Foster Dedah Pemain Everton Takut Dengan Penyokong Sendiri Dan Ia Merupakan Kelebihan Untuk Pasukan Lawan

Ben Foster mendedahkan yang para penyokong Everton merupakan mimpi ngeri untuk pemain mereka sendiri, dan itulah kelemahan mereka yang berjaya dimanfaatkan oleh Watford ketika pertemuan mereka sebelum ini.

Foster mendakwa yang fakta bahawa para pemain Everton sangat takut dengan penyokong sendirilah yang dimanfaatkan oleh pasukan pelawat untuk mencatat kemenangan di Goodison Park.

Foster sememangnya sering berkongsi kisah yang sangat menarik untuk didengarkan, dengan bekas bintang England itu sangat terbuka mendedahkan rahsia di bilik persalinan ketika berbincang tentang topik bola sepak.

Penonton yang sering menonton saluran YouTube miliknya tentu tahu bagaimana menariknya kisah-kisah yang diceritakan oleh Foster, mahupun tetamu-tetamu undangan beliau.

Menjelang aksi pertemuan bertemu Manchester United pada awal musim baru-baru ini, Foster sendiri pernah mendedahkan yang Watford langsung tak goyang bertemu bekas kelabnya itu.

Beliau bahkan percaya yang Man Utd merupakan lubuk tiga mata dan hasilnya Watford mencatatkan kemenangan besar hingga menyebabkan Ole Gunnar Solskjaer dipecat.

Terbaru, bintang berusia 38 tahun itu tampil menganjing Everton dengan mendedahkan bagaimana para pemain takut dengan penyokong sendiri.

Beliau mendedahkan yang Watford menjadikan kelemahan pemain Everton itu sebagai sebahagian dari taktikal mereka ketika mereka beraksi di Goodison Park sebelum ini.

“Satu hal yang boleh saya kata adalah, jika kamu boleh mendahului Everton di awal permainan, penyokong Everton akan jadi mimpi ngeri untuk pemain mereka sendiri.”

Jelas penjaga gol utama Watford itu kepada Fozcast.

“Mereka memang mengerikan, mereka mampu untuk hantui pemain sendiri. Sudah tentu mereka akan hantui pemain sendiri, itu sudah tentu.”

“Itu satu hal yang besar.”

Tambah beliau lagi ketika ditanya adakah hal tersebut beri kelebihan kepada pasukan pelawat.

“Itulah apa yang kami katakan sebelum perlawanan, ‘ok semua, kita kena mula pantas, kita perlu mengatasi mereka lebih awal.’

Walaupun Foster mendedahkan yang rancangan awal mereka adalah untuk cuba mendahului perlawanan, namun mereka ketika itu gagal untuk melakukan hal tersebut.

Sebaliknya Everton yang terlebih dahulu mendahului permainan dengan keputusan 1-0 selepas Tom Davies membuka tirai jaringan seawal minit ketiga permainan.

Pasukan pelawat walau bagaimanapun berjaya melakukan comeback dengan mereka akhirnya mencatatkan kemenangan selesa 5-2 menewaskan Everton.

Joshua King berjaya mencatatkan hat-trick dan jelas sekali jika mengikut apa yang didedahkan oleh Foster, para pemain mungkin tak boleh tidur malam kerana takut dengan penyokong sendiri.

Foster kemudiannya menjelaskan lagi tentang dakwaan beliau yang menganggap penyokong Everton menakutkan pemain sendiri dengan menyatakan bahawa:

“Kami ada sebab mengatakan itu, penyokong Everton memang mengerikan. Jika situasi kami mendahului mereka atau apa-apa seperti itu, mereka akan bebankan pemain sendiri.”

Ketika ditanya adakah hal itu dipertimbangkan untuk jadi sebahagian dari perbincangan taktikal, bekas penjaga gol West Brom itu menjawab:

“Ya, itu sudah tentu.”

“Jika kamu bermain di halaman lawan yang mana kamu tahu penyokong tuan rumah akan hantui pemain mereka jika mereka tidak mendahului perlawanan atau mendominasi, atau tak nampak macam mereka mahu menjaringkan gol, kami akan buat kesimpulan dengan katakan, ‘ Baik semua, dominasi mereka dengan segera,’ kerana penyokong akan ganggu mereka.”

Penyokong Everton kini mungkin akan sedikit berlembut terhadap skuad mereka, apa lagi selepas pihak kelab memecat Rafa Benitez dan melantik Frank Lampard.

Mereka jelas sekali perlu memberi sokongan penuh kepada skuad Everton di bawah kendalian legenda Chelsea itu dalam usaha untuk menyelamatkan kelab dari berada di zon penyingkiran.

Everton kini berada di kedudukan ke-16 dalam carta saingan liga, dengan mereka hanya dua mata sahaja dipisahkan dari zon penyingkiran.

Seandainya mereka gagal mencatatkan keputusan yang baik dalam perlawanan akan datang, mereka berpotensi untuk dipintas dan sangat berpotensi untuk berada di zon penyingkiran.

Tambahan pula Newcastle United, Burnley dan Norwich sepertinya kini sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka, maka Everton jelas sekali berada di kedudukan yang tak selamat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ben Foster Dari Awal Sudah Yakin Man Utd Sebenarnya Lubuk Mata