Gattuso Ajak Insigne Membawang Pasal Tottenham Hotspur

Lorenzo Insigne telah mendedahkan yang bekas pengurus Napoli, Gennaro Gattuso ada memberitahu beliau tentang keadaan Tottenham Hotspur yang sangat huru hara ketika ini.

Insigne pernah dilatih oleh Gattuso selama satu tahun setengah bersama Napoli, sebelum pengurus itu dipecat pada penghujung musim lalu kerana beliau gagal membawa kelab ke saingan Champions League.

Walaupun sudah dipecat, namun hubungan beliau dengan Insigne masih baik dan mereka kerap berhubung satu sama dengan yang lain.

Gattuso sebelum ini telah berunding dengan Tottenham Hotspur untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai pengurus di sana.

Kelab dari London itu ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk mencari pengganti kepada Jose Mourinho yang telah dipecat sebelum ini.

Pada awalnya, bekas pemain midfield AC Milan itu dilihat bakal hampir pasti untuk dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspur, memandangkan kepada hubungan rapat beliau dengan pengarah urusan kelab yang baru, Fabio Paratici.

Walau bagaimanapun, rundingan tersebut dengan segera dihentikan kerana Tottenham Hotspur memutuskan untuk mencari alternatif lain.

Bercakap dengan Football Italia, Insigne menyatakan:

“Kami saling berhubung satu sama lain, dia beritahu ada kekacauan di sana(Tottenham Hotspur).”

“Tapi sekarang tumpuan saya lebih pada Euro, sedangkan dia sedang bercuti, jadi saya tidak akan tanya lebih tentang dia.”

Sejak Mourinho dipecat sebelum kelab beraksi dalam perlawanan akhir Carabao Cup, Ryan Mason telah dilantik sebagai pengurus sementara dan mengurus Spurs sehingga akhir musim lalu.

Terdapat beberapa pengurus ternama yang sudah dikaitkan dengan Tottenham dan ada yang sudah melakukan rundingan.

Antaranya adalah Antonio Conte, Paulo Fonseca, Gennaro Gattuso dan yang terbaru adalah Julen Lopetegui.

Presiden Sevilla, Jose Castro telah menyatakan yang Tottenham menawarkan Lopetegui kontrak yang luar biasa lumayan untuk menggantikan tempat Jose Mourinho.

Dengan Tottenham kini sedang dalam fasa terakhir persiapan mereka untuk menghadapi pra musim, Daniel Levy sepertinya kesuntukan masa untuk mencara pengurus yang baharu.

Selepas beberapa nama yang dikaitkan sepertinya tidak akan menyertai kelab, Spurs ketika ini sedang hangat dikaitkan dengan Graham Potter dan bekas pengurus Wolves, Nuno Espirito Santos.

Gattuso sendiri sebelum ini telah menerima tawaran untuk kembali ke dunia pengurusan selepas dipecat dari Napoli, dengan beliau telah dinamakan sebagai pengurus Fiorentina pada 25 Mei lalu.

Beliau hanya akan diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Fiorentina pada 1 Julai nanti, walau bagaimanapun hal itu tidak akan berlaku kerana Gattuso sudah mengundurkan diri dari jawatan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada minggu lalu, Fiorentina telah mengesahkan yang kedua-dua pihak memutuskan untuk membuat haluan masing-masing.

“AFC Fiorentina dan Encik Rino Gattuso, dengan persetujuan bersama, telah memutuskan untuk tidak meneruskan perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini dan oleh yang demikian, kami tidak akan memulakan saingan musim hadapan bersama dengannya.”

“Pihak kelab akan segera untuk mengenal pasti siapa yang akan terus membimbing kelab selepas ini ke arah yang selayaknya untuk Fiorentina dan bandar yang indah ini.”

Menurut sumber laporan di Itali, hal ini mula tercetus sejak super ejen, Jorge Mendes mula masuk campur.

Mendes merupakan ejen kepada Gattuso, dan beliau turut menjadi wakil kepada pemain seperti Cristiano Ronaldo, Jose Mourinho dan kebanyakan pemain dalam skuad Wolves.

Ketika bekas pemain AC Milan itu masih belum secara rasminya menggalas tugas sebagai pengurus di Stadio Artemio Franchi, beliau telah memulakan rundingan bersama kelab tentang pemain yang mahu ditandatangani.

Pengurus baru itu bersama ejennya telah mencadangkan bintang Porto, Sergio Oliveira dan penyerang Valencia, Goncalo Guedes, yang mana kedua-dua pemain itu juga merupakan anak buah Mendes.

Walau bagaimanapun, pemilik Fiorentina, Rocco Commisso merasakan yang beliau lebih mahukan pemain yang lebih murah berbanding dua pemain yang dicadangkan oleh Gattuso dan Mendes.

Hal itu menyebabkan hubungan kedua-dua pihak retak dan telah mencetuskan salah faham yang membawa kepada perletakkan jawatan Gattuso.

BACA:  Suso: Kejatuhan AC Milan Bukan Salah Gattuso