Gattuso Enggan Salahkan ‘Lakonan’ Welbeck Sebagai Punca AC Milan Tewas

Pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso enggan menyalahkan simulasi Danny Welbeck sebagai punca pasukannya tersingkir dari saingan Europa League musim ini.

Gattuso juga berkata beliau tidak akan menilai bolasepak England atas dasar lakonan Welbeck sahaja dan mengakui Welbeck hanya lakukan perkara yang beliau rasa perlu untuk menang.

Tidak seperti Mourinho, Gattuso enggan menuding jari terhadap sesiapa atau mengungkit sejarah lama apabila Milan tumpas di tangan Arsenal

Dalam perlawanan awal pagi tadi, Arsenal berjaya menewaskan AC Milan dengan jaringan 3-1, dan layak ke pusingan suku akhir dengan aggregat 5-1.

Walaubagaimanapun dalam perlawanan di Emirates semalam, Milan terlebih dahulu mengejutkan Arsenal dengan menjaringkan gol pembukaan melalui Hakan Calhanoglu untuk menjadikan kedudukan 2-1 secara aggregat.

Pemain Milan melakukan serangan bertali arus ke gawang Arsenal untuk mencari gol penyamaan. Tetapi semangat mereka diragut apabila pengadil menghadiahkan penalti kepada Arsenal 6 minit sebelum babak pertama tamat.

Pengadil mendakwa terdapat kekasaran dilakukan terhadap Danny Welbeck dalam kotak penalti.

Walaubagaimanapun, ulang tayang menunjukkan tiada sentuhan terhadap Welbeck dan pemain antarabangsa England ini melakukan simulasi untuk memperolehi penalti.

Welbeck bakal menyertai Harry Kane dan Delle Alli untuk mewakili England ke Kejohanan Terjun Dunia 2025

Gattuso dan pemain-pemain Milan seakan-tidak percaya dengan keputusan tersebut tetapi protes mereka tidak dilayan. Insiden ini jelas mengubah hala tuju perlawanan dan moral anak buah Gattuso merudum selepas itu.

Welbeck berjaya menyempurnakan penalti tersebut dan Arsenal menambah dua gol lagi pada separuh masa kedua melalui Granit Xhaka dan Welbeck sekali lagi.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Gattuso enggan menyalahkan kekalahan Milan di tangan pengadil sepenuhnya dan mengakui Welbeck hanya melakukan perkara yang dirasakan perlu untuk memenangi perlawanan.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil. Saya tidak boleh mencari sesuatu untuk dipersalahkan.”

“Beliau [Welbeck] adalah seorang penyerang. Beliau hanya lakukan perkara yang perlu sebagai seorang penyerang. Kita tidak boleh menilai bolasepak England kerana insiden ini sahaja.”

“Banyak aspek dalam bolasepak England dimainkan dalam keadaan adil. Saya tidak akan membuat sebarang penilaian atas apa yang berlaku dalam perlawanan tadi.”

Seperti biasa, Gattuso menunjukkan gerak badan yang kecewa di tepi padang ketika pasukannya ketinggalan. Beliau juga dirakam melempar bola ke arah muka pemain pertahanan Arsenal, Nacho Monreal.

Buta ke ? Linesman gilo

Tetapi segala salah faham di antara Monreal dan Gattuso telah dilupakan apabila kedua-dua mereka dilihat berjabat tangan selepas tamat perlawanan.

“Saya ingin meminta maaf kepada Monreal. Memang kelihatan seperti saya melempar bola ke arah muka beliau tetapi saya tidak berniat untuk melakukan perkara tersebut.”

Secara keseluruhan Gattuso berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya. Tetapi beliau berasa sedikit kecewa dengan cara mereka melepaskan gol ketiga Arsenal dimana beliau mendakwa pemainnya sudah berputus asa selepas gol kedua Arsenal.

“Saya sangat kecewa kerana beberapa tahun yang akan datang, kita hanya akan melihat 3-1 sebagai keputusan perlawanan sahaja.”

BACA:  Arsenal Gayat Di Puncak Liga Dan Hampiri Kejuaraan EPL 2023/24