29 penampilan dalam saingan Bundesliga musim lalu.

Rekod jaringan tersebut secara tidak langsung berjaya membantu beliau untuk memecahkan rekod Bundesliga yang dipegang oleh Gerd Muller sebelum itu.

Ketua pasukan kebangsaan Poland itu telah dinobatkan sebagai pemain terbaik FIFA di hari anugerah FIFA yang dilangsungkan di Zurich, Switzerland semalam.

Lewandowski memenangi anugerah tersebut pada tahun 2020 selepas menerima 52 mata dan meletakkan beliau di atas Cristiano Ronaldo (38 mata) dan Lionel Messi (35 mata).

Bekas pemain penyerang Borussia Dortmund itu gagal untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun 2021, selepas Lionel Messi secara rasminya dinobatkan sebagai pemenang.

Messi berjaya membawa pulang bola emas ketujuh beliau sepanjang kariernya selepas mengutip 613 mata dengan mengatasi Lewandowski yang hanya menerima 580 mata.

Lewandowski juga dikatakan individu paling berhak untuk memenangi anugerah Ballon D’or 2020 atas aksi hebat dan pencapaian beliau sepanjang musim tersebut.

Walau bagaimanapun, dek kerana dunia ketika itu teruk dilanda wabak pandemik, maka France Football memutuskan untuk membatalkan anugerah tersebut pada tahun 2020.

Messi sendiri bahkan turut memberi ucapan penuh emosi kepada Lewandowski ketika menerima anugerah Ballon D’or tahun ini, dengan legenda Barcelona itu menegaskan bahawa bintang Bayern itu berhak untuk memenangi anugerah Ballon D’or musim lalu.

Lewandowski mendakwa yang beliau sangat tersentuh dengan ucapan dari Messi itu dan menganggap ia antara detik terbaiknya bersama pemain terhebat sepanjang zaman itu.

“Kata-kata Messi untuk saya (tentang Ballon D’or) sungguh menyentuh saya.”

Jelas Lewandowski kepada Bild.

“Itu bukan ucapan kosong, ia merupakan detik terbaik sepanjang karier saya.”

“Saya hanya bercakap beberapa perkataan sahaja dengan Leo (bersemuka), kerana bahasa Sepanyol saya teruk. Saya bercakap dengan Kylian Mbappe dalam bahasa Inggeris, dan dia tolong terjemahkan kepada Leo. Ia malam yang sangat hebat.”

Lewandowski pada musim ini masih cemerlang mengekalkan rekod jaringan beliau yang luar biasa menakjubkan itu dengan beliau kini sudah menjaringkan 34 gol dari 27 penampilan dalam semua pertandingan.

Pengurus skuad lelaki dan wanita Chelsea, Thomas Tuchel dan Emma Hayes telah dinobatkan sebagai pengurus lelaki dan wanita terbaik di anugerah sama.

Cristiano Ronaldo sementara itu telah diberikan anugerah khas oleh FIFA di acara sama atas kejayaan beliau memecahkan rekod penjaring gol terbanyak antarabangsa.

Namun agak malang bagi Salah dan Mendy. Walaupun Mendy memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Salah berada dalam 3 Finalis untuk Pemain Terbaik FIFA, tetapi kedua duanya gagal dalam senarai FIFPPRO XI yang diundi dari kalangan pemain profesional.

Berikut adalah kesebelasan FIFPRO kali ini dengan formasi 3-3-4.

Penjaga Gol:

Gianluigi Donnarumma

Pertahanan:

Ruben Dias

Leonardo Bonucci

David Alaba

Midfield:

Kevin De Bruyne

Jorginho

N’Golo Kante

Penyerang:

Lionel Messi

Robert Lewandowski

Cristiano Ronaldo

Erling Haaland

Agak malang juga untuk melihat Salah dan Mendy tidak berada dalam senarai ini walaupun kedua-dua mereka sebenarnya berhak untuk ada dalam kesebelasan terbaik FIFA.

Apa pendapat korang? Setuju dengan kesebelasan ni? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Suruh Nunez Bertenang Dan Samakan Dengan Lewandowski