Ben Foster Dari Awal Sudah Yakin Man Utd Sebenarnya Lubuk Mata

Ben Foster mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang sangat berani sebelum sepak mula perlawanan bertemu Manchester United.

Apa yang lebih menakjubkan lagi, kata-kata beliau yang awalnya diketawakan kerana tidak masuk akal itu benar-benar menjadi kenyataan selepas Watford membelasah setan merah 4-1 dalam saingan Premier League awal pagi tadi.

Ben Foster sebelum sepak mula perlawanan sudah menyatakan keyakinan beliau yang Manchester United merupakan antara pasukan yang boleh memberi Watford tiga mata penuh.

Pada awalnya ramai yang mentertawakan kenyataan dari Foster itu kerana menganggap beliau terlalu bercita-cita tinggi dan terlalu memandang rendah kemampuan Manchester United.

Jelas sekali di atas kertas Man Utd merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini, memandangkan mereka memiliki skuad yang jauh lebih baik berbanding Watford.

Walau skuad setan merah sedang bergelut dengan masalah prestasi, tiada siapa yang menduga mereka bakal ditewaskan oleh kelab seperti Watford.

Apa lagi selepas melihat kedudukan Watford yang ketika ini sedang bergelut di zon penyingkiran, tentu saja ramai yang percaya United bakal mudah membawa pulang tiga mata penuh.

Namun sebaliknya yang berlaku, dengan pasukan tuan rumah yang mudah mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan yang didominasi sepenuhnya oleh mereka.

Ben Foster turut beraksi cemerlang dalam perlawanan ini dengan beliau berjaya menyelamatkan dua percubaan bahaya Man Utd yang sepatutnya boleh disudahi dengan jaringan.

Beliau cemerlang menyelamatkan percubaan dari Marcus Rashford dan Cristiano Ronaldo, seterusnya memastikan gawang golnya tidak dibolosi lebih dari sekali.

Lebih menarik lagi, Foster turut berjaya mencatatkan satu assists dalam perlawanan ini untuk gol keempat Watford yang dijaringkan oleh Emmanuel Dennis.

Foster yakin Manchester United lubuk 3 mata

Bercakap dalam satu temu bual sebelum sepak mula perlawanan bertemu Man Utd, Foster menyatakan bahawa:

“Saya boleh cakap dari apa yang kamu dengar dari media, dari apa yang kamu baru kata di sini misalnya, itu sepertinya lebih jelas.”

“Sejujurnya saya tak begitu yakin tentang itu, ketika kamu ada pemain berkualiti seperti Man United ada, kamu tak susah untuk dapatkan keserasian dan akan kembali bersinar.”

“Ada beberapa pasukan yang kamu jelas sekali akan risaukan, tapi 17 ke 18 pasukan lain sejujurnya saya yakin kami boleh dapatkan mata dan ia termasuk Man Utd.”

Ben Foster sudah menunjukkan keyakinan yang Watford bakal mencuri mata dari aksi pertemuan bertemu Manchester United dan ia sangat menyakitkan untuk penyokong setan merah.

Pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer secara rasminya telah dipecat selepas dari kekalahan memalukan itu, dengan United kini sedang dalam usaha mencari calon pengganti.

Ole Gunnar Solskjaer dipecat

Akhirnya detik yang dinanti telah tiba apabila secara rasmi dan sahnya Ole Gunnar Solskjaer telah dipecat oleh Manchester United demi kelangsungan hidup kelab untuk terus bersaing.

Perkara ini telah diumum melalui laman sesawang rasmi Manchester United, manutd.com untuk makluman kepada peminat dan pembenci seluruh dunia.

“Manchester United mengumumkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan peranannya sebagai pengurus.”

“Ole akan sentiasa menjadi legenda di Manchester United dan dengan kesal kami telah membuat keputusan yang sukar ini. Walaupun beberapa minggu kebelakangan ini mengecewakan, mereka tidak sepatutnya mengaburkan semua kerja yang telah dilakukannya sejak tiga tahun lalu untuk membina semula asas kejayaan jangka panjang.”

“Ole pergi dengan iringan ucapan terima kasih yang tulus atas usaha gigihnya sebagai Pengurus dan harapan terbaik kami untuk masa depan. Tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin, bukan hanya untuk kisahnya sebagai pemain, tetapi sebagai seorang lelaki yang hebat dan Pengurus yang memberi kami banyak detik hebat. Dia akan selamanya dialu-alukan kembali ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada keluarga Manchester United.”

Michael Carrick akan menjadi pengendali dan mengambil alih pasukan untuk perlawanan yang mendatang sehingga pengurus interim dilantik sehingga penghujung musim.

“Michael Carrick kini akan mengendalikan pasukan untuk perlawanan yang akan datang, manakala kelab itu akan melantik pengurus sementara hingga akhir musim.”

Manis saja ayat di laman Twitter Manchester United apabila mengumumkan Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan jawatan selaku pengurus bukannya dipecat.

“Manchester United boleh mengesahkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan peranannya sebagai Pengurus.”

“Terima kasih untuk segalanya.”

Sumber: Football daily

BACA:  Solskjaer Beri Bayangan Akan Ada Pemain Baru Dibawa Masuk Pada Januari Nanti